Selamat Hari Malaysia. Malaysiaku Bumi Bertuah. Pada 16 September yang lalu, Kelab Kereta Toyota Utara Malaysia (KELKETU) telah memanfaatkan hari cuti umum tersebut dengan menganjurkan ROCKONVOI TEPEN WITH LOVE VOL.2 2020. Matlamat utama penganjuran acara ini adalah untuk menghimpunkan kembali ahli-ahli Kelab dan berekreasi ke Taiping. Taiping, Bandar Warisan telah dipilih sebagai lokasi utama aktiviti kelab berkonsepkan konvoi dan santai.
Berteraskan matlamat tersebut, pihak JK telah membuka penyertaan dengan menjemput ahli Legend Estima Community (Utara) dan juga Toyota Manjung (TOMAN) sebagai rakan jalinan program kali ini. Sebanyak 26 buah kereta yang mana 13 buah dari KELKETU, 6 buah dari Legend Estima Community dan 7 buah dari TOMAN telah bersama-sama menyertai ini.
Bermula check point pertama di Hentian Juru, Pulau Pinang, konvoi yang terdiri daripada 12 buah kereta merentasi PLUS Highway menuju ke destinasi dengan kelajuan mengikut had kelajuan kebangsaan. Setelah keluar di tol Kamunting, konvoi menuju ke Taman Tasik Taiping. Di Taman Tasik Taiping, para peserta hanya berehat untuk membetulkan urat saraf serta menghilang kepenatan berkonvoi. Kemudian, program diteruskan pula ke Burmese Pool.
Antara aktiviti utama di sini adalah mandi-manda, berkelah dan lain-lain. Di sini, program ditambah dengan kehadiran jemputan daripada ahli-ahli TOMAN. Setelah puas berendam dalam air yang sangat sejuk dan nyaman, program diteruskan dengan bergerak menuju ke Taiping Food Court. Menu Yang Tau Foo dijadikan sasaran utama. Memang puas hati. Jam menunjukkan pukul 6.50 petang di checkpoint terakhir di Masjid Besar Taiping sekaligus menandakan program menuju penghujungnya.
Sesi merakam kenangan akhir (bergambar) dilaksanakan di perkarangan letak kereta Masjid Besar Taiping. Terima kasih kepada saudara Khairul Nizam Zainol (jurugambar jemputan khas) yang telah merakamkan gambar-gambar menarik dan padu sepanjang program dilaksanakan. Konvoi bertolak pulang tepat jam 7.05 malam.
Menurut Presiden KELKETU iaitu Cegu Deen (Mohd Nordin Bakori), beliau amat bersyukur atas keizinan Allah kerana menganugerahkan kemudahan sepanjang program dilaksanakan. Tambahan pula, ini merupakan program rekreasi pertama dilaksanakan bagi kelab sejak covid melanda negara. Banyak program dirancang untuk dilaksanakan mengikut takwim tahunan kelab tetapi atas faktor semasa (covid19), terpaksa dibekukan dahulu.
Namun, syukur atas keizinanNya program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Beliau juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli Legend Estima Community yang mana presidennya, saudara Zam SCharger dan ahli Toyota Manjung yang sama-sama sudi memeriahkan program kali ini. Terima kasih saudara Wan Naseh, Amet dan seluruh ahli Toman yang sudi membantu dan bergabung bersama menjayakan program ini.
Tambah beliau, KELKETU merupakan sebuah kelab kereta Toyota Utara yang didaftarkan (ROS) sejak 2007 setakat ini sentiasa menganjurkan program-program santai. Istimewanya KELKETU ini, mereka sentiasa menjemput rakan-rakan peminat kereta jenama Toyota dari segenap lapisan tidak kira dari utara hingga selatan turut sama-sama memeriahkan setiap program yang dilaksanakan.
Matlamatnya adalah tidak lain tidak bukan untuk memperkukuhkan ikatan ukhwah yang sedia terjalin sebelum ini. Pihak kelab juga sentiasa memberi ruang kepada ahli-ahli untuk melontarkan idea dan cadangan bagi memperkasakan aktiviti kelab sesuai dengan moto kelab iaitu bersama bersatu.
PICTURE : NIZAM 4AGE