Sekali lagi, sejarah tercipta di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur dengan berlangsungnya EMMA Asia Final 2023. Acara yang mempertandingkan sistem audio kereta berprestij dunia ini telah berlangsung sepanjang hujung minggu lalu dan menyaksikan sambutan yang menggalakkan.
Lebih mengujakan lagi, sistem audio yang menghiasi kereta yang dipertandingkan bukan calang-calang. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan memberikan cabaran kepada barisan juri untuk mencari hanya yang terbaik sekali gus ditabalkan sebagai pemenang!
Dimulakan seawal pagi dengan pendaftaran para peserta, program diteruskan dengan upacara perasmian Auto Fiesta yang diadakan hasil usahama di antara AAA dan juga EMMA. Barisan juri bukan sahaja diuji dalam misi pencarian pemenang terbaik tetapi juga terpaksa berhadapan dengan cuaca yang agak panas. Namun, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat para peserta yang sudah bersedia dari segala segi termasuk mental dan fizikal.
Bagi makluman, pemilihan lokasi pertandingan akhir ini yang diadakan di Dataran Merdeka sangat tepat dan bersesuaian dengan keterujaan yang bukan sahaja dirasakan oleh para peserta, malah para pengunjung yang turut memeriahkan lagi suasana. Sebanyak 200 buah kereta berjaya dihimpunkan dan dipamerkan sepanjang acara berlangsung.
Di sebelah petangnya pula, para pengunjung dijemput menonton persembahan oleh para peserta yang mempamerkan kehebatan kereta-kereta yang dipamerkan. Malah, ada juga kereta yang dibawakan khas dari Singapura. Sekitar pukul 8.00 malam, acara tertumpu di atas pentas untuk atucara yang dinanti-nantikan iaitu majlis penyampaian hadiah.
Dikendalikan oleh Mickey Tang, ketua kepada organisasi ini yang turut menyediakan beberapa elemen mengejutkan. Piala-piala atau trofi kemenangan dapat dilihat dari jauh dan menambahkan lagi debaran sepanjang majlis berlangsung. Tahniah diucapkan kepada para pemenang yang berjaya mencuri hati para juri. Setinggi-tinggi penghargaan turut diucapkan kepada pihak penganjur kerana sekali lagi berjaya menganjurkan acara berprestij ini dengan penuh bergaya!