Saya ada satu nasihat kepada anda yang mungkin merancang untuk menaiktaraf sistem audio. Prasyaratnya, mestilah berduit untuk bermain dengan sistem bunyi yang bagus. Namun apa yang menjadi salah bilamana produk yang dipasang tidak diuji terlebih dahulu. Hanya sekadar membaca di katalog dan mendengar kata-kata jurujual. Lebih sedih lagi, bila installer tersebut tidak cukup professional dan penalanya tidak cukup bagus.

Memilih produk yang betul adalah satu perkara, memasang dan menala sistem yang betul pula adalah aspek yang tidak kurang pentingnya. Bila anda bermula untuk memilih produk, jenama yang betul lazimnya mengetengahkan kualiti yang bagus. Sudah tentu, tidak ada yang murah untuk produk bagus dan begitu juga sebaliknya. Dalam situasi ini anda perlu percaya pada anugerah yang diberikan tuhan iaitu deria pendengaran.
Performance bukanlah jenama yang dikenali, namun sejak sepuluh tahun lalu, produk buatan Asia ini membuktikan kemampuan untuk bersaing dengan jenama yang telah lama bertapak kukuh dalam industri I.C.E. Saya dapat melihat jenama ini dari satu sudut positif, mereka mempunyai rangkaian woofer dengan harga yang agak berpatutan tetapi boleh diharap. Jenis yang mana kalau dihentam setiap minggu, kapasitornya tidak menendang watt, konnya kukuh dan buatannya meyakinkan.

Waja ini adalah antara komposisi Performance yang lengkap. Kereta ini bukan sahaja sempurna dari sudut audio, malah pengubahsuaian terhadap rekaan kereta secara keseluruhannya amat menarik perhatian. Pada mulanya, saya sangka kereta ini akan dipaparkan dari sudut modifikasi, tetapi bila melihat pada sistem audionya, saya benar-benar terpukau.

Di dalam but kereta ini, bukan sahaja peralatan Performance mendominasi, tetapi corak pemasangan dan talaan perkakasannya amat kemas. Di bahagian lantai ialah dua unit woofer 12 inci PF12 dan bahagian dinding kelihatan lagi 2 unit model yang sama. Daripada membiarkan woofer ini hanya duduk dalam kotak yang kosong, ianya telah dibalut dengan PVC merah, begitu kontras dengan warna emas kereta ini. Komponen yang dibalut sama dalam perumah custom tersebut ialah dua unit amplifier 4 channel PF2400.4 dan amplifier monoblock yang didirikan di bahagian sisi but. Di tengah-tengah lantai ialah kapasitor Furious Audio 3.0 farad bagi mengawal aliran kuasa kepada kedua-dua amp tersebut.

Tidak dinafikan, susunan begini menyebabkan tiada barang boleh diisi dalam but. Tetapi jika anda serius bermain audio memang inilah natijahnya. Tidak cukup dengan itu, bahagian penutup but dilengkapkan lagi dengan instrumen mid pula. Pilihannya ialah 2 unit speaker coaxial, 2 unit speaker komponen dan 2 unit tweeter dari Performance. Logiknya, ia menghasilkan mid dan band tinggi yang tidak terlalu kuat, tetapi yang lebih penting, jelas.

Bahagian kokpit ternyata tidak menghampakan. Pemain utama yang dipilih ialah Kenwood KDC-MP3029. Seperti juga pemain moden yang lain, ia berkemampuan memainkan media CD dan MP3. Berkongsi lokasi 2-Din yang sama ialah sebuah pemain DVD dan monitor in dash Super.

Pemain ini menghantar isyarat bunyi kepada kesemua speaker yang disebutkan tadi. Namun terlebih dahulu frekuensinya ditapis oleh pre-amp Performance. Ramai yang keliru mengenai peranan pre-amp ini kerana dalam kebanyakan kes, saya sering melihat sistem kereta yang tidak perlukan peralatan ini. Pre-amp adalah penala sekunder untuk menapis bunyi yang tidak mampu dilakukan oleh pemain utama. Lazimnya dipakai untuk mengasingkan band-band utama supaya frekuensi dimainkan speaker lebih tepat. Bukan sahaja tepat, tetapi tahap tinggi rendahnya lebih dari jangkauan yang mampu dibuat oleh pemain utama.

Ia sebenarnya lebih sesuai untuk sistem SPL kerana kebanyakan pemain yang digunakan adalah kelas sederhana dan kadangkala tidak mampu menala keluaran frekuensi woofer. Penggunaan pre-amp membolehkan level dan frekuensi woofer boleh ditala secara manual.

Seperti juga kemasnya buatan dan pemasangan audio, Waja ini diakhiri dengan modifikasi badan yang menyeluruh. Bumper depan dan belakang direka semula oleh pihak Venis Bodykit, begitu juga di bahagian sisi dan akhir sekali sebuah spoiler belakang replika Evo 7. Warna emas yang dilayangkan menyempurnakan penampilannya di samping pelekat custom di sekeliling badan.



























