
Salah satu perkara menyeronokkan di meja editor, apabila diberikan tugasan menyediakan artikel untuk segmen ini. Bukan sahaja pembaca, malah editor sendiri dapat mengenali pelbagai jenama asing dan tidak pernah diketahui sebelum ini. Secara tidak langsung, meluaskan lagi pengetahuan dan dalam masa sama mempelajari teknologi persada dunia ICE di negara jiran, Indonesia.
Selain jenama Venom yang seringkali digunakan pemilik kereta sebagai pelengkap kepada sistem audio mereka, satu lagi jenama yang turut menjadi kegemaran pencinta tegar audio di Indonesia adalah Vox Research. Kali ini, Kar HiFi bertuah kerana berpeluang bertemu dengan kenderaan modifikasi penuh (audio/prestasi/eksterior) dengan bertunjangkan jenama ini.
Honda Jazz milik Adhi Prasetyo ini telah melalui proses pembinaan selama dua bulan oleh salah satu installer terkenal Indonesia, Omega Soundworks. Malah, pemilik ini menyerahkan sepenuh kepercayaan untuk Omega melakukan transformasi kepada kenderaan yang pernah menyertai pertandingan Sound Quality Level (SQL) ABT di Jogja, pada tahun 2011.
Pertandingan yang diadakan ini mendapat sambutan dari segenap pencinta audio dan untuk mengulangi kemenangan sama memerlukan perubahan dan modifikasi lebih bagus berbanding sebelumnya. Ditala oleh seorang penala yang berjaya menyandang beberapa kemenangan, Wisnu mahukan Jazz ini menghasilkan bunyi yang lebih bertenaga dan mampu menggegarkan.

Dimulakan pemain utama 2-din membaca data media dan menterjemahkan ianya sebagai isyarat yang dialirkan kepada 3 unit amplifier. Kesemua amplifier yang bertugas memacukan barisan speaker, sama ada di bahagian kokpit dan juga bahagian bonet kereta. Berbeza dengan kereta-kereta yang pernah ditemui sebelum ini, Jazz sentuhan Wisnu ini memenuhi setiap bahagian. Bahagian dalam sahaja dibahagikan kepada 2, kokpit dan tempat duduk penumpang belakang.
Bahagian kokpit disaratkan deretan speaker pada kedua-dua belah panel pintu yang telah diubahsuai. Setiap satunya dilekapkan 2 unit mid bass Vox siri Altitude, seunit mid bass 6” Vox dan 2 unit dome tweeter. Mengiringi speaker adalah seunit monitor untuk hiburan visual. Di kedua-dua bahagian pillar A pula dihuni seunit mid range dan seunit speaker ribbon. Tidak cukup dengan itu, panel pintu belakang juga dipasangkan 2 unit mid bass siri Altitude dan 2 unit tweeter. Menurut Wisnu, pemasangan seumpama ini menjadikan suara menjadi lebih rata dan seimbang.
Peka dengan proses penjurian yang memerlukan bunyi didengar 3 meter dari pintu belakang yang mengira frekuensi tinggi dan rendah, Wisnu telah memasang 2 unit tweeter, 2 unit mid bass Vox dan 4 unit woofer Vox 12”. Bagi woofer, 2 unit dipasangkan secara konvensional dan 2 unit lagi dipasangkan terbalik agar kedengaran solid. Persiapan dan kelengkapan pada Jazz ini, tidak mustahil akan menambahkan lagi piala kejuaraan untuk Wisnu dan melonjakkan Jazz ini sebagai misalan pada para pencinta audio Indonesia.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 67




















