RS Pro adalah antara salah satu premis pemasangan audio yang terkenal dengan hasil kerjatangan unggul mereka. Persinggahan ke premis mereka di Kepong menemukan kami dengan dua buah Toyota Vios yang dilengkapi sistem audio SQ yang memukau. Tidak syak lagi, saya akui bahawa mereka memang berupaya menghasilkan kereta yang cukup sempurna sebagaimana yang dikehendaki pelanggannya. Keseriusan syarikat ini menghasilkan pemasangan produk kreatif audio dengan sentuhan bunyi berkualiti dan akhirnya sebuah mesin lengkap yang boleh dibanggakan pelanggan mereka.
Ada pelbagai penalaan dan dekorasi audio yang pernah mereka buat. Ini satu daripadanya. Toyota Vios hitam dengan kit TRD Sportivo ini menggunakan gandingan produk Mosconi dan Morel. Kedua-dua jenama ini ibarat produk fesyen yang dijual dalam butik Pavillion. Aneh? Tidak, walapun Vios bukanlah sebuah kereta mewah, bunyi yang terhasil dari produk berkualiti tinggi menjadi idaman ramai orang tanpa mengira jenis kereta.
Untuk mendapatkan sistem bunyi SQ yang bagus, segalanya terletak kepada kemampuan pemproses. Sama ada pemain dengan pemproses yang canggih atau dengan amplifier yang mempunyai crossover bolehlaras atau pemain itu sendiri yang menjadi otak utama bagi penalaan sistem. Jika wang bukanlah halangan, dapatkan Pioneer DEX-P99RS. Setidak-tidaknya, separuh daripada kerumitan untuk memproses bunyi telah diselesaikan di peringkat ini.
Di bahagian kabin kereta ini kelihatan 2 unit tweeter yang cukup dominan di bahagian pillarnya. Ini adalah dewa untuk segala tweeter yang merupakan satu-satunya tweeter dengan markah penuh di setiap ujian baik di majalah ataupun dalam makmal. Morel Supremo ini memasuki tahun produksi hampir satu dekad dan prestasinya masih belum boleh ditandingi. Tidak hairanlah 2 unit tweeter ini sama harganya dengan sebuah motosikal ‘cub’.
Gandingan diteruskan dengan 2 unit mid pada panel pintu dari model Morel Elate yang bersaiz 6”. Speaker premium begini tidak akan dipasang begitu sahaja. Ia memerlukan set perumah yang paling kemas, kedap dan pendawaian kuasa yang cukup stabil. RS Pro menyelesaikan kesemuanya dengan resepi rahsia mereka. Sudah tentu teknik pemasangan mereka menjadi rahsia penting bagi syarikat ini.
Mengagihkan kuasa untuk mid dan tweeter ini ialah amplifier Mosconi 200.4. Amplifier 4 channel buatan Itali ini terkenal dengan kualiti ‘handcraft’ dan juga kuasa yang tidak pernah dipersoalkan. Papan IC kapasitor dan kawalan dalamannya dihasilkan dari bahan berkualiti tinggi, justeru ia bukanlah amplifier yang boleh anda jumpa dijual setiap hari. Pengeluarannya perlahan kerana dibuat dengan tangan dan set ini mendapat jaminan pengeluar sebagaimana spesifikasi yang ditonjolkan. Amplifier ini menjadi kegemaran penggila SQ kerana aturan frekuensinya yang tepat dan kiraan watt yang sangat stabil.
Amplifier ini dipasangkan di bahagian belakang but Vios ini dengan cara yang tersendiri. Jujurnya, saya suka melihat cara RS Pro mengendalikan rekaan SQ untuk setiap pelanggan. Mereka seringkali mengenengahkan idea yang berbeza. Amplifier Vios ini dilekapkan pada dinding but bersama dengan amplifier 2 channel Mosconi 300.2 yang kemudiannya ditutup dengan perspex nipis.
Efek neon oren dibuat untuk memberi ilusi bahawa set ini berada dalam lokasi yang berbeza. Kemasan estetik ini juga diteruskan dengan plat yang diukir dengan logo Morel dan ditampal pada bawah speaker board. Sayangnya, kerjatangan ini tidak begitu kelihatan melainkan anda mendorongkan kepala dan mendongak ke atas bahagian but.
Seunit woofer Morel Ultimo 12” dipasangkan di bahagian sisi kiri but menggunakan kotak perumah khas yang diperbuat daripada kayu. Di sebelah kanannya ialah perumah ‘fuse box’ yang dipasang menjadi sebuah lokasi kosmetik juga. Pendek kata, bahagian but kereta ini membentuk satu landskap yang ringkas, praktikal dan menarik.
Kesemua peralatan yang dipadankan pada kereta ini bukanlah sedikit belanjanya. Tapi ini realiti sebenar dalam dunia SQ. Jika anda mahukan akustik yang benar-benar berkualiti, tidak dapat tidak, wang yang banyak mesti jadi taruhan!