Saya pernah melawati premis ini di Klang, melihat kerja tangan sebuah Toyota Altezza yang dipasangkan dengan sistem SQ unggul. Sehingga hari ini, saya masih teringatkan kereta tersebut yang merupakan antara sistem dengan kualiti bunyi yang terbaik pernah saya dengar. Staging mengagumkan, kejelasan, ritma ‘garing’ pada vokal dan kedalaman bass yang cepat berlegar di atas dashboard, tidak mudah saya lupakan. Mungkin anda masih ingat woofer kereta tersebut yang dipasangkan secara terbalik di dalam but belakang dengan perehat tangan tengah pada tempat duduk yang dilubangkan untuk memberi laluan bunyi terus ke dalam kabin.
Sistem SQ adalah tentang kualiti bunyi. Ia amat subjektif untuk menilai tahap mana yang boleh dikategorikan sebagai ‘puas’ atau ‘terbaik’, ‘paling baik’ atau ‘biasa-biasa’ saja. Sebab itu juga pertandingan audio kategori SQ selalunya menimbulkan perdebatan dan juri yang dilantik bukanlah calang-calang. Mereka perlu melalui kursus yang rumit serta memiliki kelayakan khusus untuk layak menjadi juri. Baik EMMA, IASCA atau mana-mana persatuan audio di dunia, mereka memiliki kriteria yang berbeza dalam menilai kualiti audio. Tidak ada mekanisme khusus malah peningkatan kualiti penghakiman ini terus berubah sepanjang tahun.
Berapa rumit membuat SQ untuk pertandingan? Lazimnya kereta-kereta begini dibuat atas dasar suka-suka kerana minat. Tapi pada zaman perkembangan sistem audio yang meluas, orang mula beralih kepada hobi menjadi lebih serius. Mark X ini adalah contoh sebuah kereta sedan dengan platform terbaik yang dijadikan asas. Pembinaan sistem kereta ini dibuat pada landasan yang betul. Stereo untuk sistem pasif dan juga nisbah aktif 5.1 channel kepada bunyi keseluruhan. Kedua-duanya digabung membentuk satu sistem yang terbukti cemerlang dengan pelbagai kemenangan dan trofi.
Mengetuai sistem ini ialah pemain Pioneer AVH-P7950DVD. Pemain ini merupakan unit 1-din dengan monitor jenis bermotor yang kemas buatannya. Ia antara generasi faceplate dengan kemasan aluminium yang kelihatan ringkas tetapi elegan. Hakikatnya, din yang dipasangkan pada konsol hanyalah sebagai pusat kawalan utama sementara pemproses sebenarnya adalah jenis unit ‘hide-away’ yang lazimnya dipasangkan di bawah tempat duduk penumpang.
Unit pemproses AVH ini dipasangkan di bahagian but belakang bersama aksesori lain. Kelihatan bersamanya ialah seunit woofer Audio System HX12 Phase yang mendapat bekalan kuasa daripada seunit amplifier 2 channel Mosconi AS200.2 2-way. Cukup? Sebelum saya jawab, elok kiranya saya beritahu anda bahawa keluaran kuasa amplifier kompak ini ialah sebanyak 1000 watt pada 2 ohm! Ini bukan gurauan!
Pola pembahagian bunyi mid dan vokal sistem kereta ini melalui dua sistem berasingan iaitu unit aktif 5.1 channel dan juga unit pasif stereo. Susunan speakernya dibuat dengan penggunaan set yang sama. Di hadapan ialah pemasangan 2-way yang melibatkan unit speaker dan tweeter Audio System HX165 Dust MKII yang sebenarnya direka untuk sistem pasif (dengan crossover) dan dikuasakan oleh amplifier 4 channel Mosconi AS100.4. Tetapi dengan kemampuan pemproses AVH tadi, ia disalur kepada kuasa individu. Pengagihan bunyi tengah pula dibuat dengan pemasangan secara custom unit speaker Audio System HX-130 Dust. Unit ini datang bersama seunit tweeter yang turut dipasangkan selari dengan mid 4” tadi dan dikuasakan oleh seunit amplifier 2 channel Mosconi AS65.2 dengan kekuatan 210 watt pada 4 ohm.
Kaedah bunyi keliling yang digunakan tidak hanya bergantung kepada bunyi ‘hidup’ dari setting hadapan sahaja. Yakin dengan kemampuan Audio System, 2 unit speaker HX165 Dust MKII dipasangkan di atas papan speaker belakang tetapi kaedahnya berbeza dengan menjadikan gugusan di belakang sebagai sistem pasif dengan amplifier 2 channel Mosconi AS65.2 sebagai punca kuasa. Teori saya, ia mungkin berkaitan dengan kemampuan pemproses yang terhad kepada sistem aktif di depan dan jika kesemuanya dipeta untuk menjadi sistem aktif bermakna besar rombakan yang perlu dibuat dan saya kira hanya ODR yang mampu melakukan tugas tersebut. Itu bermaksud pertambahan sekurang-kurangnya 30 peratus lagi belanja yang diperlukan.
Dengan penalaan yang betul, sistem gabungan ini mampu memberikan impak yang besar. Mengambilkira tunjang sistem asal ialah aktif dengan 5.1 channel (terima kasih pada centre speaker!) sistem Mark X ini setanding dengan mana-mana SQ yang memiliki jajaran masa dan pemproses individu sekunder yang lain.
Bercerita tentang teknikal pastinya lebih memeningkan kepala. Realiti pada peningkatan sistem audio begini ialah kejayaan sekumpulan peralatan berkualiti tinggi buatan Itali dan Jerman yang digabungkan dengan pemain Jepun dan sebuah sedan premium Jepun.
Hasilnya memang gilalah!