Semakin hari, semakin sukar untuk krew Kar HiFi mencari modifikasi kereta yang dibina khusus untuk sistem audio semata-mata. Jika dibandingkan dengan 5 atau 6 tahun yang lalu, sangat berbeza. Hampir setiap hari, ada sahaja temu janji yang terpaksa dipenuhi untuk sesi penggambaran bersama kereta-kereta audio. Mahu atau tidak, sudah tiba masanya untuk kita terima hakikat bahawa dunia audio sedang nazak.
Dunia audio belum berakhir kerana saya percaya, masih ada lagi para peminat audio dalam kereta di luar sana cuma ramai yang tidak mahu berkongsi cerita dan cukup sekadar untuk memuaskan kehendak hati sendiri. Kereta-kereta yang anda jumpa di mana-mana pertandingan autoshow pula, kebanyakannya dibina sekadar untuk memenuhkan syarat pertandingan. Tidak dinafikan para peserta sangat bijak dalam memilih konsep audio yang bersesuaian dengan penampilan kereta masing-masing.
Beberapa hari lepas, krew kami berpeluang bertemu seorang pencinta audio yang datang dari bahagian utara Malaysia atau lebih tepat lagi, dari Pokok Sena, Kedah. Bukan calang-calang orangnya dan sistem yang dibina pula, bukan biasa-biasa. Sudah agak lama kami tidak dihidangkan dengan sistem audio sebegini lengkap. Tambah pula, bila ianya dibina pada sebuah van. Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, peluang ini digunakan sehabis baik.
Sebelum itu, ramai yang sudah maklum tentang van Toyota Hiace yang sering digunakan sebagai pengangkutan komersial sama ada mengangkut barang atau dijadikan sebagai van sekolah, kilang ataupun van pelancongan. Ruangnya luas dan mampu memuatkan 10-12 orang dalam satu-satu masa. Apabila ia dijadikan kenderaan yang memikul sebuah sistem audio, dilengkapi jenama audio yang masih terus kukuh sehingga hari ini.
Kebanyakan jenama audio yang digunakan bagi membina sistem audio dalam van Toyota Hiace ini adalah dari NT Power. Seperti yang sedia maklum, NT Power bukan satu nama yang asing dan pernah beberapa kali mencipta rekod tersendiri di medan pertandingan audio khususnya di Malaysia. Pemilihan jenama ini memang sesuai kerana mampu memberikan hasil audio yang sempurna.
Sebenarnya, ruang yang luas juga memberikan cabaran kepada installer untuk memastikan tiada kelompangan pada bunyi yang dihasilkan. Pemasangan speaker di kedudukan yang tepat memainkan peranan yang penting. Justeru itu, Khai Ace, pemilik van Hiace yang juga pemilik kedai aksesori van Hiace iaitu Hiace Autoworks sangat teliti dalam merangka dan memilih produk yang diperlukan.
Walaupun perniagaannya hanya menumpukan terhadap penjualan aksesori Hiace, itu tidak menjadi penghalang untuk beliau membina sebuah sistem audio yang berkualiti dan dalam masa sama, memenuhi kehendak hatinya sebagai pencinta audio. Kalau dilihat pada penampilan Hiace ini, terlalu banyak yang telah dimodifikasikan Khai Ace yang sudah hampir 9 tahun berjinak-jinak dalam bidang modifikasi van. Ini termasuk bodykit dari Kuhl Racing Japan.
Selain itu, beliau juga menggantikan rim dengan Japan Bradrucker 20 inci, Japan Valenti LED untuk sistem headlamp, Japan Legance untuk tailamp, Japan Reiz Revier untuk cermin sisi, Japan Vellfire untuk pilot seat dan macam-macam lagi. Manakala untuk pintu slaid, beliau menggunakan SSP auto slide door serta menambahkan set tv auto flip android 4k 19 inci. Semuanya hasil kerja tangan dari Hiace Autowork dengan mengenakan tema VIP untuk sudut interior.
Sepertimana yang disebut awal-awal tadi, Khai Ace telah memilih jenama NT Power bagi melengkapi sistem audio dalam Hiace ini. Dimulakan dengan pemain utama dari Pioneer DEH-X1850UB dengan Mixtrax yang boleh dikawal secara terus dan berfungsi cemerlang untuk Android. Bagi menambahkan serta mendapatkan jumlah yang tepat sebelum dialirkan ke barisan amplifier, 2 unit pre-amp NT-77EQ sekali gus membentuk kepada tiga laluan baru.
Isyarat dari seunit pre-amp yang pertama telah dialirkan kepada 2 unit amplifier; seunit amplifier 2 channel dan seunit amplifier 4 channel. Manakala, seunit lagi pula memancarkan isyarat kepada seunit amplifier monoblock. Laluan pertama tadi terdiri dari unit amplifier, seunit amplifier 2 channel Soundstream SP.A602 dan seunit amplifier 4 channel Kole Audio KSQ-804. Amplifier 2 channel ini digunakan untuk memacu 4 unit horn tweeter berjenama AV Quart, AQ-Y88T. Amplifier 4 channel pula memacukan sebanyak 8 unit mid bass 6” NT Power, NT-PA6.
Seterusnya laluan kedua, di mana seunit pre-amp telah ditugaskan untuk menyalurkan isyarat kepada seunit amplifier monoblok dari Kole Audio QX-5000D yang memacukan sebanyak 4 unit woofer 12” dari NT Power, NT-1200PA. Kesemua sistem audio ini telah dipasangkan di bahagian belakang dalam sebuah perumah khas yang disusun secara kemas dan rapi. Selain sistem audio, di bahagian ini juga turut dipasangkan sebuah tv berukuran 19” sebagai hiburan visual.
Selebihnya, pihak installer telah memasangkan barisan amplifier yang memacu kesemua barisan speaker tadi di bahagian dalam Hiace. Kepintaran installer menterjemahkan sistem audio pada Hiace ini harus dipuji kerana selain memasang sistem audio yang cemerlang, mereka masih mengekalkan keadaan dalamnya dan boleh digunakan untuk kegunaan harian. Tiada masalah untuk pergi ke mana-mana mahupun untuk bersiar-siar bersama keluarga. Dalam masa yang sama, Hiace ini juga boleh menyertai mana-mana pertandingan audio. Hebat, bukan?