Ketika zaman belajar di universiti dahulu, saya boleh dikategorikan dalam golongan yang agak senang. Bukan kerana berjoli duit bantuan PTPTN tetapi kesanggupan diri bekerja sambil belajar. Disebabkan itu juga, kereta Satria mampu dimiliki untuk memudahkan pergerakan. Maklumlah, tinggal berjauhan dari universiti, diikuti pula kegagalan pengangkutan awam beroperasi tepat pada waktu, menjadikan kereta sebagai pengangkutan terbaik untuk pelajar selain motor. Dalam masa sama, boleh juga menumpangkan teman-teman lain.
Apabila ditemukan dengan seorang pelajar pada sesi penggambaran tempoh hari, teringat pula saya kepada kenangan sendiri, berhempas pulas demi menuntut ilmu. Bezanya pula, pelajar yang memiliki kereta Charade ini bertindak selangkah lebih maju dengan membina sebuah audio sistem lengkap ke atas keretanya. Sesuatu yang agak mustahil dilakukan seorang pelajar. Namun, itulah rezeki Wincoln Teo. Sistem audionya pula bukanlah calang-calang kerana sudah seangkatan mereka yang profesional!
Bercerita tentang kereta milik Wincoln, Charade keluaran Daihatsu ini pernah menjadi kegilaan ramai khususnya golongan muda-mudi di satu ketika dahulu. Saiznya yang kompak, sesuai dijadikan kereta pertama juga sangat ideal untuk golongan pelajar seperti Wincoln. Namun, masalah yang tidak dapat dielakkan seperti dihadapi kereta kompak lain, Charade ini juga mempunyai ruang kecil dan sangat terhad. Sukar untuk ia memikul satu sistem dengan jumlah muatan aksesori audio yang banyak dalam satu-satu masa.
Menyerahkan kepercayaan sebulat-bulatnya kepada Street Audio, installer yang bertanggungjawab membina sistem audio SPL ke dalam kereta ini. Sedikit info tentang Street, ia bukanlah satu nama asing kerana sudah banyak kereta audio dipasangnya dan berjaya memenuhi kehendak pelanggan yang datang. Menggunakan sebahagian besar aksesori audio jenama Autotek, Street Audio mempunyai rancangan demi menghasilkan bunyi SPL yang mantap. Paling penting, Wincoln pun setuju dengan hasil akhir sistem audio Charade ini.
Dimulakan dengan pemain utama dari Pioneer, DEH-5250SD merupakan pilihan bijak khususnya untuk mereka yang lebih cenderung mendengar muzik menerusi gajet seperti iPad dan iPhone. Bertepatan dengan kehendak pelajar seperti Wincoln yang pastinya tidak pernah lekang dengan gajet terkini. Dari sini, data dibaca pemain utama tadi diterjemahkan dalam isyarat serta dialirkan kepada 2 unit pre-amp; 4 band Trans TRP-4 dan 7 band Autotek A-07, kemudian mengasingkan 2 laluan utama; woofer dan speaker komponen (mid dan tweeter).
Bagi laluan pertama, isyarat dari pre-amp 7 band tadi dihantar kepada dua unit amplifier yang terdiri dari seunit amplifier 2 channel Autotek AS125.2 dan amplifier 4 channel The Punch. Amplifier 2 channel ini bertugas memacu 4 unit tweeter Autotek yang ditempatkan di perumah khas di bahagian tepi bonet serta di boot-lid. Manakala seunit amplifier 4 channel tadi menguasakan sejumlah 8 unit mid bass Autotek. Kesemua mid bass ini juga ditempatkan bersama-sama tweeter tadi.
Seterusnya laluan kedua yang merupakan kesinambungan dari isyarat diproses pre-amp 4 band tadi dan dialirkan kepada amplifier monoblock Prokick. Amplifier ini menguasakan 8 unit woofer Autotek. Kesemua woofer ini disusun dalam perumah khas yang menggunakan ruang letak barang sebagai tapak. Selesai sistem audio, kita beralih pula ke sudut eksterior dan interior. Boleh dikatakan, ia mewakili Autotek. Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi pelekat yang ditampal ke atasnya. Interior pula? Perlu diperbaiki khususnya menyembunyikan wayar-wayar berselirat untuk tampil lebih kemas dan menarik.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 53