
“Sylphy, 2 way Audison Hertz di QQQ Pudu untuk show-off”, satu mesej dari bos terpapar di telefon bimbit. Kebetulan saya berada dalam satu acara dengan suasana hingar-bingar yang menyebabkan mustahil untuk bercakap melainkan dengan nada menjerit macam orang nak bergaduh.

Sebetulnya, ia adalah kereta yang sama pernah saya dahulu. Saya pun tidak faham dan cuba mendapatkan penjelasan mengapa kereta ini perlu dipaparkan dalam ruangan ‘show-off’. Seperti yang pernah anda ikuti dalam seluruh rangkaian majalah, ruangan ini setidak-tidaknya ada seunit woofer dalam but. Kereta ini? Woofernya di bawah glove box bersaiz 8 inci. Saya kira langsung tidak menepati ciri-ciri yang kami cari.

Tidak mahu bertikai dengan bos, saya terus ke QQQ Audio World dan kereta ini sudah sedia menanti. Tetapi cuaca sahaja yang tidak mesra, langit semakin gelap, baru sahaja menyalakan sebatang rokok, hujan pun mula turun mencurah. Sesi fotografi bertukar menjadi sesi perbualan. Saya ditunjukkan dengan deretan piala yang dimenangi Sylphy ini dalam pertandingan yang pernah dianjurkan Emma di Ara Damansara. Dari 8 kategori yang dipertandingkan, ia merangkul 7 piala. Sudah tentu satu pencapaian yang hebat!

Tentu ada yang beranggapan, untuk menghasilkan sistem SQ yang mampu menyapu bersih 7 piala ini mahal dan tidak mampu dimiliki oleh sebarangan orang. Kalau itu yang anda fikirkan, anda silap. Sistem yang ada pada kereta ini lebih murah dari apa yang anda jangkakan. Percaya atau tidak, tetapi inilah hakikatnya. Resepi disebalik kejayaan besar kereta ini pula terletak secara total kepada helah dan kebijaksanaan installer.

Jadi, bagaimanakah membuat sistem SQ menjadi begitu bagus? Saya cuba mengkaji dan membaca sistem woofer di depan ini. Dari kebanyakan forum yang dibincang, ternyata, ia sebuah sistem SQ paling hampir dengan sistem sebuah hifi rumah. Woofer tidak perlu melalui rintangan jauh dari but untuk sampai ke staging hadapan. Dengan teknik begini, jajaran masa, pemotongan frekuensi dan distortion menjadi sangat minimum.

Semudah itu? Tentu sekali tidak. Bahagian kick panel bawah kompartmen penumpang bukanlah lokasi yang strategik untuk seunit woofer 8 inci. Melainkan anda pasangkannya pada sebuah Hummer, jika Sylphy ia tetap bermasalah dengan ruang sempit itu. Ironinya, pemasangan woofer ini kelihatan tidak kompleks jika dilihat dari sudut visual, namun jika dileraikan, anda boleh jangka bukan sehari dua diperlukan untuk membuat enclosure sedemikian.
Secara ringkasnya, sistem kereta ini terdiri daripada 5 perkakasan sahaja. Pemain Pioneer P80RSII, amplifier Audison LRX5.1K (wow!) yang memacu keseluruhan speaker, tweeter Hertz HT25 di pillar, speaker mid range Hertz HV165 di bahagian panel pintu dan woofer Hertz ES200. Ia menjadikannya sebuah sistem SQ yang layak dipertandingkan dalam kategori 5 channel.

Jumlah speaker yang kecil tidak bermakna gagal dari sudut penghasilan SQ yang mantap. Di sinilah terletaknya kepakaran installer. Lebih banyak masa diperlukan untuk menempatkan pembesar suara ini pada kedudukan paling tepat dan paling sempurna untuk menghasilkan bunyi yang benar-bersih.
Pihak QQQ Audio World mengambil berbulan masa untuk mendapatkan corak pemasangan yang betul. Salah satu sebabnya, mereka terpaksa mengkaji ruang kenderaan itu sendiri. Ini bukan Wira yang sudah 20 tahun boleh dikaji, Sylphy sebuah kereta baru. Menurut pihak QQQ Audio World, pemasangan speaker pada pintu sahaja beberapa kali disesuaikan. Ia dilapisi pendinding kayu nipis, penebat bunyi, lapisan aluminium dan juga busa yang menutupi belakang speaker. Kabel 4 gauge dari amplifier Audison bersama fuse 100amp juga membantu mereka menganggar output speaker, justeru memudahkan penalaan dibuat pada pemain Pioneer P80RSII tersebut.

Pemain ini juga ada kisah disebaliknya. Disebabkan pemasangan sistem ini kompleks dan menelan belanja, pemiliknya terpaksa memotong belanja dan memilih P80RSII, walhal pada rencana awalnya ialah P99RS. Berita positifnya, keputusan memilih pemain sebenarnya lebih mudah kerana di masa akan datang, ia lebih mudah diganti berbanding memilih speaker bergred lebih rendah.
Pendawaian keseluruhan sistem ini juga dibuat dengan sangat teliti. Hanya kabel speaker dan amplifier bermutu tinggi dipilih untuk menerajui keseluruhan sistem. Di lokasi tertentu di mana kabel lebih terdedah kepada suhu panas dan mudah beralih posisi, ia telah dibalut dengan lapisan busa khas. Dari punca kuasa bateri kepada pemain dan speaker, sebanyak enam unit fius 100amp Connection dipasangkan. Bukan sahaja berfungsi cemerlang menyekat kuasa berlebihan, QQQ Audio World memasangnya dengan cara tersendiri. Di bahagian bateri kereta, plet aluminium khas dijadikan platform untuk 3 unit fius sementara di bahagian dalam, fius ini sengaja didedahkan di bahagian konsol tengah, betul-betul di bawah din pemain Pioneer tersebut.
Walaupun menanti lebih 3 jam di premis mereka, hujan nampaknya tidak menampakkan tanda-tanda berhenti. Petang mula bertukar senja dan mustahil mendapatkan foto menarik pada jam 6 petang yang mendung. Sesi kemudiannya ditunda ke hari lain. Kemudian hujan lagi!
Penundaan kali ketiga akhirnya berjaya juga. Itupun dengan cuaca yang masih mendung. Memang banyak cabaran untuk membawa pulang bahan kereta ini untuk dijadikan bahan tatapan, bertepatan dengan posisinya sebagai ‘raja’ segala SQ.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 18





























