Ini kereta yang paling boleh diharap. Proton Wira. Dikeluarkan lebih 10 tahun dalam pasaran dan akhirnya digantikan dengan Gen2 (kemudiannya Persona). Saya rasa, reliabiliti Wira itu jauh lebih baik dari Gen2 yang menggantikannya, kereta ini boleh digunakan untuk apa sahaja dan sehingga ke hari ini, agensi kereta sewa lebih percaya kepada Wira berbanding menyimpan stok Gen2.
Realiti kereta ini lasak adalah kerana faktor teknologi Mitusbishi. Malah saya pernah tengok Wira mengangkut pekerja masuk ke tapak pembinaan. Di tanah rancangan FELDA pun, kereta ini dibawa masuk ke dalam ladang. Rosak? Bersepah alatgantinya yang lebih murah dari menyelenggara sebuah Kancil.
Masuk ke tahun 2014, masih ramai yang mengambilalih kereta Wira untuk tujuan yang lain. Salah satunya ialah sistem audio yang diperkenalkan kepada kami, Power Bass. Dikatakan dibina untuk menumpukan bunyi bass yang optimum pada bajet rendah berbanding jenama terkenal.
Susunan sistem kereta ini bermula dengan pemasangan pemain CD, TEAC TE-605. Sekadar menjadi medium pembaca CD dan penerima siaran radio, isyarat disimpangkan kepada seunit pre-amp Power Bass XEQ-9XO yang berkemampuan mengasingkan 9 isyarat bunyi berbeza mengikut frekuensi. Dari sini, kuasa dan pemprosesan bunyi dipecahkan kepada 2 unit amplifier kelas A/B Power Bass ASA-400.4. Sebagai tambahan untuk frekuensi rendah, seunit amplifier digital monoblok Aulux AXP-D800 kelas D mengambil posisi.
Penumpuan bunyi diserahkan sepenuhnya kepada sistem yang dibina pada bahagian but belakang. Isyarat dikeluarkan dari setiap amplifier tadi menguatkan pembesar suara yang terdiri daripada 2 unit mid bass 6.5” Power Bass 3XL-6502 dan 4 unit mid bass 6.5” 4XL-6592 yang dipasangkan di bahagian bootlid. Ia dipasangkan dalam perumah buatan khas dari bahan gentian kaca. Set mid bass ini dilengkapkan frekuensi tingginya menerusi pemasangan 2 unit horn tweeter 4″ jenis compression Xpro-4H.
Untuk mendapatkan rekabentuk yang lebih menarik, set binaan tadi telah dilapikkan dengan PVC ala kemasan karbon berwarna merah. Lapisan gentian kaca tadi berjaya dilindungi sepenuhnya dan lapisan merah terus dikenakan ke bahagian but yang menempatkan woofer dan aksesori yang lain.
3 unit woofer Power Bass M1240 dipasang dalam sebuah kotak khas buatan custom. Mendapat kuasa dari amplifier monoblok tadi, fungsi woofer berdiameter 12 inci ini berjaya ke matlamatnya. Memang boleh diharap but Wira ini mampu memuatkannya tanpa sebarang kerenah. Seunit power capacitor 2.4 farad dipasangkan bagi memastikan kuasa untuk woofer tadi sentiasa konsisten.
Kelengkapan peralatan audio tadi dimuatkan dengan kemas dalam but pada bahagian dasar yang dialas menggunakan pelapik perspex lutsinar. Sebagai melengkapi aspek kosmetik keseluruhannya, kemasan PVC merah menjadi hiasan kepada aspek pengubahsuaian sistem audio Proton Wira ini.
Saya yakin, untuk tahun-tahun berikutnya, bilangan Wira yang masih bergerak di jalanraya akan terus kekal menjadi ikon kebanggaan Proton. Kita masih boleh membuktikannya di mana-mana. Baik di pasaraya, trek perlumbaan, sekolah, masjid dan di mana sahaja, kereta ini akan menjadi pengangkutan dipercayai oleh banyak generasi.
Menjadikan kereta reliable dilengkapi sistem audio dengan jenama seperti Power Bass ini pula adalah idea yang sesuai. Mungkin ia paling sesuai untuk sepanjang zaman!