Perjalanan untuk bertemu dengan Wira ini berlaku dalam episod yang mencabar. Di sebelah paginya, kami menghabiskan separuh hari berurusan di Banting kerana tugasan iklan dan beberapa urusan lain. Janji di Banting juga tidak berapa menarik. Jadual kerja ketat dan kehendak pasaran juga menekan waktu ‘dateline’ yang mana sewaktu perjalanan pulang ke pejabat, saya membuat beberapa panggilan supaya kerja hari tersebut tidak sia-sia. Harap-harap ada hasil ‘tangkapan’ yang boleh dibawa pulang.
Nasib menyebelahi kami bila panggilan ke kedai aksesori Carfans Accessories & Enterprise di Shah Alam membuahkan hasil. Memang kebetulan sangat bila Wira ini baru sampai ke kedai tersebut untuk dibongkar sistem audionya. Pemiliknya bercadang untuk membuat kit badan tambahan dan untuk memudahkan kerja, beliau menanggalkan kesemua bahagian audionya dan bakal dibina dengan sistem baru.
Jam menunjukkan hampir 5.30 petang dan rancangan untuk berbuka puasa di rumah memang tak sempatlah jawabnya. Bulan-bulan puasa ni sesaknya lain macam. Pukul 5 lagi jalan dah melekat merangkak-rangkak. Daripada memikirkan menu di rumah, pasukan kami lebih tertarik untuk menghabiskan tugasan Wira Carfans ini.
Kereta ini memulakan hayatnya sebagai kereta prestasi. Pemiliknya seorang anak muda yang bercita-cita tinggi dalam perniagaan dan juga aktiviti permotoran. Wira sedan ini dipadankan dengan enjin 4G63 EVO III dengan aksesori tambahan bolt-on. Setelah puas mencuit di sana sini, beliau merasakan kekosongan dalam jiwanya bila mula mendengar sistem audio SPL yang banyak dilihat. Nekad dengan perancangan baru itu, beliau menukar status Wira prestasi ini kepada versi audio bergerak dan berkonsepkan autoshow.
Pemain DVD 2-din skrin sesentuh Pioneer AVH-P6050 dipasangkan sebagai mukadimah projek. Pemain ini antara yang popular dalam industri dengan saiz paparan maksima 7” dan nisbah visual terbaik iaitu 16:9. Nisbah begini amat penting untuk memastikan visual yang ditonton memaparkan imej sekata, tidak terlalu penyek seperti ayam penyek atau terlalu lonjong seperti pemain buatan China yang murah.
Pemain ini disambungkan pada 2 unit pre-amp untuk memproses sistem bunyinya. Pre-amp Adams Digital ADR-6X0 ini kemudiannya menjalari sistem pendawaian yang menyambungkannya dengan tiga unit amplifier. Amplifier tersebut ialah Adams Digital ADS-80.4, JAB-60.2 dan EAM-2400.1. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam melengkapi sistem keseluruhan speaker yang dipasangkan.
Laluan pertama ialah speaker mid Adams Digital EX-600 yang dipasangkan pada boot-lid belakang Wira ini. 4 unit mid ini dikuasakan seunit amplifier 4 channel Adams Digital ADS-80.4. Ia disepadukan pula dengan horn tweeter Adams Digital ACT-25 yang dipacu oleh amplifier 2 channel Adams Digital JAB-60.2. Kesemua speaker ini dipasangkan pada perumah gentian kaca. Menyedari musim sekarang bukan lagi zaman aksesori baldu dan bulu, padanan asal tadi dilapiskan dengan pelekat gentian karbon yang menggelapkan keseluruhan bahagian tersebut.
Di dalam but ialah dua unit woofer 12” Adams digital EX-3000 yang mendapat bekalan kuasa daripada Adams Digital EAM-2400.1 amplifier jenis monoblok kelas D. Woofer ini dipasangkan dalam perumah khas buatan kayu yang cukup kukuh. Namun begitu, bukan ini yang menjadikan sistem dalam but kereta ini istimewa, kekemasan keseluruhan yang membuatkannya berbeza dengan projek Wira audio yang biasa kita lihat.
Kemasan dalam but kereta ini dibuat dengan sangat terperinci. Setiap komponen disimpan dengan rapi dan dihias dengan begitu teliti. Lihat di bahagian sisi dalamannya yang menempatkan amplifier dan pre-amp. Begitu juga lantainya yang dipasangkan dengan seunit monitor 7” dan juga amplifier tambahan lain. Sekeping ‘persplex’ nipis dilitupi untuk memberi kemasan yang teratur.
Penggunaan lampu LED begitu menyeluruh pada setiap inci ruang but. Warna merah, kuning dan biru silih berkelip. Kemeriahan lampu LED ini juga dapat dilihat pada bahagian kokpit yang cukup untuk menerangi seluruh bahagian dalaman tanpa bantuan sebiji pun mentol halogen. Kegilaan LED ini menular ke bahagian luar di mana setiap sudut badan Wira ini dipasangkan dengan lampu LED pelbagai warna.
Tahap keseriusan autoshow dan audioshow yang cuba digarap pada kereta ini boleh dilihat menerusi pemasangan monitor tambahan di bahagian bumper belakang dan juga pintu kereta. Usah ditanya tentang praktikal sebab memang tiada praktikalnya disitu. Ia adalah kesudahan teknologi dan idea gila untuk menukar sebuah kereta keluarga menjadi kereta autoshow yang kritikal.
Jauh di penghujung hari menjelang waktu berbuka puasa, krew kami pulang dengan pelbagai persepsi. Dah banyak yang kami jumpa tapi melihat pada pembikinan menyeluruh kereta ini membuatkan kami tertanya-tanya lagi. Jika sekarang hendak dibongkar dan dipasangkan dengan kit badan lain dan sistem baru, nanti apa pula hasilnya?
Sama-sama kita tunggu!