
Dari luar, kereta ini kelihatan sangat biasa. Warna perak memang bukan pilihan bagi kebanyakan orang untuk mengubahsuai sebuah kereta. Apa lagi jika ianya sebuah Toyota Vios. Skirting yang dipasang pada keseluruhan badan kereta juga tidak mengubah banyak penampilannya. Rim hitam replika Rays VS XX 17 inci mungkin menyelamatkan keadaan, namun ia masih belum cukup untuk menjadikan kereta ini ‘stand-out’ di kalangan kelompok modifikasi ICE.

“Cuba buka bonet belakang,” arah seorang kakitangan RDS dari sebuah pusat aksesori terkenal di Kapar, Klang.
Nah. Sekarang, patutlah bos beria-ia benar mahukan kereta ini dipaparkan dalam muka surat penuh. Sedangkan saya tidak nampak mana istimewanya. Tiada pelekat badan, warna yang agak muram menjadi alasan kuat untuk menolak kereta ini pada mulanya.

Semua itu berubah sebaik saja melihatkan betapa meriahnya bahagian interior kereta ini. Di bahagian but kereta, tersusun aksesori wajib untuk sebuah sistem audio SPL dengan konsep show-off. Dalam bahasa Melayu maksudnya ‘menunjuk-nunjuk’, tapi jika anda mempunyai sistem begini, tidak salah untuk menunjuk-nunjuk. Kalau kereta dibuat cantik, duit habis beribu kemudian simpan dalam garaj, di mana istimewanya?

Dalam but belakang kereta ini terdiri daripada 3 unit woofer RDS 12” yang dipasang dalam kotak custom khas. Lebih dari sekadar sebuah kotak, ia direka dengan cermat agar dapat memanfaatkan ruang kecil pada but kereta ini. Woofer ini menerima kuasa daripada amplifier monoblock RDS Blue Devil 2000D. Untuk memotong frekuensi daripada pemain utama, seunit pre-amp RDS500.8 digunakan. Seperti kebanyakan woofer di pasaran bagi kategori kelas SPL, bunyi yang terhasil dariapda woofer ini cukup solid dan sepadan dengan susunannya.

Pada bahagian penutup but pula kelihatan susunan speaker mid bass RDS berukuran 6.5” sebanyak 6 unit. Ia disusun bersama dengan 4 unit horn tweeter RDS RA80N yang dipasang secara menegak di atas perumah kayu rekaan khas mengikut kontur bahagian penutup but tersebut. Keseluruhan bahagian ini dibalut dengan fabrik merah yang sekata dengan keseluruhan hiasan pada bahagian but tadi.

Untuk bekalan kuasa, speaker ini menerima sumbangan aliran elektrik daripada Agako XT-2600, amplifier 2 channel. Horn tweeter juga mendapat bekalan kuasa daripada amplifier 2 channel Agako tetapi modelnya berbeza iaitu Agako XT-2130. Kedua-dua amplifier ini kelihatan hampir sama, namun tenaga yang diperlukan oleh mid bass adalah sekitar 200 watt lebih tinggi dari apa yang diperolehi set tweeter tadi.

Proses tapisan isyarat bunyi pada mid bass dan tweeter ini dilakukan oleh unit berasingan. Untuk mid bass ia dipasangkan dengan pre-amp RDS700.8. nisbah aliran kuasa kepada channel boleh dilakukan dengan tepat mengikut jenis lagu ataupun kekuatan volume dalam sesebuah persembahan. Untuk tweeter pula, pemilik Vios ini menggunakan terus talaan dari unit kawalan output daripada pemain utama.

Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana 2 unit monitor TFT 9” boleh berada di sini. Baiklah. Monitor ini dipasangkan pada sekeping papan yang direkabentuk mengikut lengkok belakang bonet dan juga penebat getah bonet. Ia kemudiannya dipasangkan dengan kabel RCA biasa dan dipadankan pada soket khas di belakang speaker untuk kuasa dan isyarat. Papan ini disimpan di dalam but bila tidak digunakan. Ringkas dan praktikal.

Pemain utama Clarion DXZ786USB yang dipilih ternyata tidak menghampakan dalam memainkan peranannya sebagai media pembaca utama. Dengan talaan yang betul pada setiap frekuensi yang diekstrak amplifier kepada speaker, sistem ICE Vios ini sudah lengkap untuk dijadikan mesin tayangan umum. Maksud saya, orang tidak akan tengok kereta ini di tapak pameran kecuali setelah monitornya dipasang, hud belakang dibuka dan lagu dimainkan.



































