Bertemakan ‘Meeting Midnight’ yang menghimpunkan kereta Perodua Axia, program ini dibuka kepada semua pengguna Axia dari seluruh Malaysia. Diadakan di Rooftop AEON Big Mall, Alor Setar, program ini berlangsung pada 7 Disember lalu yang bermula dari pukul 5.00 petang dan berlarutan sehingga pukul 12.00 tengah malam.
Walaupun terbuka kepada pengguna Perodua Axia, program ini turut menerima sokongan dari kelab-kelab dan juga show off audio bagi menghangatkan lagi tapak acara. Pelbagai aturcara telah disediakan pihak penganjur, antaranya seperti Sukaneka 3 permainan berkonsepkan kerjasama, Go-Kart challenge, Autoshow dan juga tidak ketinggalan, segmen yang dinanti-nantikan semua iaitu Cabutan Bertuah.
Sebagaimana yang disebut awal tadi, program anjuran Kikie Lala Motorsport & My Axia Owners Club ini bukan sahaja mengumpulkan para pengguna Perodua dari kawasan sekitar dan berhampiran, malah ada yang datang dari negeri Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan juga Perlis selain beberapa kawasan lain di negeri Kedah.
Penganjuran program seperti ini bukan sahaja dapat menghimpunkan para pemilik dan pengguna Perodua Axia, malah memberi peluang untuk mereka beramah mesra, berkenalan antara satu sama lain dan mengeratkan ikatan silaturahim. Bagi merealisasikan penganjuran program ini, beberapa pihak telah berbesar hati menyokong dan menaja agar ianya berjalan dengan lancar.
Antara nama-nama yang menjadi penaja penganjuran program ini termasuk Prince Lubricants, Carroof Motorsport, Koyoko, AEON Big Mall Alor Setar, 888 Auto Care, Tom Stickers, Rock Bike Drift dan GKKU. Dianggarkan sebanyak 173 peserta bersama Perodua Axia telah hadir menyemarakkan lagi penganjuran program ini. Diikuti sebanyak 33 kenderaan dari Supporter Club yang terdiri dari Tiger Star Community, K-Kar Sporting dan Lowgang serta 17 kenderaan Audio Car Show Off dari PAKAU.