Proton Saga adalah salah satu contoh kereta murah yang telah membantu ramai rakyat Malaysia memiliki kereta pertama mereka. Dari yang dahulunya menaiki pengangkutan awam, ramai yang telah berkongsi keselesaan bersama keluarga dengan sebuah kereta sedan yang mampu milik. Sehingga hari ini, Saga sudah masuk ke tiga generasi pengeluaran. Saga pertama lahir pada 1985, kemudian yang kedua dikenali sebagai BLM menggantikan Proton Wira pada 2005. Kemudian pada 2016, sekali lagi, Saga diperbaharui sepenuhnya dengan model yang lebih sporty seiring dengan kehendak pasaran.
Dari satu sudut lain, Saga juga membolehkan sang ayah membeli kereta untuk anaknya yang belajar di kolej. Jika anda ke kolej dan universiti tempatan, bilangan kereta-kereta begini sama banyaknya dengan bilangan pelajar yang mendaftar. Tak hairanlah setiap kali musim perayaan, lebuh raya jadi padat, sendat dan sesak. Kita semua penyumbangnya!
Dari satu sudut pandang lain pula, kereta Saga juga jadi pilihan kaki modifikasi kereta untuk melampiaskan minat mereka. Anda namakan sahaja apa juga konsep dan ubahsuai, Saga pasti akan masuk dalam senarai (selain kereta-kereta Perodua). Realitinya, rakyat Malaysia memang kreatif dan salah satu yang kami ingin tampilkan ialah kereta Saga hijau Petronas ini. Melihat kepada saiz rodanya sahaja buat kami terpegun. 18 inci? Ya. Ia sebenarnya berdiameter 18 inci dengan kelebaran 10 inci pada segenap sudut. Saiz yang sepatutnya pada sebuah Vellfire kini duduk dalam ruang roda Saga!
Ia memerlukan kerja fabrikasi pada bahagian arch supaya rim boleh dimuatkan. Kereta ini dipasangkan dengan bodykit custom yang diilhamkan dari kereta-kereta buatan Thailand. Ia termasuklah set pintu jenis gunting untuk hadapan dan pintu suicide ala Rolls Royce di belakang. Suspensi sudah tentu perkara wajib yang perlu dibina semula dan kereta ini menggunakan set suspensi udara. Antara tambahan lain ialah ekzos buatan khas, sunroof aftermarket dan bahagian dalaman yang dipenuhi dengan tema VIP.
Bercakap mengenai audio, Saga ini juga tidak ketinggalan menampilkan pilihan eksotik. Ia bermula dengan pemain utama Pioneer AVH-X5550BT sebagai tonggak utama. Pemain ini disambungkan dengan pemproses suara Audison Bit 10 dan diperkuatkan dengan tiga unit amplifier.
Seunit amplifier Fusion 4 saluran CA-AM40700 ditugaskan memacu mid bass 6” Fusion PF-FR6030 bersama pembesar suara coaxial 3” dan berkongsi laluan dengan 2 channel yang dibridge bersama untuk memandu speaker Fusion jenis komponen CP-CM60.
Amplifier berkapasiti 1800 watt nyata cukup berkuasa untuk memacu kesemua sistem suara sekunder yang menampilkan gelombang sederhana dan tinggi. Sebagai pelengkap kepada keseluruhan sistem, bunyi dari gelombang bawah diseliakan oleh dua unit amplifier.
Dua unit amplifier monoblok Fusion AM-10900 berasingan yang masing-masing berkuasa 1600 watt ditugaskan untuk menghentam woofer 12” dalam but belakang. Woofer Fusion CP-SW120 ini dipasang dalam perumah khas kedap udara.
Ini mungkin Saga yang paling kemas dari sudut estetik pernah kami siarkan. Ia sering menghiasi pertandingan autoshow tempatan dan kehadirannya digeruni lawan. Masakan tidak, ia calon paling layak menyapu bersih banyak kejuaraan autoshow mahupun sistem bunyi.