Memiliki sebuah kereta eksekutif sedan ialah impian ramai pekerja kolar putih khususnya di negara Malaysia. Ia menandakan bahawa seseorang itu sudah mengecapi kejayaan di dalam kerjayanya. Malah, ia jelas menunjukkan kematangan dan secara rasmi meninggalkan alam belia. Masakan tidak, hanya mereka yang berpendapatan tinggi sahaja mampu memiliki kereta seperti ini.
Mazda 6 ialah jawapan Mazda untuk kategori kereta segmen C yang mempunyai sebilangan pesaing yang popular seperti Toyota Camry dan Honda Accord. Dengan rekabentuk lebih sporty, Mazda 6 ialah sebuah kereta eksekutif sedan bagi mereka yang mahukan kelainan dan agak berat hati nak meninggalkan gaya hidup seorang belia secara total.
Mungkin kerana itu, pemilik Mazda 6 ini mahu menyambung hobi memiliki sistem audio gempak dibinanya dalam kereta terdahulu. Boleh jadi, sistem audio kegemarannya ialah dari sistem talaan SPL yang menarik perhatian ramai terhadap keretanya, tapi kini, sistem audio yang dibina merupakan sistem talaan SQL yang lebih kepada kepuasan diri sendiri.
Pemilik Mazda 6 ini mahukan keretanya masih praktikal digunakan untuk pemanduan harian ke tempat kerja dan membawa keluarga bersiar-siar di hujung minggu. Jadi, but belakang yang penuh dengan woofer atau tempat duduk belakang ditanggalkan demi meletakkan amplifier dan speaker ialah perkara yang wajib dielakkan. Dengan permintaan itu, installer sistem audio kereta ini perlu mematuhinya dan bekerja di dalam kekangan yang diberikan oleh pelanggannya.
Kereta-kereta moden zaman sekarang kebanyakkannya dibekalkan dengan unit utama yang cukup baik. Mazda 6 ini didatangkan dengan unit utama yang lengkap dengan sistem main semula DVD, CD dan juga MP3, jadi tak ada sebab ia harus diganti. Dengan mengekalkan unit utamanya, wang boleh dilaburkan kepada perkara-perkara lain seperti unit pemproses bunyi digital buatan Zapco DSP8 yang berfungsi memecahkan frekuensi bunyi dan memberi kawalan kepada installer untuk menala bunyi.
Dari situ, installer sistem audio ini memadankan sebanyak tiga unit amplifier dengan fungsi yang berbeza bagi setiap jenis speaker yang dipasang. Untuk menguatkan bunyi frekuensi tinggi, seunit amplifier Target Audio 74.2 jenis 2 saluran digunakan semata-mata untuk membekalkan kuasa kepada 2 unit tweeter Phoenix Gold yang dipasang tinggi pada tiang-A kenderaan untuk mendapat staging bunyi yang baik.
Tweeter berkenaan ialah sebahagian daripada unit speaker komponen Phoenix Gold Elite di mana rakannya, 2 unit mid bass 6.5” telah dipasang di dalam perumah OEM panel pintu Mazda ini. Midbass berkenaan diberi kuasa oleh seunit lagi amplifier Target Audio TA-75.2 yang dipasang khusus untuk mid bass berkenaan. Mungkin anda tertanya-tanya, mengapa tak guna saja amplifier 4 saluran? Baiklah, menggunakan amplifier yang berbeza sebenarnya lebih baik dari segi penyaluran kuasa kepada speaker.
Amplifier ketiga dan juga yang terakhir ialah tak lain dan tak bukan, amplifier untuk woofer. Tidak lengkap apa-apa jenis sistem audio jika woofer, iaitu speaker yang mereproduksi semula bunyi frekuensi rendah tidak digunakan. Kombinasi bunyi tinggi, sederhana dan rendah yang harmoni ialah apa yang diidamkan oleh para peminat muzik. Mazda 6 ini dibekalkan dengan amplifier jenis dua saluran Target Audio TA-120.2 untuk menghentam satu unit woofer Phoenix Gold R3 yang bersaiz 12”. Oleh kerana saluran kuasa yang diperlukan oleh woofer tadi hanyalah dalam bentuk mono, jadi installer telah melakukan bridging terhadap amplifier tadi dan mengubah saluran dari stereo dua saluran kepada mono satu saluran.
Aksesori-aksesori audio seperti woofer, amplifier dan juga DSP telah diletakkan di dalam satu perumah buatan custom pada ruang di antara but penyimpanan barang dan tempat duduk belakang. Perumah tersebut dibina dari bahan kayu dan dibalut semula dengan karpet berwarna hitam bagi memberi ilusi seolah-olah perumah tadi ialah sebahagian daripada komponen OEM kereta. Ruang yang digunakan juga adalah kecil, jadi ruang penyimpanan barang di dalam but masih lagi luas untuk menyimpan bagasi dan beg golf – seperti apa yang dikehendaki oleh pemilik kereta ini. Sistem audio seperti ini cukup praktikal dan masih mampu memberi reproduksi bunyi yang baik. Inilah sistem yang diimpikan oleh setiap lelaki bekeluarga untuk kereta mereka.