Ini sebuah kereta yang paling versatil di Malaysia. Perodua Myvi adalah bukti bahawa sebuah kereta boleh dibeli oleh ramai jenis orang. Pelajar sekolah, cikgu, suri rumah, mat rempit, imam surau, jurujual, pekerja kilang, pengurus dan sesiapa sahaja. Tapi sudah tentulah bila dimiliki oleh anak muda, caranya sedikit berbeza. Rim mesti ditukar, sistem audio ditingkat taraf, lampu LED, lowered, kangkang, autoshow, modifikasi JDM, buat enjin dan bermacam-macam cara lagi.

Bagi kereta ini, ia telah dipilih untuk jadi “ratu” audio show. Untuk tujuan itu, pengubahsuaian telah dibuat dengan modifikasi menyeluruh di bahagian dalamannya. Rombakan serta kemasukan peralatan yang digunakan menggambarkan tema VIP moden. Di bahagian kabin, paling menonjol ialah papan instrumentasi hadapan. Berbeza dengan pembikin autoshow yang gemar merombak terus dashboard, kereta ini masih mengekalkan komponen asal tetapi ditambah dengan satu tingkat buatan gentian kaca.
Ia dibuat untuk menempatkan komponen seperti monitor TFT dengan kemas. Turut bersamanya ialah meter tambahan Auto Gauge. Menarik juga idea ni sebenarnya, lain dari yang lain.
Pemain utama dari Kenwood DDX403BBT ini antara yang terbaik dalam pasaran (dengan harganya). Fungsi mainbalik DVD, skrin 7” (6” sebenarnya) dan kualiti output bunyinya diperkuatkan dengan pemproses sekunder dari Caliber.
Yang dimaksudkan ialah pre-amp Caliber CPE-1011D dan pre-amp Caliber CPE-204TA. Kedua-duanya memecahkan laluan frekuensi berbeza di mana tiga unit amplifier dipasangkan untuk tujuan tersebut.
Keenam-enam unit mid bass Caliber PA CBM95i di bahagian but belakang dikuasakan oleh amplifier 2 channel Caliber CA-150.2. Keupayaan pembahagian kuasa kepada setiap unit speaker sangat bergantung kepada teknik pemasangan yang betul. Di sinilah pentingnya kemahiran pemasang untuk menentu-ukur saiz kabel, kedapan bunyi, jarak antara speaker dan penalaan pada akhir proses. Melengkapkan penghasilan frekuensi pertengahan ialah dua unit tweeter Caliber yang dipandu oleh amplifier 2 channel Caliber CA5520.
Sistem begini sudah tentu tak akan sempurna tanpa kelengkapan woofer. Bagi tujuan tersebut, dua unit woofer 12” Caliber memenuhi ruang yang disediakan lebih awal lagi di bahagian but tadi. Woofer ini dipacu oleh seunit amplifier monoblok kelas D Caliber CA-D3500i.
Sebenarnya, posisi dan konfigurasi ini sudah ditempa dari lakaran awal lagi di mana ia adalah proses penting bagi memastikan tiada kepincangan sistem bila semua disatukan. Bayangkan selepas semua dipasangkan tetapi perumah gentian kaca salah ukur dan tak boleh terima saiz woofer. Kerana lazimnya, woofer adalah komponen terakhir yang akan dipasangkan. Hancur. Mujur installer Megar Sound telah merangka semuanya terlebih awal dan hasilnya? Sebuah sistem audio yang gemilang dan cemerlang!
























