Ini adalah kereta Perodua Kelisa yang paling banyak mendapat liputan dalam majalah tempatan, baik bahasa melayu, Inggeris malah majalah yang bukan berunsurkan automotif sekali pun. Perodua Kelisa mirip Daihatsu Gino ini telah memenangi banyak pertandingan autoshow kerana konsep pengubahsuaiannya yang unik dan juga seragam. Perhatikan pada setiap sudut, kereta ini telah diubahsuai dengan sangat kemas, teliti dan begitu menyeluruh.
Populariti itu tidak datang dengan jalan yang mudah. Setahun masa dihabiskan hanya untuk mendapatkan perkakasan asal Mira Gino untuk dipadankan pada Perodua Kelisa ini. Bertahun lagi masa diambil untuk mendapatkan aksesori asli keluaran Daihatsu yang bukan sahaja sukar didapati di sini, malah di negara kelahirannya Jepun sekalipun.
Saya percaya, jika kereta ini diletakkan dalam pertandingan atau pameran di Jepun, ia pasti akan menarik perhatian tinggi penggemar kenderaan K-Car amnya. Kalau dinilai dari segi koleksi JDM dan aksesorinya, kereta ini paling lengkap dari mana-mana kereta Perodua yang pernah saya temui.
Apa yang membuatkan kereta ini tampak menonjol adalah penggunaan warna dan kemasan aksesori yang betul. Jika warnanya hitam, putih atau silver, pasti ia tidak akan kelihatan begini menonjol. Bukan itu sahaja, kemasan aksesori krom dan penambahan alat seperti rak bumbung, lampu sorot dan juga pelekat yang betul berjaya menghasilkan satu pakej pengubahsuaian yang lengkap dan sempurna. Walaupun begitu, ia masih nampak ringkas hasil pemilihan perkakasan yang tepat tadi.
Pengubahsuaian yang dibuat bukan sahaja pada kosmetik, enjin dan pengendalian, malah pemiliknya juga adalah seorang peminat sistem audio. Sebagai sebuah kereta yang merupakan koleksi pameran dan pertandingan, tanpa sistem audio adalah sukar untuk mendapatkan kemenangan mutlak kerana kebanyakan sistem permarkahan turut melibatkan skor di bahagian audio. Ditambah pula, ianya dipenuhi dengan kelengkapan dari jenama audio Pegasus, ternyata ia lebih terserlah dan menyerlah. Secara keseluruhannya, ia tidak nampak ekstrem, tetapi cukup untuk memuaskan hati pendengar dalam kereta kompak ini. Lagipun ruang yang ada juga sangat terbatas.
Pemain utama kereta ini ialah Pioneer DVD 2-din; AVH-P4150DVD. Ia dipasangkan di bahagian perumah din asal dashboard Mira Gino. Sejujurnya, posisinya tidaklah strategik, namun hakikat bahawa kereta ini direka dengan sebegitu rupa memberi kesan akhir kepada praktikaliti. Tetapi maksud asal pemain ini dipilih bukanlah untuk visual semata, ciri-ciri pemproses bunyi dan BIT tertingginya juga berupaya menterjemahkan kualiti bunyi terbaik untuk sistem audio secara keseluruhannya. Dan sepertimana model-model pemain utama keluaran Pioneer, pemain ini juga memastikan kualiti isyarat dibaca cemerlang.
2 unit amplifier Pegasus digunakan untuk memberikan bekalan kuasa secukupnya. Masing-masing berfungsi terus sebagai pengestrak kuasa bagi kategori frekuensi yang dipasangkan. Bersesuaian dengan konsep yang dipilih, Kelisa Gino ini telah dipakaikan dengan sistem audio talaan SQ. Bagi mewujudkan keharmonian bunyi, speaker komponen 2-way telah digunakan dan dipasang di bahagian kokpit.
Terus mengekalkan penggunaan jenama Pegasus, speaker komponen PG162P telah dipilih. Barisan speaker yang terdiri dari mid bass dan juga tweeter ini dikuasakan amplifier 4 channel Pegasus PGA50.4 yang mana kesemua kuasa digunakan sepenuhnya. Bagi kuasa woofer pula, amplifier kelas D monoblok Pegasusu PGA13002D digandingkan dengan woofer 10” Pegasus PG1050E4.
Tidak cukup dengan paparan visual di hadapan, 2 unit monitor jenis perehat kepala turut dipasangkan menggantikan kerusi asal Mira kereta ini. Di bahagian but belakang pula, 1 lagi monitor 9” jenis roof mount dipasangkan. Pada mana-mana pertandingan yang disertai, kereta yang sememangnya kecil ini kelihatan cukup ‘padat’ apabila kesemua alat-alat audio ini dinyalakan dan berfungsi.
Seperti yang diterangkan di awal tadi, ia bukanlah sebuah kereta yang dibina dengan landasan sistem audio semata-mata. Sistem audio kereta ini lebih kepada sebagai pelengkap bagi keseluruhan modifikasi yang telah dibuat. Sebagai pelengkap jugalah, kereta ini menarik minat kru kami memandu hampir 3 jam ke Selatan tanahair semata-mata mahu membawakannya sebagai bahan bacaan istimewa kepada anda.
Memang ia satu perjalanan yang berbaloi!