Lebih 300 buah kereta yang terdiri dari kereta autoshow dan juga gathering telah membanjiri Stadium Kajang sempena penganjuran KW Autoshow yang diadakan pada 3 Ogos lalu. Diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 peringkat Perbandaran Kajang, acara ini berlangsung meriah dengan kehadiran para pencinta audio yang datang dari pelbagai latar budaya dan agama.

Dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kajang dan Penggerak Belia Tempatan Majlis Perbandaran Kajang, acara ini turut menerima tajaan dari barisan penaja yang terdiri dari Koyoko, Kenda, NT Power, REXXO dan KW Trading. Dianggarkan lebih dari 2000 orang pengunjung telah meluangkan masa bersama keluarga masing-masing dengan mengunjungi acara ini.

Bagi menyemarakkan lagi penganjuran KW Autoshow ini, pelbagai aktiviti disediakan pihak penganjur seperti gerai pameran, karaoke, Supa Doopa untuk golongan kanak-kanak, Sepak Bola Penalti dan juga disediakan ruang untuk Food Track yang menjadi kegilaan ramai.
Kehadiran kereta-kereta autoshow yang diubah cukup unik dan pelbagai warna ini sekali gus menceriakan suasana khususnya di persekitaran Stadium Kajang yang sering menjadi tumpuan para pelancong. Program autoshow yang bermula dari petang, berlarutan hingga ke malam dan peluang ini digunakan oleh orang ramai melihat dan merasai kemeriahan dunia permotoran dengan lebih dekat.

























































