Ini bukanlah pertama kali saya mendengar tentang jenama ini. Coral. Ketika saya masih di zaman kanak-kanak, jenama ini agak popular pada era 80-an dan awal 90-an. Produk yang kini sudah terbenam dalam peredaran masa ini khabarnya telah dibeli oleh Mitsubishi Corporation. Entah betul entah tidak Wallahualam. Justeru, bila melihat pada audio Vios ini saya tertanya-tanya, adakah ini kedatangan semula Coral?
Saya tidak pasti sama ada jenama indie begini ada kaitannya dengan Coral yang saya temui di zaman kanak-kanak dahulu. Prinsip dalam dunia audio selalunya berkisar pada prestij dan juga ketahanan sesuatu jenama. Sebagus manapun sesuatu jenama itu, jika syarikat yang mendukungnya tidak mampu melakukan apa yang betul dalam perniagaan, mereka mudah saja dilupakan. Jenama datang dan pergi. Di luar sana mungkin ada beratus-ratus jenama yang bersaing sesama sendiri.
Jenama-jenama indie ini pula biasanya datang dengan senjata yang hampir sama. Mereka biasanya bersaing dalam dunia SPL kerana ia adalah kejuruteraan yang terus kepada matlamatnya. Kuasa dan kuasa. Jika anda mampu menghasilkan kuasa dB tertinggi pada woofer, jenama anda akan diingati. Jika amplifier anda berkuasa pada saiz yang optimum, ia juga mudah mendapat tempat di hati penggemar sistem audio.
Jenama Coral kali ini bukanlah tentang SPL. Berbeza dengan jenama baru yang kami ketengahkan dalam majalah ini, konsentrasi pengeluar untuk sistem SQ boleh dibilang dengan jari. Jadi, bila bertemu dengan Vios ini buat pertama kalinya, kami memutuskan untuk menghidangkannya kepada anda bagaimana untuk membina sistem SQ dengan belanja yang tidak terlalu mahal berbanding jenama premium.
Sepertimana yang umum tahu, untuk membina satu-satu sistem SQ bukanlah perkara yang boleh dianggap remeh. Ianya tentang kualiti. Bila bercakap tentang kualiti, maka belanja yang dikeluarkan bukanlah murah. Dari segala segi, ia adalah tentang kekemasan. Kekemasan pada bunyinya. Kualiti!
Pemain Pioneer DEH-P80RSII dipilih mengetuai sistem. Seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini, jika anda mahu bina sistem SQ yang betul, pilihlah pemain begini. RCA output pelbagai, jajaran masa, pemain aktif dan juga pembaca bit dengan sensitiviti tinggi. Tidak perlu bersusah payah memasang pre-amp analog lagi. Melainkan anda mahu pasang pemproses luaran seperti BitOne.
Sistem pada Vios ini dibina dengan sangat ringkas dan terus kepada tujuannya. Rekaan SQ 2 hala di depan ini terhasil menerusi speaker Coral MW-165 dan tweeter Coral MT-25. Setiap satu dari unit speaker dan tweeter ini mendapat bekalan kuasa dari amplifier 4 channel Coral XTA-408. Ketika saya didemonstrasikan dengan kualiti bunyi (dengan menenggalamkan saluran woofer) apa yang boleh saya katakan, ia agak terang. Terang dan jelas.
Mungkin pemiliknya gemar jenis tona bunyi begitu tetapi kalau menurut saya, saya lebih gemar ‘staging’ yang luas dengan bunyi vokal lebih ‘warm’. Secara jujurnya, pemain dari Pioneer DEH-P80RSII tadi banyak membantu menjajarkan bunyi yang seimbang setiapkali rentak muzik berbeza dimainkan. Speaker ini agak sensitif setiapkali anda cuba mengasingkan gelombang bunyi dari mendatar kepada frekuensi tinggi.
Garisan bunyi bass dihasilkan oleh seunit woofer Coral HDS-812 yang dipasang pada ruang bagasi dalam kotak tempaan khas. Woofer dwi-magnet ini dikuasakan oleh amplifier Coral XTA-215 jenis 2 channel. Ya. Ia bukanlah amplifier monoblock kelas D yang biasanya menjadi pilihan. Tetapi agak mengagumkan bila ‘distortion’ yang dihasilkan begitu minimum. Jika anda seorang pendengar biasa, jarak lega sub ini mendapat kuasa ketika volum ditinggikan hampir tidak disedari. Sekali lagi, terima kasih kepada DEH-P80RSII yang menjalankan tugasnya dengan cemerlang.
Membina sistem yang ringkas begini tidak selalunya berakhir dengan kepuasan . Bukan mudah untuk mendapat hasil akhir seperti yang diinginkan dalam pembinaan sistem SQ kerana ia melibatkan banyak faktor. Sensitiviti SQ mungkin 100 kali lebih payah diduga berbanding sebuah sistem SPL. Semuanya berkaitrapat, bermula dari pemilihan produk, jenis kabel, penempatan, pemasangan dan juga penalaan yang betul.
Secara zahirnya, kereta Vois hitam ini tidaklah berjaya menarik perhatian ramai dari sudut dekorasinya. Apatah lagi dengan kehilangan penarik seperti tampalan mahu pun sentuhan balutan airbrush. Namun begitu, saya tidak rasa itu menjadi satu masalah yang mencacatkan kereta ini secara keseluruhan dan cukuplah dengan bunyi hebat yang dibekalkan perkakas Coral ini.