Pernah di satu ketika dahulu, seorang personaliti radio mengeluarkan kenyataan kontroversi menempelak golongan pencinta dunia modifikasi kereta termasuklah penggila audio yang sekaligus mencetuskan kemarahan. Adakah anda masih ingat? Jujurnya, ia adalah satu tindakan yang sangat kurang bijak apatah lagi apabila menyedari golongan ini terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Sebagai personaliti yang mempunyai sejumlah bilangan pengikut yang agak ramai, beliau haruslah peka dalam menjaga sensitiviti masyarakat. Tak begitu?
Tiada salah golongan ini memberikan tumpuan dan sangat berdedikasi dalam dunia permotoran khususnya modifikasi. Sekurang-kurangnya, mereka tidak terlibat dalam gejala sosial yang kian membarah. Malah, menerusi modifikasi ini juga terlahirnya golongan kreatif dan tidak kurang juga mahir dalam dunia permotoran. Bukankah ianya sesuatu yang positif untuk perkembangan negara sendiri? Fahamilah, apabila sesuatu perkara difikirkan dari sudut positif maka hasilnya juga akan positif. Begitu juga sebaliknya!
Ini dapat dilihat menerusi sebuah lagi kereta yang dihidangkan untuk tatapan anda. Satu hasil kerja modifikasi lengkap; prestasi, interior dan sistem audio. Memilih kartun popular dari siri filem animasi Despicable Me, tema Minions memeriahkan lagi dunia permotoran dan sangat bersesuaian dengan kereta kompak bersaiz kecil seperti Kancil ini.
Pilihan bijak kerana Minions bukan sahaja terkenal di kalangan kanak-kanak, kartun comel ini berjaya memukau golongan dewasa. Ingat lagi insiden serbuan McDonald beberapa ketika dahulu gara-gara berebut mahukan patung Minions? Tentunya masih segar dalam kotak ingatan. Tidak dapat dinafikan bahawa ia salah satu faktor utama yang membuatkan saya sendiri melihatnya dan tersenyum panjang; kreatif dan mengikut perkembangan semasa.
Binaan modifikasi lengkap seperti ini lazimnya, disudahi dengan sistem audio SPL dan sepanjang saya bertugas di Kar HiFi, belum lagi ditemui modifikasi segila ini yang dipadankan dengan sistem audio SQ. Mungkin, ianya sesuatu yang menarik sekiranya ada yang berani tampil dengan padanan sebegini. Apa-apa pun berbalik semula kepada Kancil Minions yang memuatkan sejumlah besar aksesori audio di dalamnya. Menakjubkan? Tidak. Ini kerana kekangan ruang yang terhad bukan lagi menjadi masalah apabila anda menemui installer yang tepat.
Menggunakan khidmat installer yang beroperasi di Port Dickson, pemilik Kancil Happy Minions ini percaya 22 Car Accessories tidak akan menghampakan. Saya turut bersetuju dengan pilihan beliau setelah melihat dan mendengar hasil akhir Kancil ini. Baiklah, mari mulakan dengan pemain utama yang juga merupakan bahagian paling penting setiap sistem audio untuk mana-mana kereta. Bagi memastikan talaan SPL yang dibina mampu mencapai kehendak pemilik Happy Minions ini, installer memilih pemain utama Pioneer dengan teknologi Mixtrax, Pioneer DEH-X1650UB.
Melicinkan lagi hasil isyarat yang telah dibaca di awal tadi, installer telah menggunakan dua unit pre-amp 7 band America Sound yang mana kedua-duanya membawakan fungsi yang berbeza. Kedua-dua unit pre-amp ini juga membentuk 2 laluan baru. Laluan pertama, pre-amp ini memacu tiga unit amplifier; dua unit darinya adalah amplifier 2 channel America Sound dan seunit amplifier 4 Channel yang juga berjenama America Sound.
Unit pertama amplifier 2 channel digunakan untuk memacu 2 unit mid bass America Sound yang dipasang di bahagian kabin kereta. Seunit lagi amplifier 2 channel ini digunakan untuk memacu 2 unit horn tweeter America Sound yang ditanam dalam perumah custome made dan ditemani pula 4 unit speaker mid bass America Sound. Barisan speaker mid bass ini pula dipacu oleh seunit amplifier 4 channel. Selesai untuk laluan pertama.
Kini, beralih pula kepada laluan kedua yang tadinya didahului oleh seunit pre-amp America Sound. Dari sini, isyarat dihantar ke seunit amplifier monoblock America Sound. Hanya seunit sudah mencukupi untuk memacu 2 unit woofer 12” America Sound yang dipasangkan dalam sebuah perumah khas di bahagian ruang letak barang. Memang padat dan tidak ada ruang lebihan. Jelas sekali ianya tidak digunakan sebagai kereta harian sebaliknya dibina semata-mata untuk kepuasan audio dan juga penyertaan di medan pertandingan.
Selain pelekat Minions, Kancil ini telah dikenakan dengan pemasangan VIP style. Di bahagian tempat duduk penumpang belakang, dipasangkan dengan replika mini bar. Bagi menaikkan lagi suasana VIP di bahagian ini, lampu LED turut dipasang. Bukankah ada sedikit kekeliruan di situ? Di luar lebih kepada animasi dan di dalamnya VIP? Hmm.