Serius atau tidak seseorang membina sebuah kereta custom adalah berdasarkan rekabentuk dan cara. Ini adalah satu contoh golongan ekstrem yang telah mendahului keperluan moden terhadap sebuah kereta yang kebanyakan orang biasa menggunakannya sebagai pengangkutan harian. Perodua Myvi sekali lagi terbukti bahawa ia sebuah kereta yang versatil dan boleh di pelbagai gunakan atau lebih tepat lagi, sudah tidak boleh digunakan.

Kerja pembinaan kereta ini bukanlah dilakukan dalam versi biasa. Ia adalah rombakan besar-besaran terhadap konsep custom yang cukup teliti dan menyeluruh. Ia membawa bertan-tan bahan gentian kaca, membesarkan saiznya 1.4 dari asal namun itu hanyalah permulaan. Konsep dan hiasannya dipilih berdasarkan ikon terkenal hero kungfu lagenda Bruce Lee. Satu lagi cara interpretasi ikon lagenda yang tentunya bakal menjadikan imej sesebuah kereta itu lebih terkenal.

Semuanya bermula dengan hobi masa lapang ketika berbual dengan rakan dan sesi santai hujung minggu. Kebanyakan orang memang bermula begitu. Sedikit demi sedikit kereta ini menerima pengubahsuaian yang menukarkan kereta jalanan kepada versi autoshow sepenuhnya. Dua benda utama yang menukar rupabentuknya ialah penggunaan teknik airbrush dari Jaz Aitbrush dan penggubahan kit badan buatan gentian kaca oleh Nice Bodykit.
Melihat kepada pembinaan sistem audionya ia jelas bertujuan untuk menjadikannya sebuah jentera yang cukup sifatnya untuk pameran dan pertandingan. Meskipun pelbagai jenama digunakan, ia tidak menjejaskan keseluruhan sistem yang telah ditala dengan begitu baik. Keharmonian bunyi yang dihasilkan bukan memfokuskan kepada SPL atau SQL, ia jenis sistem bebas dengan versatil mengikut keperluan.

Sistem ini bermula dengan pemain 2-din Alphasonic. Pemain ini menyambungkan isyarat dan diperkuatkan dengan tiga saluran luaran yang terdiri dari 2 amplifier 4 channel dan seunit amplifier monoblok. Seperti yang diduga, amplifier monoblok tersebut memberi fokus khusus kepada dua unit woofer 12” yang dipasangkan di bahagian but belakang.
Sebanyak 4 unit monitor TFT 7” dipasang pada lokasi strategik. Lebih dominan mungkin kehadiran seunit TV LCD 19” dan 32” di bahagian penumpang belakang. Kesemuanya dipasang dalam perumah khas diperbuat dari bahan fibre glass. Jumlah siaran visual ini tidak berakhir di situ. Jika perkiraan saya betul, sebanyak 10 unit lagi monitor kecil berukuran 3.5” diletakkan di pelbagai lokasi. Ringkasnya, visual yang dimainkan hampir boleh ditonton dari arah mana sahaja!

Kesinambungan sistem bunyi diteruskan dengan pemasangan 8 unit mid bass 6” di bahagian dalam kereta. 2 unit di bahagian kabin dan 6 unit di bahagian penumpang. Manakala 4 unit mid bass dari Autotek dipasang di bahagian belakang dengan cara konvensional menerusi perumah yang ‘digantung’ pada siling, menghadap sudut luar. Bersamanya ialah dua unit tweeter jenis dome yang juga dari Autotek.

Jika diteliti, 4 unit mid berjenama Texas dari sejumlah 6 unit mid bass yang diletakkan di bahagian penumpang belakang tadi telah ‘ditanam’. Di sinilah, daya kreatif diuji untuk memuatkan perkakasan pada lantai yang dibalut terlebih dahulu dengan rekaan gentian kaca yang unik. Jika dilihat pada keseluruhan dalamannya, pemuatan setiap perkakasan ini dilakukan dengan kemas dan teliti. Baik dari sudut sentuhan custom ataupun kemasan air brush tersebut. Ia sudah tentu mengambil masa yang lama dan menelan kos yang sangat besar.

Bagi melengkapi keseluruhan pengubahsuaian, kereta ini dipasangkan dengan suspensi udara. Satu keperluan bila splitter depan cuma beberapa milimeter dari tanah. Penggunaan suspensi biasa hampir mustahil biarpun roda asal telah ditukar kepada yang berdiameter 18 inci. Anehnya juga, rim ini nampak kecil dari saiznya akibat ditelan oleh pemasangan bodykit yang lebar ini.

Pandangan setiap orang selalunya berbeza mengikut persepsi. Kereta begini tak perlu roda pun. Ia ke pameran tanpa dipandu. Ia dihantar dengan flatbed dan diturunkan untuk ditonton. Sebenarnya ia bukan kereta pun, ia adalah objek pameran bergerak yang hanya mampu difahami oleh kaki autoshow.
































