Giant Hypermarket Sungai Petani dengan kerjasama UTI Audio telah menganjurkan Audio Show Ambang Tahun Baru 2019 sempena menyambut kedatangan tahun yang baru. Diadakan di perkarangan Giant Hypermarket, pelbagai aktiviti telah disediakan pihak penganjur sekali gus menghangatkan tapak acara dan berjaya menarik kunjungan orang ramai khususnya yang datang dari kawasan sekitar.
Selain menyambut detik 12.00 malam dan kedatangan tahun yang baru, acara dimeriahkan dengan aktiviti utamanya iaitu Audio Show dan beberapa aktiviti lain seperti Cabutan Bertuah dan juga majlis jamuan makan. Acara ini bukan sahaja menyediakan ruang untuk para pencinta dunia permotoran khususnya yang meminati audio kereta mempamerkan kehebatan sistem audio masing-masing malah memberi kesempatan untuk para peserta merapatkan ikatan silaturahim.
Kehadiran sebanyak 50 buah kereta yang bukan sahaja terdiri dari kereta-kereta audio, malah disertai kelab-kelab kereta yang datang dari sekitar Sungai Petarni dan Alor Setar menyemarakkan lagi sambutan Ambang Tahun Baru 2019 ini. Kereta dengan pelbagai ragam dilengkapi sistem audio yang cukup hebat, bukan sahaja memukau tetapi juga menghiburkan para pengunjung yang berkampung sejak acara dimulakan dari pukul 8.00 malam dan berakhir sekitar 12.00 malam.