Entah kenapa dari pagi tadi, idea menulis memang tak mahu datang langsung. Masalahnya, saya lebih banyak termenung dari mengetuk papan keyboard komputer. Siap dua tiga perenggan dan bila dibaca balik, rasa macam nak selam kepala dalam kolam Indah Water. Memang tak menarik. Padahal kereta ini cukup cantik, tertarik, menarik dan ada daya penarik. Sekarang, lebih baik keluar pejabat dan cari tempat yang boleh mendatangkan ilham.
Sekarang saya berada di sebuah pusat cuci kereta. Lemah gemalai budak-budak yang menggosok kereta ni. Ada harapan 2 jam setengah lagi baru siap. Sebab semalam balik kampung meraikan kemenangan pasukan Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki, kereta pun dah macam Suzuki Jimny masuk ladang. Palitan lumpur bermula dari mudflap sampai roof rack. Bahagian dalam jangan ceritalah, anak-anak bila masuk kereta masa itulah nak makan benda-benda bersepah. Di rumah tak pandai pula nak minta milo. Berhenti di Petronas, segala benda diborongnya. Sampai ikan bilis goreng pun jadi berselera sungguh.
Baiklah, sekarang kita mula melihat pada kereta ni (idea baru nak datang-harap-harap tak terhenti!) Myvi ini kami bawa dari Melaka. Pemilik asalnya tinggal di Batu Pahat dan di atas persetujuan bersama, kami bertemu di Melaka untuk sesi fotografi.
Sistem kereta ini bermula dengan pemain Pioneer DEH-P5450B. Dengan keupayaan MOSFET 50 watt 4 saluran, ia sebuah pemain asas yang bagus untuk permulaan. Pemain ini dicipta dengan platform penala yang mesra pengguna dan output yang cukup untuk menguasakan speaker depan dan belakang tanpa amplifier. Tapi sudah tentu tidak untuk kereta ini, kerana ia memerlukan pemain tersebut sebagai medium pembaca sahaja.
Pemain ini disambungkan kepada equalizer PQ-400 4 band dari Performance. Nah sekarang, ia boleh dilaras semahunya. Meneruskan capaian frekuensi ini ialah crossover 2 way Zeuz Z-X1. 2 way yang dimaksudkan di sini dipecahkan untuk dua frekuensi-mid/tinggi dan juga bass.
Sistem bass kereta ini disepadukan dengan penggunaan empat unit woofer Horizon HR-124. Woofer ini mendominasi bahagian but belakang dengan pemasangan kemas di dalam kotak custom yang dibalut fabrik seakan baldu. Memandu woofer ini ialah dua unit amplifier monoblok Agako XT-4500D yang ‘disorokkan’ di bahagian tempat duduk belakang. Bahagian ini juga diubahsuai menjadi stor simpanan komponen audio lain seperti pre-amp dan crossover.
Ruang simpanan barang di belakang juga didominasi lapan unit speaker mid Horizon HR-6.5. Perumah yang diperbuat daripada kayu lapis tersebut dibalut sama seperti woofer tadi. Kesemua speaker ini dikuasakan oleh amplifier 4 channel Kennon BK-1004. Melengkapi ekstrak muzik vokal dan frekuensi tinggi ialah 4 unit horn tweeter Focal yang diletakkan secara mengapit keseluruhan speaker.
Kalau melihat pada kereta ini, kelihatan ia macam dimiliki oleh sebuah premis untuk sistem demo, tapi sebenarnya ia adalah milik invididu. Apa yang membolehkan seseorang melakukan transformasi sedemikian rupa? Pertama. Minat, kedua minat, ketiga pun minat. Tanpa minat anda tidak akan mengorbankan sebuah kereta yang bagus untuk pengangkutan harian, mengubah kereta lima tempat duduk menjadi dua. Mungkin hanya sebotol softlan yang boleh dibeli di pasaraya dan diletakkan di sini. Ya, itu sahaja. Tiada lagi ruang bagasi.
Masalah duit? Duit yang banyak tanpa minat tidak akan jadi. Minat tanpa duit boleh diikhtiar dengan cara lain. Termasuklah merompak (yang ni jangan tirulah). Kesimpulannya dunia audio tergolong dalam kelompok yang susah hendak difahami. Kecuali jika anda bekerja seperti saya, hari-hari dengar sistem yang best sampaikan rasa nak mengamuk bila dengar sistem audio kereta sendiri macam radio transistor walhal dah berapa ribu habis!

Sekarang, artikel dah siap. Masalahnya kenapa esok cuti? Masalah nombor dua pula, kenapa saya tak bawa modem 3G Maxis? Kalau dihantar artikel ni sekarang, bermakna ia dibuat dalam tahun 2010. Al-maklumlah hujung-hujung tahun ni kalau tunjuk rajin ada harapan dapat bonus berganda. Tak pun naik gaji tahun depan.
“Abang yang tengah syok lap kereta tu nak tumpang tanya, dekat-dekat sini ada cyber cafe tak?”
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 18