Kira-kira 10 atau 15 tahun dahulu, di mana sistem audio kenderaan hanya melibatkan hobi di kalangan golongan yang benar-benar mampu, jenama dalam industri pula tertumpu pada beberapa model sahaja. Malah jika diimbas kembali beberapa tahun dahulu, pelekat-pelekat audio yang ditampal pada badan kereta merupakan sesuatu yang asing. Produk buatan China tidak wujud dan pemain CD tunggal paling murah pun lebih mahal dari gaji orang kebanyakan.
Namun terdapat beberapa jenama yang popular ketika itu. Antaranya ialah Rockford Fosqate. Disebabkan popularitinya itu, produk imitasi berlandaskan jenama tersebut juga mula memasuki pasaran pada era 90-an. Pelbagai jenama tiruan boleh dilihat, sama ada yang dicetak hampir sama dengan bentuk tulisan asal seperti Rockforce Fosgate, Rockfound, Rock America, malah ada juga di laman web menjual jenama Rockwood dan mendakwa ianya adalah gabungan Rockford dan Kenwood.
Menurut kronologi Rockford Fosgate merupakan sebuah syarikat berasal dari Amerika Syarikat dan Jim Fosgate sebagai pengasas empayar ini yang telah bertapak sejak 1973 di Arizona. Ia adalah salah satu nama besar dalam sektor pembuatan produk bidang I.C.E yang mempunyai rangkaian jualan melebihi 160 buah negara. Kualiti produknya memang terbukti malah ia juga merupakan pembuat OEM bagi sesetengah kereta keluaran baru.
Bermula dengan sebuah garaj kecil dirumahnya yang dijadikan sebagai pusat hobi kegemaran beliau. Jim merasakan pilihan terlalu kecil dalam industri ini terutamanya yang melibatkan sistem audio, iaitu amplifier. Pembinaan sistem audio yang bagus dalam sebuah kereta amat berbeza dengan rekaan sistem audio di rumah. Dengan ruang yang sangat terhad, amplifier terpaksa melalui proses mustahil dengan keupayaan memproses frekuensi mono dan stereo. Ditambah pula masalah lain seperti gangguan bunyi jalan ketika kereta bergerak, lantunan dari pusat bunyi yang mengenai bahagian kereta menjadikan sistem bunyi dalam kereta sangat rumit.
Kini, setelah hampir setengah abad dalam pasaran, Rockford Fosqate telah mencipta evolusi yang sangat penting. MOSFET adalah antaranya. Dan pada hari ini Rockford Fosqate telah dikenali dengan tiga rangkaian utama mereka Prime, Punch dan Power. Syarikat induk ini juga telah melahirkan satu lagi jenama penting dalam industri iaitu Lightning Audio.
Caldina milik ML Automart ini adalah contoh demo sebuah kereta yang dipenuhi kelengkapan Rockford dan Lighning Audio. Sebagai kereta demo yang penting untuk imej syarikatnya, ML telah mengubahsuai wagon ini dengan rekaan kosmetik, warna pink dan pelekat jenama yang cukup besar untuk dilihat dari jauh. Jika kata-kata boleh menghasilkan bunyi, percayalah, alunan sistem bunyi dari Caldina ini memang sangat mantap dan solid. Ia boleh memainkan pelbagai genre muzik tanpa masalah.
Pemain utama yang dipilih ialah Sony XAV-W1. Mungkin ramai yang skeptikal dalam industri ini bila menyebut nama Sony. Namun selepas bergenerasi dari versi Xplod, Sony telah membangunkan sistem pemainnya dengan sangat komited. Model ini adalah antara pemapar visual yang turut didatangkan dengan fungsi bunyi keliling yang tidak terdapat pada pemain dalam kategorinya.
Pemain 2 DIN ini telah diperkuatkan dengan Amplifier 4 Channel Lightning Audio S4.600.4S yang bertugas memandu enam buah speaker coaxial 2 way Rockford Fosgate 6.5” T162C. Empat unit speaker ini dipasang di bahagian kargo sementara bakinya di bahagian panel pintu. Line-up pembesar jenis coaxial dipilih untuk memudahkan pemasangan dan mengurangkan kerenah pemasangan dan pendawaian yang rumit.
Bagi mengekstrak bunyi bass pula, Caldina ini dipasangkan dengan sub woofer Rockford Fosgate bersaiz 12 inci iaitu model T112D2/4 sebanyak empat unit. Dengan sub sebanyak itu, punca kuasa utama telah diserahkan kepada monoblock Lightning Audio model S4.1000.1D sebanyak dua unit. Kesemua unit amplifier yang memandu keseluruhan sistem bunyi kereta ini telah ditayangkan dengan megah dalam perumah di dalam kargo bersama dengan sebuah monitor LCD tambahan Sharp 19 inci.
Itu sahaja? Ya. Ramai yang keliru tentang bagaimana menilai sebuah sistem yang lengkap dan sempurna. Sistem audio kenderaan perlu dibina dengan corak yang berbeza mengikut keperluan yang berbeza. Demo car sebegini lazimnya dipertontonkan kepada umum bagi membolehkan pelanggan (atau pengadil) menilai setiap sudut bunyi dan kejelasan yang boleh dihasilkan dari beberapa komponen yang mana menurut pakar, paling sedikit adalah yang paling bagus.

Banyak speaker menyukarkan lagi dimensi bunyi beralih dari satu sudut apabila gelombang bunyi bertukar frekuensi. Lagu rock tidak semestinya sedap dimainkan pada sistem A, tanpa ada sedikit penyesuaian. Oleh yang demikian, dengan susun atur yang kemas seperti Caldina ini, pelanggan boleh menghayati kemampuan sebenar setiap pembesar suara yang diletakkan tanpa perlu terpengaruh dengan kata-kata manis katalog yang indah khabar dari rupa. Memilih produk audio dengan mendengar sendiri kemampuannya adalah yang paling tepat.