Maktab Teknik PDRM Bakri yang terletak di Muar, Johor Darul Takzim berubah wajah dengan berlangsungnya satu acara permotoran pada 21 April lalu. Dianjurkan dengan kerjasama Budak Kereta Geng Kita dan Salute Motor, Gathering Car Club Komuniti Road Show BKGK 2019 ini berjaya menerima sambutan yang cukup menggalakkan khususnya dari kelab-kelab kereta sekitar negeri Johor.
Diadakan sempena Event Salute Motor Muo Drag Racing Serlahkan Kehebatan 11, acara ini dimulakan seawal 9.00 pagi dengan kehadiran para peserta yang mula membanjiri tapak acara. Pelbagai kereta yang telah dimodifikasi cukup unik turut sama memeriahkan lagi penganjuran acara ini. Antara yang mendapat perhatian ramai adalah sebuah kereta Old Skull Rompong.
Bagi makluman anda, kereta Old Skull Rompong ini pernah menewaskan sebanyak 817 pesaing yang datang dari 10 negara dalam Retro Havoc 2017. Kehadiran kereta ini memberi peluang kepada para peserta dan pengunjung melihat dengan lebih dekat lagi keunikannya. Malah, ada juga yang memperoleh ilham dan inspirasi untuk memodifikasi kereta kesayangan masing-masing.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sehingga acara melabuhkan tirainya sekitar pukul 6.00 petang. Antara aktiviti yang sempat diadakan termasuk Himpunan Kelab-Kelab Kereta/Komuniti dan menawarkan beberapa kategori untuk dimenangi para peserta iaitu The Best Gathering Car Club, Best Car Komuniti serta Pilihan The Best Juri. Tidak ketinggalan juga, segmen Cabutan Bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.