Sebenarnya, benda paling ‘bahaya’ bila bermain kereta ialah apabila kita mula membeli barang aksesori, audio, dan alat-ganti yang tidak sepatutnya. Maksudnya, benda yang bukan satu keperluan untuk sesebuah kereta itu. Ada dua jenis orang yang beli kereta. Si kedekut yang sampai ke tahap mengira wang syiling untuk beli pewangi kereta atau si pemurah, yang sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit sedangkan kasut yang dipakai dah koyak rabak pun tak mengapa.
Industri ‘aftermarket’ dan aksesori boleh hidup dengan sokongan golongan kedua ini. Tanpa pembeli yang mempunyai kuasa membayar, tidak mungkin kedai aksesori kereta boleh tumbuh dan bertambah di setiap lokasi. Saya sering berbual dengan pengusaha kedai dan mereka semuanya bersetuju ada dua perniagaan utama yang memberi laba besar; audio dan tinted film (filem penapisan haba).
Beberapa tahun lepas, kedai aksesori di Country Home, Rawang ini baru saja dibuka di salah sebuah kawasan perniagaan baru. Tak banyak kereta dan tak banyak kedai yang beroperasi di kawasan tersebut. Tahun demi tahun dan bila berkunjung ke sana, ternyata ia telah berkembang maju, nak parking kereta pun susah. Projek terbarunya ialah Honda Civic 1.7 ini. Sewaktu menguruskan lokasi penggambaran juga kami berdepan dengan kawasan yang semakin sesak. Sukar mencari kawasan lapang tanpa gangguan trafik dengan pemandangan yang bagus. Akhirnya, saya teringat lokasi lama di sebelah lot kedai yang nampaknya kurang manusia. Saya pun tak tahu kenapa tapi di sebelah sini, kedai tak banyak disewa.
Kereta ini memulakan sistem dengan pemain Dvd 2-din dari I-Max. Dalam memastikan pelarasan dapat dimaksimakan frekuensinya, 2 unit pre-amp America Sound iaitu dari Reference dan Classic Series; pre-amp 7 band RS7B dan pre-amp 5 band CS5.1B digunakan khas untuk woofer sahaja. Pengaliran kuasa yang tepat kepada barisan woofer amat penting khususnya untuk sistem audio talaan SPL kerana di sinilah penentu kemantapan bass yang sebenar. Jadi, penggunaan 2 unit pre-amp ini sangat penting bagi membantu isyarat dihasilkan pemain Dvd tadi mencapai julat diperlukan serta mengelakkan kelompangan pada bunyi.
Penalaan yang dibuat menerusi pemain tadi hanya menumpukan bahagian struktur bunyi hadapan sahaja yang terdiri dari pemasangan speaker komponen America Sound US6SQ yang diperkuatkan dengan seunit amplifier 4 channel America Sound CS 4.500. Ianya terdiri dari 2 unit mid bass 6” yang menggantikan speaker asal pada panel pintu dan 2 unit dome tweeter America Sound. Penumpuan bunyi tidak dititikberatkan di bahagian kabin, pun begitu yang menarik perhatian saya ialah kemasan semula trim pintu, bumbung, pillar dan kerusi yang dibalut semula dengan campuran PVC dan kulit konoli lembut menjadikan keseluruhan dalamannya kelihatan elegan.
Fokus bunyi terletak pada bahagian but belakang yang menempatkan kesemua sistem audio yang lengkap. Kedua-dua imbangan mid dan low end menyaksikan kehadiran amplifier monoblock America Sound US2500.1D yang menguasakan tiga unit woofer 12” America Sound dari Ultimate Series, US12DM. Terkenal dengan kejituan bunyi dan keseragaman kuasa, pemilihan susunan begini adalah percaturan tepat dalam memastikan bunyi bass stabil.
Gerombolan mid bass diletakkan pada bahagian penutup but dengan perumah buatan gentian kaca sepenuhnya. Empat unit mid bass 6” America Sound US6SQ bersama 2 unit horn tweeter America Sound US80SPL memastikan kelengkapan audio bagi sistem SPL ini menghasilkan bunyi yang sepatutnya. Namun itu tidak lengkap tanpa kehadiran punca kuasanya iaitu seunit lagi amplifier 4 channel America Sound CS 4.500.
Sistem audio kereta ini kemudiannya disempurnakan dengan pemasangan beberapa unit monitor untuk paparan audio tambahan. Dua unit monitor TFT 7” pada perehat kepala digabungkan dengan dua unit monitor HD kecil di bahagian penutup but. Lebih menarik lagi, kesemua kemasan yang dibuat di bahagian but diselaraskan menggunakan bahan PVC putih. Semuanya dibalut kemas serta senada dengan bahagian kokpit malah keseluruhan badan kereta yang menggunakan tema asas warna putih.
Secara keseluruhannya, Civic ES ini berjaya dibina mengikut acuan yang dirancangkan. Namun pembinaan begini memakan masa yang lama dan memerlukan kepakaran tinggi installer berkebolehan. Mendapatkan hasil akhir yang sempurna adalah isu besar, tidak ramai orang memikirkannya ketika mula-mula memilih kedai aksesori. Pilih kedai yang betul kerana jika mereka tidak berpengalaman, nescaya anda terpaksa menunggu lama, berhabis duit dan terpaksa berpuashati dengan hasil ala kadar. Itu masih OK. Kalau kereta tersadai terus? Jadi buatlah pilihan tepat, tanya pendapat kedua dan jangan terus terjah!