Kalau anda cukup bijak, berikan saya 5 alasan kukuh kenapa mesti beli Hyundai/Inokom Atoz. Jangankan lima, 3 pun belum tentu. Konsep kereta ala ala Kenari ni nampak tak begitu berjaya, tapi selepas ketiadaan Kenari, segmen kereta kecil-tinggi ni nampaknya macam memang ada slot dalam pasaran. Tak kisahlah, yang penting, ‘isi’ yang berada dalam Hyundai Atoz putih biru dalam gambar ini.
Blaupunkt. Jenama ini hampir dilupakan dalam industri meskipun ia adalah antara yang paling popular pada pertengahan 90-an di mana kesemua kereta Proton dipasangkan dengan pemain kaset yang susah betul nak rosak. Kadang-kadang tombol pulas dah tercabut terkulai, tapi radio masih berbunyi dengan baik.
Blaupunkt adalah pembuat peralatan elektronik dari Jerman. Syarikat ini adalah subsidiari daripada Robert Bosch GmbH sehingga 2 tahun lepas dijual kepada Aurelius AG. Tak kisahlah siapa pemiliknya kini, yang pasti Blaupunkt telah melalui zaman yang mencabar. Bermula pada tahun penubuhannya 1923 di Berlin, syarikat asal dikenali sebagai ‘Ideal’, kemudian nama Blaupunkt digantikan pada 1938 yang bermaksud ‘titik biru’ dalam bahasa Jerman. Titik biru itu ialah penanda QC pada setiap produk fon kepala ‘Ideal’ pada masa itu.
Pada era 60-an dan 70-an, Blaupunkt menjadi jenama Jerman yang utama dalam pasaran audio kenderaan. Kerjasama OEM meningkatkan keuntungan syarikat berlipatkali ganda. Antara pembuat yang menggunakan khidmat Blaupunkt ialah Audi, Volkswagen, Porsche, Mercedes, Vauxhall dan BMW.
Pada satu ketika, anda tak dapat melihat langsung jenama ini di kedai-kedai aksesori kereta. Sehinggalah mereka mengumumkan untuk kembali ke Malaysia. Kedatangan mereka dengan imej baru yang mana kebanyakan nama pemain mereka dijudulkan berdasarkan nama lokasi bandaraya Amerika Syarikat. Atoz ini adalah objek yang diketengahkan oleh Blaupunkt Malaysia sebagai unit promosi bergeraknya. Kereta ini dipilih untuk dipasangkan dengan rangkaian produk Blaupunkt untuk tahun 2011.
Pemain utama yang dipasang merupakan unit atau San Francisco 310. Pemain ini adalah gantian siri SF300 di mana perbezaan ketaranya ialah input USB dan juga Auxilary. Secara teorinya, ia adalah pemain kelas pertengahan dengan mod bacaan media yang pelbagai, termasuklah jack untuk disambungkan terus kepada ipod dan iphone. Pre-out nya juga didatangkan dengan kawalan terus untuk woofer.
Namun sebagai kereta demo denngan bilangan speaker yang banyak, pilihan dibuat untuk menguruskan frekuensi laluan dengan menggunakan pre-amp, lebih mudah ditala dan lebih bersepadu dan senang mengatur laluan pendawaiannya. Pre-amp ini adalah buatan aftermarket dengan kawalan 5 band. Ia kemudiannya disambungkan kepada empat unit amplifier. Amplifier tersebut ialah 2 unit amplifier 4 channel GTA 470SF dan 2 unit amplifier 2 channel GTA270SF. Keempat-empat unit amplifier ini dipasang dalam perumah khusus yang diperbuat dari arkilik nipis, kesemuanya disusun dalam satu barisan menegak di bahagian but dengan binaan kayu yang dibalut dengan PVC putih.
Speaker yang dipilih dalam sistem Atoz ini terdiri daripada set komponen Blaupunkt GTP662.C dan juga mid bass 6.5” GTP663. Kesemua speaker ini disusun dengan sistem tersendiri dengan fungsi output berbeza. Di bahagian kokpit hadapan, 2 unit speaker komponen dipasang pada panel pintu. Di pintu belakang juga dipasangkan dengan set speaker komponen dari model serupa Blaupunkt GTP662.C.
Binaan audio lebih serius pada bahagian but belakang yang menempatkan dua unit woofer Blaupunkt GTP1200W. Bagi menguasakan dua unit woofer ini, dua unit amplifier 2 channel Blaupunkt GTA 270SF yang mana setiap satunya memacu satu unit woofer.
Woofer ini dipasangkan dalam kekotak khas di bahagian bawah. Frekuensi dibahagikan dengan sempadan khas yang diperbuat dari papan nipis yang disalut PVC. Bahagian atasnya dipasangkan dengan 2 unit mid bass 6 .5” dan 2 unit speaker coaxial. Speaker ini diletakkan dalam perumah khusus di kedua-dua sisi.
Set terakhir ialah speaker coaxial yang dipasangkan pada trunk lid belakang. Berbeza dengan Kenari yang mana pintu dibuka ke sisi, pintu Atoz dibuka ke atas yang memberi spektrum bunyi lebih luas. Speaker ini dipasangkan bersama dengan 2 unit tweeter dari set komponen asal GTP662.C di bahagian but tadi.
Binaan Atoz ini dibuat menyeluruh termasuklah kemasan dalamannya yang menggunakan warna korporat Blaupunkt iaitu biru putih. Khidmat Komi digunakan untuk membalut kesemua bahagian upholesteri dalaman kereta yang cukup kemas dan ‘hidup’. Akhir sekali, ia berjaya ditransformasi menjadi sebuah kenderaan promosi yang menarik. Maksud saya menarik dari segi imej yang cuba disampaikan.