
Ia sebuah kereta yang sangat penting dalam industri automotif Malaysia. Proton Saga adalah kereta tempatan pertama yang dikeluarkan seawal tahun 1985, berkembang menjadi Iswara, LMST, Saga BLM dan yang terkini Saga generasi ketiga. Apa juga pendapat anda tentang kereta kini, Saga BLM masih mengekalkan konsep kereta ekonomi untuk dimiliki oleh pelanggan yang perlukan sebuah kereta penumpang yang mampu milik.
Mampu milik? Ya betul. Tapi untuk transformasi penuh, ia mesti mampu diubahsuai dan bila tiba ke peringkat ini, hanya yang benar-benar minat sahaja sanggup melaburkan sejumlah wang yang besar untuk menjadikan ia lain dari lain.
Zulkifli mempunyai idea bernas yang tak ramai orang fikir untuk diterjemahkan pada Saga BLM. Jika anda biasa dengan persekitaran Autoshow, kereta ini sering berada di petak pertandingan. Memiliki kosmetik dengan bodykit, sistem audio dan tema Green Lantern, sudah tentu ia menarik perhatian ramai.
Berasal dari Kuantan, Zulkifli memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada Special Audio Car Accesories di Jalan Beserah untuk menaiktaraf kereta beliau sesuai untuk pertandingan dan masih boleh dipandu setiap hari. Ia bermula dengan konsep mudah, pemasangan bodykit di segenap sudut dan kemudian, bahagian dalaman yang diperbaharui dengan tema warna hijau yang memang cukup terang!
Manakala sistem audio pula menampilkan sejumlah peningkatan besar. Kereta Proton Saga ini dilengkapi pemain utama Pioneer dengan fungsi mainbalik DVD untuk bahagian kabin dan sebuah pemain sekunder juga dengan fungsi DVD di bahagian but belakang.
Pemain ini disambungkan dengan dua unit amplifier berbeza siri. Yang pertama ialah amplifier 2 saluran Rockgford Fosgate dan yang kedua dari jenama sama tetapi dengan keupayaan keluaran 4 saluran.
Amplifier dua saluran tadi bertugas memandu dua unit woofer 12” Anaconda PA12 yang diletakkan di bahagian but belakang. Woofer ini dipasangkan dalam lapisan kedap udara menerusi pembuatan kotak khas dari papan kayu tebal. Perumah ini dibina menggunakan lapisan akhir PVC hijau, sama seperti tema keseluruhan kereta ini.

Empat unit mid bass Rockford Fosgate bersaiz 6.5” bersama dua unit tweeter Black General dipasangkan pada bahagian boot lid kereta. Dengan kata lain, ia adalah pemasangan jenis konvensional yang berfungsi untuk kereta pameran atau pertandingan.
Kombinasi mid bass dan tweeter frekuensi tinggi ini menerima kuasa dari amplifier 4 saluran Rockford Forsgate tadi. Secara teorinya, gabungan kuasa dan fizikal pemasangan adalah cukup untuk memacu sistem audio kereta ini dengan sempurna.
Bagi memudahkan penalaan dibuat, seunit pemproses bunyi dari Audio Control telah dipasangkan. Pemotongan frekuensi dan masalah staging yang bertindan diminimumkan dengan pelaras luaran ini. Kesemua komponen ini dipasangkan dalam but belakang dengan hiasan bertemakan PVC hijau fluorescent yang cukup untuk menarik orang yang berada 500 meter untuk datang melihat dengan lebih dekat.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 92































