Susah nak jangka keadaan trafik di lebuhraya utama yang menuju Utara mahupun Selatan. Sekejap dengar berita, gayanya macam jalan tak sesak. Bila masuk lebuh raya, nah, tu dia kereta bertali arus. Kalau jenis berjalan dengan keluarga rasanya lagi perit dengan anak-anak kecil, semua hentian rehat langsung tak boleh nak berhenti!
Kalaulah kereta saya macam Satria ni rasanya tidaklah bosan sangat menghadap kesesakan lalu lintas. Sistem audionya cukup bagus untuk hilangkan rasa bosan. Bila-bila saja trafik bergerak perlahan, putar saja volum audionya sekuat yang mungkin. Tapi … nak bina kereta begini bukannya sedikit belanjanya. Menurut pemiliknya, saudara Iskandar dari Kelab Leader Motorsport, beliau dah tak sanggup nak hitung berapa belanja yang telah dilaburkan pada kereta kesayangan beliau ni.
Kalau mengikut anggaran kasar, saya rasa kos membikin audio begini pasti lebih tinggi dari harga Satria ini. Ya. Kereta hatchback pertama Proton ini sudah cukup murah untuk dimiliki. Ini adalah versi 1.3 dengan sistem karburetor yang boleh dikatakan sangat berjaya di awal pengenalannya. Era pertengahan 90-an juga menyaksikan pertumbuhan ekonomi pesat yang membolehkan ramai anak muda memiliki kereta sendiri.
Sistem audio kereta ini bermula dengan pemain DVD 2-din bermonitor 6.5” jenama Live Audio. Cenderung dengan minatnya dalam mempelbagaikan medium paparan, Iskandar memasang seunit monitor tambahan di bahagian penghadang suria sebelah penumpang, cara yang murah dan menjimatkan ruang.
Sebanyak 4 unit amplifier digunakan untuk menyokong sistem kuasa pada kesemua speaker. Amplifier tersebut terdiri dari 2 unit 4 channel Mohawk, 1 unit Kole Audio 4 channel dan seunit amplifier monoblock Kole Audio. Amplifier ini dipasangkan di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang, dalam kekotak khas di but belakang dan juga di sebalik penyandar seat belakang.
Pengagihan kuasa dibuat dengan cara tipikal ringkas dan selamat bagi mana-mana pembinaan sistem audio kenderaan moden. Bagi memudahkan pemahaman, kita lihat dahulu pembinaan di bahagian but Satria ini.
2 unit woofer Mohawk 12” dipasangkan di dalam perumah khusus yang dibalut permukaannya dengan fabrik harimau belang. Woofer ini mendapat bekalan daripada amplifier monoblock Kole Audio dengan kapasiti kuasa 1200 watt. Di sisi woofer ini ialah 2 unit tweeter Q Mobile Audio yang mendapat bekalan kuasa tunggal dari 2 channel amplifier 4 channel Mohawk tadi. Baki 2 channel yang dihasilkan amplifier tersebut dihantar kepada 2 unit mid bass yang dipasangkan pada lokasi yang sama dalam kotak tambahan woofer tadi.
Ketika stage awal kereta ini dibina, ia berakhir pada unit-unit yang disebutkan tadi, tetapi apa yang disedari Iskandar, sokongan bunyi mid di belakang belum mencukupi ketika lagu-lagu berirama ‘terang’ dimainkan. Justeru, beliau menambah 2 unit lagi mid bass Mohawk yang ditempatkan di bahagian boot lid yang dikemaskan dengan tema fabrik yang sama. Disebabkan rekaan kereta ini hatchback 1 box, pemasangan gugusan speaker pada but belakang tidak dianggap membazir kerana ritma muzik mampu dihantar ke staging hadapan.
Kelengkapan di bahagian kokpit pula menyaksikan pemadanan komponen speaker 6” dari Mohawk. Lengkap dengan crossover pasif, jalinan pemasangannya dibahagikan mengikut saluran amplifier 4 channel bagi setiap unit speaker tersebut. Menyedari masalah kekurangan vokal di hadapan, Iskandar menambah 2 unit lagi speaker komponen Punch di bahagian panel pintu ditemani 2 unit tweeter yang dipacu 1 unit amplifier 4 channel Kole Audio. Walaupun konfigurasinya kelihatan agak luar biasa, namun dengan pelarasan yang betul, saya mendapati muzik yang dialunkan kedengaran normal untuk sistem sebegini rupa.
Kereta Satria ini walaupun sudah agak berusia, ia masih memiliki rekabentuk yang menarik dalam dunia moden hari ini. Jika dilihat cara kereta ini disolek, mereka yang bukan peminat Satria tidak akan sedar bahawa ia sudahpun berusia berbelas tahun. Warna kuning, sticker TEIN, roda Work Emotion CR Kai tembaga cukup kontras pada penampilan kereta ini secara keseluruhan. Oh Ya. Anda tidak akan salah jika anda anggota Leader Motorsport.