Dianggarkan lebih 350,000 pengunjung telah menghadiri Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS 2018) yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Bermula dari 23 November hingga 2 Disember lalu, pameran berprestij dan bertaraf antarabangsa ini kembali memeriahkan dunia dan industri permotoran tanah air sejak kali terakhir diadakan pada tahun 2013.
Dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), acara yang berlangsung selama 10 hari ini dan dipadatkan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai para pengunjung yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat. Diadakan buat kali yang kesembilan pada tahun ini, penganjuran KLIMS 2018 amat dinanti-nantikan khususnya oleh para pengamal dan penggiat dunia permotoran.
Sebanyak 74 pempamer telah menyertai KLIMS pada kali ini. Selain reruai yang disediakan, antara tarikan utama penganjuran KLIMS 2018 ini adalah segmen cabutan bertuah yang menawarkan tiga kereta iaitu Toyota C-HR, Honda City Hibrid dan Perodua Myvi. Para pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang mencuba nasib untuk menjadi pemilik kepada barisan kereta yang ditawarkan ini.
Bertemakan Beyond Mobility, KLIMS 2018 turut menerima kunjungan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang sudi meluangkan masa mengunjungi beberapa reruai termasuk Petronas. Penganjuran KLIMS 2018 dimeriahkan lagi dengan pelancaran kenderaan dan produk automotif, prebiu model kenderaan: kereta konsep dan sesi demonstrasi mempromosikan produk keluaran masing-masing.
Para pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan barisan prototaip kenderaan dari universiti menerusi Innovation Zone, kereta-kereta Vintaj dan klasik di Down Memory Lane Zone dan 6 motosikal yang dibuat khas menerusi Art Of Speed Zone. Peluang ini turut digunakan para pengunjung untuk mengumpul maklumat dari setiap para pempamer dan tidak kurang juga menggunakan kesempatan ini melanggan dan membeli produk pada harga yang berpatutan.
Kehadiran barisan selebriti terkenal tanah air secara tidak langsung menghangatkan lagi penganjuran KLIMS 2018. Bukan itu sahaja, golongan kanak-kanak juga tidak dilupakan dan pihak penganjur telah menyediakan aktiviti khas iaitu Family Fun Time yang dibahagikan kepada beberapa segmen lain seperti Sekolah Memandu Kanak-kanak, Inflatable Castles dan juga Buskers.
Diharapkan dengan sambutan yang menggalakkan ini dapat mendorong para penganjur untuk menjadikan KLIMS sebagai acara tahunan dan tidak perlu menunggu lama untuk kembali menggegarkan dunia permotoran tanah air. Kepada yang mungkin tidak berkesempatan untuk mengunjungi penganjuran KLIMS 2018, anda masih boleh menyaksikan kemeriahannya menerusi liputan yang telah pihak Kar HiFi sediakan untuk isu kali ini.