Akhirnya, Satria dengan pelekat Kar HiFi mendarat juga di ruangan show off ini. Pihak kami sudah lama maklum tentang kewujudan Satria yang sering kali menjadi perhatian tak kira ke mana sahaja atau apa juga acara yang disertai khususnya di bahagian Utara Malaysia. Apa yang lebih menarik dan istimewa tentang Satria ini, bukan hanya terletak pada pelekat Kar HiFi semata-mata tapi pemiliknya. Sekejap, apa yang menarik tentang pemiliknya? Boleh teka?Sebagaimana yang dikatakan awal tadi, Satria ini sudah pun dikenali di kalangan para pencinta dunia permotoran di bahagian Utara Malaysia kerana pemiliknya yang aktif menyertai pelbagai aktiviti. Kepada anda yang masih belum mengenali pemiliknya, beliau merupakan seorang peminat modifikasi kereta tegar khususnya sistem audio yang sudah pun berusia 48 tahun. Abdul Rahim Jusoh atau lebih mesra dengan panggilan Rahim Kar HiFi bertugas sebagai mekanik kereta dan bekerja di bengkel sendiri. Pasti ada antara anda meneka pemilik Satria ini tentu seorang anak muda, bukan?
Mula melibatkan diri dan berjinak-jinak dengan audio sekitar tahun 2005, beliau merupakan antara orang lama atau otai modifikasi audio di Sungai Petani. Berpengalaman lebih 12 tahun dalam dunia audio kereta, Rahim memilih Proton Satria sebagai jentera yang dilengkapi dengan sistem audio dan disepadukan dengan cukup bijak. Justeru, tidak hairanlah apabila pemain utama dihidupkan, satu putaran audio lengkap berjaya menghasilkan bunyi yang mantap dengan hentaman bass yang cukup bertenaga tetapi masih damai kedengaran di telinga.
Selain mencuri perhatian dengan pelekat hasil kerja Tom’s Sticker, satu lagi keunikan Satria ini adalah kelengkapan sistem audio yang dipasangkan. Hampir 85 peratus aksesori audio terdapat pada sistem audio Satria ini merupakan aksesori dari Thailand. Bagi memastikan kecemerlangan kualiti pada sistem audio, Rahim telah menggunakan dua pemain utama, Philips dan juga Pioneer. Isyarat dari data yang diproses disalurkan kepada seunit pre-amp 10 band jenama Sound Mad dan seunit pre-amp 4 band jenama Zulex sebelum dihantar kepada barisan amplifier yang terdiri dari amplifier 4 channel Ameron, amplifier Zules dan juga seunit amplifier monoblock.
Seterusnya, kesemua amplifier ini bertugas untuk menguasakan barisan speaker yang telah disusun cukup rapi dengan mengambil kira posisi yang tepat agar kualiti yang dihasilkan menepati citarasa. Sebanyak 18 unit speaker telah dipasang untuk memeriahkan Satria Kar HiFi ini yang terdiri dari 2 unit mid 6.5” dan 8 unit speaker 6”, kedua-duanya berjenama Pro (Thailand). Bagi frekuensi tinggi pula, sebanyak 8 unit tweeter telah digunakan dan untuk memberikan keseimbangan kepada bunyi yang dihasilkan, Rahim memasang 2 unit woofer 12” dari jenama X Power. Menambahkan lagi sudut santai, Rahim memasang skrin LCD 32” yang ditanam dalam perumah khas dengan membuka kerusi belakang.
Walaupun bahagian audio sudah lengkap dan mengangkat nama Rahim apabila sering memenangi pertandingan audio yang disertainya termasuk ditabalkan sebagai pemenang Best Of 2 Woofer, masih belum sempurna kalau sudut interior Satria ini. tidak diceritakan. Boleh dikatakan, Satria ini antara kereta audio dengan sistem audio talaan SPL yang paling kemas pernah saya jumpa. Tidak banyak yang ditambah tetapi gabungan warna jingga yang garang dan kerusi custom made membuatkan Satria Kar HiFi ini mempunyai gaya yang elegan dan tersendiri.