Pusingan pertama dan pembuka musim tahun ini, Drag Longgok Pekan Speedway telah berlangsung pada 26 Januari lalu dan menerima sambutan menggalakkan dari para peserta. Dianjurkan dengan kerjasama GMK dan Abg Nuar Pekan serta menerima tajaan dari PKV Auto Parts Supply. Para peserta yang berjaya muncul sebagai pemenang untuk setiap kategori menerima piala, hamper serta baucar bernilai RM50 dari Harry PKV dan hanya boleh ditebus di PKV Auto Parts Supply.Sebanyak 8 kategori telah disediakan oleh pihak penganjur iaitu Open (4WD dan 2WD), 2WD True Street, 2WD Turbo OTR, 2WD Turbo OEM OTR (Open), Turbo OEM OTR, Vtec OTR, 4G9X NA 1.8 OTR, 1.5/1.6 Sohc/Campro NA OTR, dan 1.5/1.6 DOHC/ Mivec/Black Top OTR. Setiap para peserta perlu menepati syarat-syarat untuk membolehkan mereka mengambil bahagian serta diwajibkan memakai helmet dan kasut atas tujuan keselamatan.
Sebelum bergelar sebagai juara sekali gus membawa pulang trofi kemenangan, sebanyak 6 pusingan perlu disempurnakan. Bagi makluman anda, drag Longgok ini menggunakan format pecah grup serta kalah mati dan bukan Timing atau Best 8. Bermula sekitar 5.00 petang, pusingan pertama untuk musim ini berlarutan sehingga awal pagi keesokan harinya. Diadakan di atas trek sejauh 350 meter, para peserta mempamerkan kehebatan menggunakan jentera masing-masing.
Dibuka kepada semua pemilik kereta dan mendaftar pada hari perlumbaan diadakan sebelum kategori bermula. Setiap peserta hanya perlu membayar yuran pendaftaran RM50. Kepada para peserta yang mendaftar dan menyertai melebih 2 kategori menerima baucer RM50. Sekiranya anda berminat untuk menyertai perlumbaan ini di masa akan datang, jangan lupa sentiasa jenguk Facebook DRAG Longgok PEKAN Speedway. Selain merasai pengalaman menyertai perlumbaan, anda juga boleh berkenalan dengan lebih ramai peminat sukan drag di Malaysia.