Van bukanlah sesuatu yang kita biasa lihat diubahsuai di Malaysia. Ya. Itu cerita lama tetapi dalam tahun 2016 ini, scene modifikasi van memang cukup meriah. Daripada yang diubahsuai secara ringan dengan hanya menukar rim dan tayar, kategori van kini cukup meriah dengan monopoli geng Toyota Hiace yang bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Apa yang lebih istimewa bila van yang diubahsuai itu bukanlah model baru. Bob adalah antara “pengasas” dalam scene van tempatan dan beliau melakukannya dengan cara berbeza. Beliau tidak beli Hiace H200 sebaliknya membeli sebuah model lama yang asalnya milik sebuah syarikat keselamatan. Model keluaran 2001 yang dikenali dengan kod 1RZH.
Sejak hari pertama dibawa pulang sehingga ke hari ini, ia telah melalui pelbagai fasa pengubahsuaian. Akhirnya, tiada apa yang tinggal sebagai peralatan standard. Semuanya diganti kecuali enjin 2000cc petrol bertransmisi manual. Memulihkan semula merupakan proses yang panjang. Bahagian dalaman kereta ini adalah tarikan utama di mana ia telah disalin dengan perkakasan LH100 JDM sepenuhnya. Kemudian, kerusi, panel, bumbung dan setiap bahagian asal dibalut dengan kulit jenis alcantara.
Pengubahsuaian juga melibatkan sistem audio. Menggunakan sistem penuh daripada NT power, ia dikuasakan oleh 10 unit mid bass 6.5 inci yang dipacu 2 unit amplifier 4 channel berkapasiti 2500watt. Bagi frekuensi lebih rendah, Bob memasang 2 unit woofer jenis monoblok dan untuk frekuensi tinggi, 4 unit horn tweeter dipasangkan. Kesemua unit yang disebutkan telah menerima bekalan kuasa daripada amplifier 4 saluran dan seunit amplifier jenis Monoblok kelas D.
Habis cerita audio. Hiace ini nampak garang dari sudut kosmetik kerana ia telah pun dipakaikan dengan bodykit Fabulous versi Kouki model terakhir tahun 2006 di Jepun. Kalau anda biasa lihat populariti van di Jepun, Hiace merupakan salah satu model popular diubahsuai dengan pelbagai cara. Ada yang pasang bodykit garang, ada yang main sistem audio, ada yang ubahsuai kepada motor home/caravan.
Memasang kit Fabulous telah mengubah terus rekabentuk Hiace ini dan Bob terpaksa mencari rim yang sesuai. Beliau memasang rim Lowenhart 20 inci yang cukup memenuhkan ruang roda van ini. Tapi ada masalah yang timbul bila direndahkan dengan suspensi jenis bolehlaras. Ia akan sangkut setiap kali melalui speed bump. Kenapa? Sebab van ini titik rodanya panjang. Jadi satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah memasang sistem suspensi udara. Tapi ada masalah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Macam mana nak pasang pada gandar mati di belakang? Sedangkan semua sistem suspensi udara jenis bebas?
Di sini, tiada siapa yang dapat menyelesaikan masalah ini. Ketika berasa amat kecewa, Bob diperkenalkan dengan budaya Hiace di Thailand oleh kenalannya. Di Thailand, tidak jadi masalah. Mereka ada set suspensi udara khusus untuk model Hiace dan tanpa membuang masa, Bob telah memandu ke Hat Yai dan memasangnya di sana. Selesai masalah.
Setelah berpuashati dengan kombinasi ubahsuai sedia ada, Bob akhirnya bersedia untuk menukar sepenuhnya tema warna Hiace beliau. Sebelum itu, set sunroof asal H100 dipasangkan pada bumbung hadapan dan sunroof Alphard dipasang pada bumbung tengah.
Dengan warna coklat metalik lembut, van ini berjaya lari dari konsep pengubahsuaian kereta di Malaysia. Lebih mengagumkan lagi, walaupun ianya muka favourite di petak autoshow, Bob masih memandu van ini setiap hari. Ya. Ke bandar, balik kampung dan pergi ke mana-mana sahaja.
Kan bagus begitu daripada melabur dan akhirnya kereta duduk parking di garaj?