Lazimnya, kereta-kereta dengan reka bentuk pelik seperti Toyota bB ini datang dari pembuat kereta Jepun. Kereta begini biasanya bermula sebagai model JDM yang perlu melalui peraturan ketat yang bukan sahaja berkenaan kekukuhan casis, beg udara dan sistem pengendalian aktif, lebih rumit lagi, sebelum pereka membuat sesebuah model, ia perlu dikaji untuk ditempatkan dalam kategori yang sesuai. Setiap saiz akan mempengaruhi jumlah cukai, insurans dan juga kos pemeriksaan tahunan.
Pada tahun 2000, Toyota melancarkan bB buat pertama kalinya di Jepun. Bagi sebuah negara yang mana kereta baru dilancarkan setiap minggu, bB mengalih perhatian industri dengan reka bentuknya yang radikal. Bentuk simetrikal, kekotak pada setiap bahagiannya dilengkapkan dengan sebuah enjin kecil ekonomikal. Sekali pandang, bB nampak aneh, tetapi idea bagi sebuah wagon kompak dengan ruang kabin yang selesa menjadi poin jualan yang bagus.
Pada 2005, model bB digantikan dengan skala baru seperti yang anda lihat di sini. Masih lagi mengekalkan DNA ‘kotak’ asalnya, bB mendapat sambutan menggalakkan di Jepun yang juga disalin oleh Subaru dengan model Subaru Dex. Di Amerika Syarikat, kereta ini menggunakan nama sepupu Toyota iaitu Scion dengan model xB.
Ia bukanlah model idaman ramai di Malaysia. Anda perlu benar-benar seorang purist (benar-benar pecinta) reka bentuk untuk membeli sebuah model yang bukan murah. Harganya lebih enam angka. Enjinnya cuma 1.5 justifikasinya, ia lebih kecil dari Wish, Voxy atau mungkin sahaja tergolong dalam model pasaran kecil di Malaysia. Kecil bukan bermakna tiada peminat, bagi yang sanggup membayar, boleh saja.
Saya masih ingat kereta ini dalam keadaan yang sangat baru, tanpa nombor pendaftaran di premis QQQ di Pudu. Setiap mata memandangnya kerana ia sebuah kereta yang aneh. Menurut pemiliknya, kereta ini dibeli untuk pemanduan harian dan sebagai peminat tegar sistem audio SQ, beliau telah menaruh kepercayaan penuh kepada QQQ untuk meningkatkan kualiti sistem audio kereta ini pada tahap yang tidak boleh saya bayangkan.
Selak sahaja karpet di bahagian but belakangnya, terhidang 3 unit amplifier Audison Quattro, Due dan Uno. Ini bukanlah amplifier siri LRX yang biasa kita lihat, ini adalah siri Thesis yang menampilkan masing-masing 4, 2 dan sebuah rekaan monoblok. Harganya tak payah cakap, mungkin satu pertiga dari harga kereta ini.
Audison terkenal kerana kualiti audio buatan Itali. Sama seperti Morel, McIntosh, Luxman, TRU dan Brax. Jenama dengan nama-nama begini hanya dibeli oleh mereka yang benar-benar gila. Harga lengkap bersama speaker boleh mencecah enam angka. Itu belum termasuk jalinan kabel, pemain yang bagus, talaan dan pemasangan!
Kereta ini diketuai oleh pemain ultra moden Nakamichi CD700 siri II. Di Malaysia, bila anda bercakap tentang pemain premium, orang lebih selesa dengan Pioneer. Bilangan pemilik Nakamichi (Eclipse CD8455, Alpine F1 dan Clarion HXD) mungkin lebih kecil. Reka bentuknya kelihatan ‘olskool’ macam McIntosh, tapi kualiti kejelasan bunyinya mampu menandingi pemain yang jauh lebih mahal seperti P90RS.
Speaker pilihan untuk dipadankan dengan pemproses Nakamichi ini ialah sistem 3 hala yang menguasai sepenuhnya bahagian kabin hadapan. Di bahagian A pillar kelihatan 2 unit speaker 4” Voce dan tweeter Violino. Setiap unit speaker ini mendapat kuasa stabil dari setiap channel kuasa yang dikeluarkan oleh amplifier Quattro tadi.
Speaker utama di bahagian pintu digantikan dengan speaker 6” Audison Sax. Set speaker ini bertanggungjawab memandu frekuensi penting di antara vokal dan juga melahirkan emosi muzik secara sekata. Ia dikuasakan oleh amplifier Due yang merupakan flagship Thesis bagi kategori 2 channel buatan Audison.
Kesitimewaan kereta ini turut ditampilkan menerusi kerja tangan rumit pihak QQQ untuk mendapatkan ‘staging upfront’ yang mutlak. Jika anda masih ingat projek Sylphy yang dipasangkan dengan woofer di bawah kick panel co-driver depan, kereta ini pula menampilkan pemasangan woofer di bahagian lantai tengah, betul betul di bahagian bawah papan instrumentasi. Terima kasih kepada posisi gear klolum dan brek parking di kaki kiri. Ia bukan sekadar dipasang, tetapi diukur dengan betul dan ditebat supaya woofer Basso ini mampu menghasilkan bass yang sempurna bila digandingkan dengan amplifier monoblok Audison Uno.
Mengambil kira faktor susunan premium speaker dan amplifier yang cemerlang, pihak QQQ juga telah memasang pemproses digital Audison Bit One yang terkenal itu. Sebenarnya, jika anda tidak mahir bermain dengan ‘gadget’ begini adalah lebih baik memasang pemain jenis aktif supaya penjajaran masa dan equalizer dapat dilakukan pada antara muka pemain. QQQ memang antara penala di Ibukota yang mempercayai pemproses sekunder seperti Bit One dan tidak hairanlah ia mampu melengkapkan sistem bB ini dengan begitu baik sekali.
Saling melengkapi sistem kereta ini ialah kapasitor Connection, kabel berkualiti tinggi dan fuse yang bukan boleh dibeli di Jalan Pasar. Saya kira, aksesori iringan ini saja sama harganya dengan dua pemain di kedua buah kereta saya. Pendek kata, kelengkapan pada bB ini adalah antara paling lengkap dan paling mahal pernah saya lihat!