Pemasangan filem penghadang haba pernah mencetuskan perdebatan dan menjadi isu yang agak serius di kalangan pengusaha, peniaga dan juga pengguna. Justeru itu, Jabatan Standard Malaysia telah mengeluarkan standard bagi filem penghadang haba yang dibangunkan dan dikeluarkan pada 1 Ogos 2017 dan dikenali sebagai Malaysian Standard (MS) 2669:2017.
Satu majlis pelancaran telah dibuat khusus untuk memastikan pihak industri dapat menghasilkan atau memasarkan filem penghadang haba kenderaan yang menepati standard yang ditetapkan. Diadakan pada 19 Jun lalu, majlis pelancaran ini telah disempurnakan secara rasminya oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail di Dewan Serbaguna, Aras G, KPDNHEP, Putrajaya.
Tujuan utama garis panduan ini disediakan adalah untuk memberi panduan kepada pihak industri dalam menghasilkan, memasarkan dan menjual produk yang mematuhi keperluan pensijilan dan pematuhan label pengesahan yang dikeluarkan oleh SIRIM QAS sebelum peraturan mandatori pensijilan dan pematuhan pelabelan dikuatkuasakan.