Hatsune Miku & K-Pop Power
Mungkin inilah dikatakan, tiada yang mustahil dan daya imaginasi serta kreativiti pula tidak harus ada batasan. Siapa boleh terfikir untuk menggabungkan dua perkara yang berlawanan antara satu dengan yang lain? Seperti yang dilakukan ke atas kereta Wira ini, di mana luarnya jelas sekali bahawa pemiliknya sangat meminati Anime sehinggakan memilih Hatsune Miku sebagai pelekat yang menghiasi dinding keretanya. Pasti ada juga yang menjangkakan, orangnya berjiwa lembut dan meminati K-Pop.
Ia agak bercanggah apabila bahagian interiornya diperhatikan dengan teliti. Ciri-ciri VIP jelas kelihatan, lengkap dengan salutan pada tempat duduk dan set permainan catur diletak sebagai hiasan. Cukup kemas dan teratur. Lebih menambahkan kekuatan gaya ini adalah pemegang botol dan minuman yang memang sinonim dengan VIP. Namun, menang pada gaya sahaja tidak mencukupi. Pasti ada yang tertanya-tanya, apakah talaan sebenar sistem audio pada Wira yang sememangnya menarik perhatian.


Apabila dirisik, motif di sebalik pembinaan sistem audio pada kereta Wira ini adalah untuk penyertaan autoshow semata-mata. Di mana semua sedia maklum, penyertaan di autoshow lebih mengutamakan penampilan, daya tarik serta kekuatan sistem audio itu sendiri. Secara ringkasnya, Wira ini tidak mempunyai talaan yang khusus. Bukan SPL mahupun SQ, ia terletak di antara kedua-duanya. Mungkin ramai yang tidak tahu, tetapi ada juga antara pemilik kereta yang lebih gemar memasang sistem audio sebegini di dalam kenderaan masing-masing.
Disebabkan motif pembinaannya adalah untuk penyertaan di autoshow, maka pemilihan Hatsune Miku ini tidaklah janggal. Lebih unik tema yang ada pada kereta, maka lebih ramai dan berkemungkinan peratusan untuk mengungguli kategori dalam pertandingan autoshow adalah tinggi. Malah saya akui, ketika membuat artikel untuk kereta Wira ini terlebih dahulu watak si Hatsune Miku terpaksa dikaji.

Demi memastikan sistem audio seiring aura Hatsune Miku, penyanyi watak anime Jepun pertama disuarakan aplikasi pensintesis binaan Crypton Future Media, installer memilih aksesori audio jenama NT Power. Dimulakan dengan pemain utama Teac TE-275, pemain ini membaca pelbagai format media dan memang boleh diharapkan dan beraksi dengan cemerlang. Kecemerlangan tersebut diteruskan lagi dengan dua unit pre-amp yang mana kedua-duanya membentuk dua laluan baru.
Laluan pertama didahului pre-amp 7 band Kole Audio KSE-80EQ, yang membenarkan jumlah frekuensi yang tepat untuk disalurkan ke bahagian seterusnya. Menurut diagram yang diberikan, aksesori seterusnya yang disalurkan isyarat tadi adalah seunit amplifier 4 channel Kole Audio KSQ-804. Menggunakan 3 saluran, amplifier ini memecahkan isyarat yang diterima dari pre-amp tadi kepada 3 bahagian yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri.

Bahagian pertama merupakan 2 unit mid bass 6” Kole Audio dari siri speaker komponen KSE-650 CP. Setiap satu unit mid bass ini dilekatkan pada perumah khas yang dibina bersama panel pintu. Ini diikuti pula dengan bahagian kedua yang dianggotai oleh dua unit tweeter Kole Audio tweeter Kole Audio QX-TW10 yang dilekatkan pada tiang A. Kedudukan yang dipilih pula bukan sekadar suka-suka, tetapi bertepatan dengan staging bunyi yang diperlukan. Walaupun ia hanya sebuah kereta untuk autoshow, tetapi mutu audionya tetap dijaga dengan teliti.
Seterusnya pula adalah bahagian ketiga yang mana ianya memenuhi keperluan bunyi di bahagian tempat duduk penumpang di bahagian belakang. Bagi menjimatkan ruang tanpa mengorbankan kesan bunyi yang diinginkan, installer telah memilih speaker coaxial Kole Audio 6×9” KSQ-693SP. Setiap unit ini didatangkan dengan seunit tweeter yang dilekatkan bersama 2 unit tweeter.

Beralih pula kepada laluan kedua yang diterajui oleh pre-amp Kole Audio QX1-90EQ yang mana isyarat yang telah ditapis dan diproses dihantar kepada seunit amplifier Monoblock Kole Audio. Amplifier Kole Audio QX-3000D merupakan salah satu amplifier terbaik keluaran Kole Audio. Ditugaskan untuk memacu seunit woofer 12” Kole Audio QB-12DD, kesemua aksesori audio ini telah dipasangkan dalam perumah khas custom made di tempat duduk penumpang. Dalam erti kata yang lain, installer menyelamatkan ruang tempat barang tetapi menggunakan sepenuhnya bahagian penumpang belakang.
Bertepatan dengan motif ia dibina, interior Wira ini cukup menarik. Dihiaskan dengan patung Hatsune Miku bertemankan konsep VIP tadi, sekurang-kurangnya konsep yang dipilih memang jelas kelihatan. Secara keseluruhan yang dapat diringkaskan di sini, jika anda meminati audio dan tidak berminat untuk menala mengikut mana-mana sistem talaan tertentu, mungkin Wira ini boleh dijadikan rujukan. Setuju?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 62
































