Perkarangan tempat kereta pasaraya Econsave Taman Petani Jaya yang terletak di Sg Petani di Kedah, telah menjadi tumpuan orang ramai juga para pencinta permotoran sempena penganjuran Gathering Car Club & Komuniti Utara 2019. Diadakan pada 30 Mac yang lalu, acara ini dianjurkan dengan kerjasama di antara pasaraya Econsave Sg Petani, BKGK dan GKKU sempena penganjuran BKGK Event Road Show.
Dimulakan seawal pukul 10.00 pagi dan berakhir sekitar pukul 7.00 malam, pelbagai aktiviti telah disediakan oleh pihak penganjur bagi menarik penyertaan para pencinta dunia permotoran dan juga para pengunjung ke pasaraya Econsave Taman Petani Jaya ini. Antara aktiviti yang disediakan termasuk Himpunan Kelab Kereta / Komuniti yang menawarkan hadiah sebanyak 5 trofi kepada kelab teramai, 3 trofi untuk komuniti teramai serta 17 pilihan Best juri.
Bagi menyertai dan menyemarakkan lagi penganjuran acara ini, para peserta dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM35. Setiap pendaftaran, para peserta menerima baju-t khas, sijil penyertaan, pelekat program serta cabutan bertuah. Selain aktiviti permotoran, acara ini juga turut diselitkan beberapa aktiviti lain sebagai selingan seperti Cabutan Bertuah, Sembang Santai bersama ketua-ketua kelab dan juga mini sukaneka.
Tahniah diucapkan kepada para penganjur yang berjaya menganjurkan satu lagi acara dan menyemarakkan persada dunia permotoran. Tidak ketinggalan juga pihak juri yang meluangkan masa hujung minggu untuk bersama para peserta yang bersemangat menyertai penganjuran acara ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan penaja yang bermurah hati menaja penganjuran acara ini iaitu Kings Lubricants.