
Sekali lagi Bukit Merah Laketown Resort dibanjiri dengan kehadiran kereta-kereta lama sempena penganjuran Perak Retro Fest 2020 yang berlangsung pada 15 Februari yang lalu. Dianjurkan oleh GM Event Management dengan kerjasama Bukit Merah Laketown Resort, pelbagai aktiviti telah disediakan bagi menghangatkan lagi penganjuran acara ini.
Bermula dari pukul 9.00 pagi dan berakhir sekitar 6.30 petang, Perak Retro Fest kali ini lebih kepada acara santai untuk bertemu para peminat kereta retro dari seluruh Malaysia. Alang-alang sudah dibuat di sini, tidak sah kalau tak mengunjungi taman tema. Justeru itu, pihak penganjur telah memberi diskaun tiket masuk ke taman tema kepada para peserta retro.

Bagi memeriahkan lagi penganjuran ini, pihak penganjur turut mengadakan segmen cabutan bertuah yang ditaja oleh Bukit Merah Laketown Resort. Selain itu, penyertaan para peniaga yang membuka gerai-gerai jualan juga memberi peluang kepada para peserta membeli produk berkaitan aksesori kereta. Para peserta dan pengunjung turut dihiburkan oleh kumpulan HK Busker yang terdiri dari para pelajar sekolah menengah di Taiping diketuai CG Bob.

Dianggarkan hampir 300 buah kereta retro telah berhimpun dan amat menggalakkan sekali gus memberi semangat kepada para penganjur yang terlibat untuk menganjurkan lagi acara yang serupa di masa akan datang. Tahniah kepada para peserta yang telah meluangkan masa berhimpun untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim dan bertukar-tukar fikiran. Semoga acara yang sama terus diadakan dan mendapat sambutan sekali gus menyemarakkan lagi dunia permotoran Malaysia.
Disediakan oleh : Pak Art














































