Kalau diperhatikan corak yang ada pada penggemar ICE di Malaysia ketika ini, amat jelas menunjukkan penguasaan terbesar adalah dari mereka yang mempunyai sistem ICE talaan SPL. Bagaimana boleh saya katakan ini dengan begitu yakin? Caranya mudah untuk mengenali kereta talaan ini. Ya, menerusi eksterior yang dipakaikan. Bagai aur dan tebing. Pembinaan ICE SPL tidak lengkap tanpa sebarang modifikasi sampingan yang dikenakan terhadap badan kereta.

Jadikan kereta Waja dengan celoret animasi Naruto ini sebagai contoh. Hampir 2 tahun berkecimpung dalam persada ICE, belum pernah lagi saya bertemu kereta SQ dengan mana-mana eksterior ekstrem. Hakikat atau pun kebetulan, tetapi memang kereta SPL sahaja yang merajalela dengan eksterior begini. Naruto ini bukanlah yang pertama. Malah, ada yang lebih hebat. Persoalannya, adakah penting untuk memiliki eksterior sedemikian?

Terpulang. Pelbagai alasan diberikan pemilik kereta dan yang paling rasional, ingin menghidupkan SPL seiring pelekat yang dipakaikan pada badan kereta. Relevankah? Jika dilihat pada sudut relevan, kereta SPL dibina khas untuk menyertai pertandingan. Pelbagai kereta di medan tempur bersaing untuk ditabalkan sebagai Raja ICE. Untuk itu, perang psikologi juga amat penting. Menyerang minda peserta sebelum bertaruh kehebatan ICE masing-masing. Strategi yang bersih dan bijak!

Jangan terperanjat jika di akhir pertandingan, keputusan berpihak kepada kereta dengan exterior begini. Benar, ukuran ICE bukan terletak pada eksterior tetapi seratus peratus merujuk kepada kehebatan bunyi. Sepertimana kejuaraan yang dipegang oleh Waja Naruto kepunyaan saudara Ng Boon Lee ini. Oh ya, saudara Ng yang lebih selesa dipanggil Kelvin ini pemalu orangnya. Disebabkan itulah, beliau mewakilkan teman wanitanya sebagai pengganti diri memberi pose untuk ruangan Show-off ini. Difahamkan, setakat artikel ini ditulis, Waja ini telah berjaya mengutip sebanyak 30 kali kemenangan. Hebat bukan? Malah, Waja ini juga contoh gabungan kegarangan exterior dan juga kemantapan bunyi ICE. Tak percaya?

Lihat sahaja jenama yang bertakhta di bahagian but belakang kereta ini, 4 unit woofer 12” Kicker Comp VR Aluminized. Dengan tema Livin’ Loud, keempat-empat woofer ini memikul tugas memainkan bunyi yang kuat. Dalam masa sama, memberi kemantapan yang sekaligus memberikan kepuasan maksima kepada Kelvin. Tidak cukup dengan itu, seunit lagi woofer digunakan. Kali ini, Kelvin sengaja memasang woofer 12” MAX124D dari Lanzar secara terbalik. Bukan kerana untuk menunjuk magnet yang digunakan, sebaliknya cara ini mampu mengurangkan tekanan.

Bagi memacu woofer Lanzar ini, seunit amplifier monoblock yang juga dari jenama Lanzar telah digunakan. Manakala 4 unit lagi woofer telah menggunakan amplifier 4 channel dari jenama Audiobank. Satu channel untuk satu woofer. Sekiranya anda berniat untuk memasang sendiri woofer atau mana-mana bahagian dalam sistem ICE, nasihat yang saya berikan hanya satu. Berguru terlebih dahulu. Tak cukup ilmu kalau setakat baca di buku sahaja. Silap haribulan, salah pasang, boleh berlaku litar pintas!

Berpindah pula kepada bahagian yang tidak kurang pentingnya dalam sistem ICE milik Naruto ini, barisan speakernya. Terdiri dari 4 unit mid bass 6.5” Epsilon EPM-600 dan juga 2 unit tweeter Audio Master. Rasanya, tidak perlu dirungkaikan tentang dua jenama ini. Pastinya sekarang, 2 jenama ini bukan satu nama yang asing, terutama sekali Epsilon. Bak kata budak-budak muda, “dah memang makanan pecinta ICE!”

4 unit mid bass Epsilon ini pula dipacu seunit amplifier 4 channel dari jenama Sony Explore. Amplifier ini juga turut memacu 2 unit tweeter Audio Master. Kesemua barisan speaker ini telah ditempatkan di bahagian belakang, menemani barisan woofer tadi. Tetapi kedudukannya pula di sebalik penutup but. Kedudukan yang tersusun dan rapi, menambahkan lagi keindahan bahagian ini selain bunyinya yang benar-benar menggoda para pendengar.

Kalau sudah memikul sistem ICE sebegini, tentunya muzik yang dimainkan bukan yang berentak sentimental, sebaliknya heavy. Dan bila memainkan muzik heavy, tak sah kalau tak pasang sehabis volume, tak begitu? Itulah yang terjadi kepada kereta Naruto ini. Namun, dalam kemeriahan LCD LG yang menjadi perkakas sampingan serta ditambahkan lagi dengan set playstation, kereta ini tetap mempunyai kekurangan. Apakah kekurangan yang ada pada kereta ini?

Mudah saja jawapannya. Pemain utama Super atau yang lebih terkenal dengan gelaran label cap Ayam dalam bahasa pasarnya. Setiap kali memandang ke arah kabin hadapan kereta ini, saya tertanya-tanya, mengapakah Kelvin memilih jenama Super untuk sistem ICE yang sudah pun mantap? Mujurlah ada penggunaan pre-amp JBL 4EQ, membantu sistem ICE ini beraksi dengan cemerlang. Mungkin juga Kelvin sudah mempunyai rancangan untuk menukar pemain utamanya ini. Kalau sudah punyai niat, janganlah beli lagi jenama cap Ayam ya…
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 19



























