Barangkali, tidak keterlaluan jika ramai beranggapan dunia modifikasi yang melibatkan kereta khususnya untuk sistem audio agak perlahan kebelakangan ini. Tambahan pula keadaan ekonomi yang semakin lemah dan mengakibatkan beberapa syarikat audi terpaksa akur dan tumpas. Malah, ada yang terpaksa beralih arah demi untuk meneruskan hayat perniagaan masing-masing.

Biarpun ekonomi tidak begitu memihak kepada syarikat dan kedai-kedai aksesori tetapi masih ramai peminat dunia audio yang setia memeriahkan persada dunia audio tempatan. Ini dapat dilihat menerusi penglibatan para peserta dalam pertandingan audio yang dijalankan sepanjang tahun tanpa mengira kapasiti pertandingan itu sendiri, sama ada besar mahupun sederhana dan kecil.

Keyakinan dan semangat para pencinta audio memang tidak dapat dinafikan. Ada di antara mereka yang meluangkan masa serta berusaha menganjurkan pelbagai aktiviti sekali gus menghidupkan dunia permotoran tempatan. Antara yang terus menyemarakkan dunia audio ini adalah pemilik Forte yang dilengkapi audio jenama Memphis, saudara Sharulnizam Awang.

Beliau yang juga dikenali sebagai Salo Nez, mula berkecimpung dalam bidang audio sejak tahun 2014 kerana meminati bidang audio dan juga autoshow. Menetap di Bayan Lepas di Pulau Pinang, Sharul kini bertugas sebagai pengurus operasi di Ozo Prestige Sdn Bhd dan bijak mengurus serta membahagikan masa antara tugas dan minatnya dalam dunia permotoran, khususnya audio kereta.

Beliau yang meminati bass telah membina dan memasang sistem audio talaan SPL ke atas kereta Forte keluaran Kia miliknya. Kalau diperhatikan betul-betul, anda boleh lihat logo Bassaholic Certified Extreme. Bagi memudahkan pemahaman para pembaca, Kia Forte ini merupakan sistem talaan SPL yang berkonsepkan VIP Elegance Lifestyle. Bukan sahaja menjalani pengubahsuaian pada sistem audio, malah kerja modifikasi diluaskan secara keseluruhannya tanpa mencederakan ciri-ciri elegan pada Forte ini.

Sebanyak 14 unit speaker digunakan yang terdiri dari 4 unit woofer, 4 unit mid bass dan 2 unit horn tweeter. Kesemua speaker dipasang mengikut staging yang tepat dan dalam masa yang sama memenuhi citarasa Salo Nez sendiri. Dimulakan dengan pemain utama 2-din Clarion NX502A. Selain mempunyai ciri-ciri lazim yang ada pada setiap pemain utama, Clarion NX502A ini memberi kebebasan untuk para penumpang di bahagian belakang mendengar muzik dari iPod atau menonton Dvd tanpa mengganggu dan diganggu para penumpang atau pemandu di bahagian depan. Namun, ciri ini tidak digunakan kerana di bahagian tempat duduk penumpang di belakang telah digunakan untuk mengisi perumah woofer.

Seterusnya, seunit pre-amp 7 band Epsilon digunakan untuk membantu melancarkan isyarat audio yang diproses terlebih dahulu oleh pemain utama. Dari sini, 3 laluan baru dibentuk dan setiap satunya dikuasakan pula oleh seunit amplifier. Ketiga-tiga amplifier ini pula memacu barisan speaker yang terdiri dari woofer, mid bass dan horn tweeter. Laluan pertama didahului seunit amplifier 2 channel Prokick yang memacu 2 unit horn tweeter Stellar. Setiap satu unit horn tweeter ini dipasangkan pada panel pintu di bahagian depan.

Ini diikuti laluan kedua yang dimulakan dengan seunit amplifier 4 channel Element ZX-5164 yang memacukan sejumlah 8 unit mid bass Memphis 15-SRX6C. Mungkin jenama ini jarang menghiasi kereta-kereta yang pernah muncul dalam majalah KarHiFi, tetapi ia merupakan salah satu jenama berpengaruh di persada dunia audio. Ditubuhkan sejak tahun 1965, jenama Memphis ini mempunyai pengikut tersendiri dan dikenali kerana reputasi serta kualiti setiap barisan produk keluarannya. Baiklah, kembali semula ke sistem audio Kia Forte ini, kesemua unit mid bass Memphis dipasangkan di kedua-dua panel pintu di bahagian hadapan dan setiap satu pintu dipasangkan sebanyak 4 unit mid bass.

Melengkapkan sistem audio Kia Forte ini adalah laluan ketiga yang didahulukan seunit amplifier 2 channel Alphasonik PMA 1000 HCA. Amplifier ini memacu 4 unit woofer 15” Memphis yang ditempatkan pada perumah khas yang menggantikan kerusi penumpang di bahagian belakang seperti disebut awal tadi. Justeru, pemilihan konsep VIP bagi menghiasi sudut interior Kia Forte ini dilihat sebagai tepat dan juga bijak. Agak-agak, berapa kos yang dibelanjakan Salo untuk mendapatkan kereta yang berjaya memenuhi citarasa beliau? Anda pula bagaimana? Sudah sedia untuk memodifikasi sistem audio yang memberikan kepuasan anda?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 95




























