Eastern Mall yang terletak di Siburan telah menjadi tumpuan para pencinta dan penggiat dunia permotoran sempena penganjuran Sarawak Motorsport Festival 2018 (SMF2018). Dianjurkan oleh Staytuned Motorsport Club, acara ini diadakan pada 23 September dan dipadatkan dengan pelbagai aktiviti bagi menarik kunjungan bukan sahaja para pencinta dunia permotoran, malah orang ramai khususnya pengunjung pusat beli-belah Eastern Mall.
Sempena penganjuran SMF2018 ini, pelbagai program turut diadakan termasuk perlumbaan go-kart, September Bazaar, Classic Car Old English, Old School Japan, JDM, K-Car, MDM, Super Lowered, Thai Style, Drift Parking, Car Audio dan macam-macam lagi. Setiap aktiviti yang disediakan menerima sambutan cukup memberangsangkan dari para peserta yang datang dari sekitar kawasan berhampiran.
Kehadiran dan penyertaan pelbagai jenama terkenal telah memeriahkan lagi penganjuran SMF kali ini seperti Redbull yang menguasakan perlumbaan go-kart. Tidak ketinggalan, aktiviti autoshow dan audioshow yang juga menerima sambutan tidak kurang hebatnya. Pelbagai kereta yang dimodifikasi dengan cukup unik dan berwarna-warni telah menyemarakkan lagi penganjuran SMF 2018 ini.
Kemeriahan sepanjang penganjuran acara ini sekali gus membuktikan bahawa masih ramai yang meminati dunia permotoran khususnya yang melibatkan modifikasi dan audio kereta. Tahniah diucapkan kepada para penganjur yang berjaya menjayakan SMF2018. Sebelum mengakhiri acara, pihak penganjur telah menyerahkan medal penghargaan kepada barisan penaja. Diharapkan acara serupa akan terus diadakan di masa hadapan dan seterusnya merancakkan dunia permotoran.