Tanggal 5 Oktober 2019 yang lalu, menyaksikan sebanyak 70 buah jentera Mazda dan Ford milik ahli Killerbees berentap di Litar Dato Sagor, Kg Gajah, Perak. Antara kelab permotoran di Malaysia yang masih utuh sejak Jun 2000, ini merupakan tahun ke-10 kelab Killerbees beraksi di sini. KTD19 ini pula adalah sesi perlumbaan kali ke-12 dianjurkan Killerbees. Kali terakhir KTD dianjurkan adalah pada tahun 2017. Disebabkan pertembungan dengan PRU tahun lepas, KTD terpaksa dibatalkan. Justeru itu, ramai mengambil kesempatan ini melampiaskan geram di litar sejak awal pagi.
Perbincangan demi perbincangan rapi dijalankan sejak awal tahun lagi. Perbelanjaan bajet mencecah belasan ribuan ringgit dikumpulkan dari yuran penyertaan dan belasan sumbangan individu, bengkel, perniagaan autopart JDM, syarikat korporat dan lain lain lagi. Dua acara utama KTD ialah Sprint Test (ST) dan CCT. Bagi acara ST, para peserta diberi peluang berentap dalam gelanggang liga mengikut kategori masing masing. Bermula dari kategori N/A. Terdapat kategori Auto open, 1.6 & 1.8, 2.0 dan juga jentera 2.5. Bagi kategori Turbo, ada kategori OEM, True Street and Super Street.
Manakala acara CCT pada tahun ini tidak dapat diteruskan kerana cuaca tidak mengizinkan dan hujan lebat pada sebelah petang. Demi menjaga keselamatan para peserta, acara ini terpaksa dibatalkan. Tujuan KTD19 dianjurkan untuk menggalakkan para peserta melibatkan diri dalam perlumbaan dengan cara yang betul dan selamat di kawasan litar. Secara tidak langsung memberi peluang dan pengalaman baharu kepada peserta untuk menguji kemahiran dan kekuatan enjin jentera masing-masing.
Pada waktu pagi, Litar Dato Sagor dimeriahkan oleh deruman ekzos jentera peserta. Acara drag diteruskan peserta Killerbees sepanjang 301m, menguji sejauh mana kekuatan dan pencapaian jentera masing-masing. Walaupun CCT tidak dapat diteruskan seperti yang dirancang, KTD19 tetap dapat berjalan dengan jayanya. Jutaan terima kasih diucapkan kepada ahli Killerbees, para penaja serta semua yang terlibat dalam menjayakan KTD19. Semoga KTD dapat diteruskan pada tahun yang akan datang dan terus kekal memperjuangkan nama Killerbees di Malaysia.
Dengar cerita, admin sudah pun menetapkan tarikh untuk KTD20. Apa-apa pun, siapkan jentera anda. Semoga bertemu lagi di masa yang akan datang. Ok, KASIMARI!
Disediakan : En.Bob
Gambar : UC PICTURES (din210)