Kolej Komuniti Pasir Salak di bawah Sijil Servis kenderaan Ringan dengan kerjasama BRX Racing dan J-PAQ Motorsport telah menganjurkan Pasir Salak Drag Day 2018 yang berlangsung pada 25 November lalu Litar Lumba Dato’ Sagor, Kg. Gajah. Pertandingan yang menerima kira-kira 80 penyertaan daripada pelumba kereta dalam negeri Perak serta beberapa negeri lain di sebelah utara Malaysia ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan khususnya kepada golongan muda terhadap dunia permotoran dan dalam masa yang sama membanteras kegiatan lumba haram.

Disamping itu, penganjuran perlumbaan ini juga merupakan salah satu usaha mendidik para pelumba untuk mengutamakan aspek keselamatan. Dianggarkan lebih 1,000 orang pengunjung telah membanjiri ruang litar lumba ini yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan 3 kategori utama yang dipertandingkan iaitu perlumbaan ‘Non Turbo (auto) NA, kategori turbo dan kategori khas (Open IPT). Program yang julung kali dianjurkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan kerjasama kelab permotoran ini juga merupakan salah satu usaha untuk mengeratkan lagi usahama kolaborasi badan kerajaan dan badan berkanun.

Menurut pengarah program, Encik Omar Amiruddin berharap program ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan dan mencungkil bakat anak muda khususnya dari negeri Perak. Dalam masa yang sama, beliau turut mempelawa anak-anak muda untuk menyambung pengajian dalam bidang Sijil Servis Kenderaan Ringan di Kolej Komuniti Pasir Salak. Program ini telah melabuhkan tirai dengan acara kemuncak, penyampaian hadiah kepada para pemenang yang menerima wang tunai berserta piala kemenangan yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Pasir Salak, Dr. Muhammad Razuan Bin Abdul Razak.

























