CR-V Audio, The Option One
Pembinaan sebuah jentera sistem audio yang sangat jelas untuk dijadikan sebagai demo, CR-V ini merupakan satu lagi hasil tangan dan kreativiti tenaga kerja Option Audio Car Accessories. Sangat dikenali di sekitar Miri, Honda CR-V ini bukanlah kereta pertama dengan sistem audio yang berjaya menembusi majalah Kar HiFi. Namun keistimewaannya tetap ada, bukan hanya pada sistem yang dipasangkan tetapi kesanggupan menjadikan sebuah Honda CR-V sebagai kereta demo.
Lebih kurang 10 tahun sudah, saya sendiri bercita-cita untuk menggantikan kereta Satria dengan membeli Honda CR-V. Walaupun sudah agak berusia dan telah bertukar tangan beberapa pemilik, Honda CR-V berwarna hijau itu tidak ditakdirkan untuk saya dan membuktikan permintaan terhadap model keluaran Honda ini memang sangat diingini rakyat Malaysia.


Apabila melihat sebuah lagi CR-V di depan mata dan telah menjalani pembangunan sistem audio yang sempurna dengan kelengkapan jenama terkenal Autotek membuatkan hati berdetik, “tak sayang ke?” Kalau dilihat secara teliti, untuk membina sistem audio talaan SPL ini, pihak Option Audio telah mengeluarkan semua kerusi penumpang di bahagian belakang bagi memberi ruang untuk beberapa aksesori audio dipasangkan dengan kemas.
Sebenarnya, kalau melihat dari sudut eksterior Honda CR-V ini tiada yang menyangka ia memikul sebuah sistem audio dengan talaan SPL kerana sebagaimana lazimnya, kereta dengan talaan SPL lebih dimeriahkan sudut luarannya. Berlainan pula ceritanya yang dapat dilihat pada CR-V yang dilayangkan rona merah ini. Diperkemaskan dengan pemasangan filem lapisan cahaya (tinted film), ia kelihatan kemas dan dalam masa yang sama misteri. Hanya ada beberapa pelekat jenama audio yang menghiasi bahagian cermin CR-V ini. Paling tidak, orang menjangkakan CR-V ini dilengkapi dengan sistem audio SQ.

Inilah keunikan kereta demo talaan Option Audio, tidak semestinya sebuah jentera dengan sistem audio SPL perlu dihias seperti sebuah kereta show off yang sering dipertandingkan di mana-mana pertandingan autoshow. Ya, Honda CR-V ini tampil lebih elegan. Begitu juga dengan sistem audio yang dipikulnya, terdiri dari jenama-jenama terkenal dari Pioneer hinggalah Autotek, tiada alasan untuk mengabaikannya. Sekali terpikat, anda pasti terjerat.
Dimulakan dengan pemain utama Pioneer dengan fungsi Mixtrax AVH-X8550BT, segala data dan format audio yang dimainkan pada pemain ini akan diproses dengan mendahulukan kualitinya sebelum dihantar ke unit-unit audio lain. Dalam kes ini, Option Audio telah menggunakan aksesori audio bantuan (tambahan) pre-amp 7 band dan juga power cap digital. Sebanyak 4 unit pre-amp 7 band digunakan; 3 unit daripadanya adalah pre-amp 7 band Autotek 7007 dan seunit lagi adalah pre-amp SM-7B. Isyarat kemudiannya disalurkan pula kepada Power Cap Digital (kapasitor kuasa digital) dari db Drive, DBCAP10 yang mana setiap satunya menerima isyarat dari satu unit pre-amp yang terlebih dahulu digunakan tadi.


Pasti ada yang bertanya, apakah signifikan pemasangan kapasitor kuasa ini? Seperti dinyatakan awal tadi, pre-amp dan kapasitor kuasa ini adalah alat bantu. Ada antara installer yang memasangnya pada sistem audio tetapi tapi tidak merasakan ia perlu dikongsikan dengan pembaca. Ada juga yang tidak menggunakannya kerana bergantung kepada kuasa bateri kereta.
Namun penggunaan kapasitor kuasa ini bertugas untuk mengumpulkan sejumlah kuasa elektrik yang mana akan diagihkan kepada komponen-komponen audio yang mengalami kekurangan kuasa. Ini secara tidak langsung, memastikan keseimbangan dan keberlangsungan sistem menghentam audio tanpa menghadapi masalah. Memandangkan terdapat unit aksesori audio yang dipasangkan ke atas sistem audio CR-V ini, pemasangan pre-amp dan juga penambahan penggunaan kapasitor kuasa adalah relevan.


Keempat-empat unit kapasitor kuasa digital ini membentuk 4 laluan; laluan pertama, kedua dan ketiga, mempunyai corak aliran isyarat yang sama. Setiap laluan ini menguasakan seunit amplifier monoblock Autotek siri Mean Machine, MM-1300.1D dan laluan keempat pula dipecahkan kepada 3 unit amplifier 4 channel serta membentuk 3 laluan baru. Berbalik kepada 3 laluan pertama tadi, setiap unit amplifier monoblock diberi tugas untuk menguasakan sebanyak 2 unit woofer Autotek BT12D4. Semua woofer dipasangkan dalam perumah khas yang dibina di belakang atau ruang tempat letak barang.
Memperhebatkan lagi sistem audio ini adalah 8 unit mid bass 6.5” Autotek SS-650PA yang dikuasakan dua unit amplifier 4 channel Autotek isyarat dialirkan kepada seunit amplifier monoblock, laluan keempat pula untuk dua unit amplifier 4 channel M2000.4. Kelapan-lapan unit mid bass ini kemudiannya dilekapkan pada perumah khas di bahagian penutup belakang CR-V. Seunit lagi amplifier 4 channel Autotek SM-90.4 digunakan untuk menguasakan 4 unit tweeter Autotek SS-50T. Pemasangan tweeter ini sekali gus melengkapi sistem audio dan menyempurnakan CR-V sebagai kereta demo.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 74






























