Ram Kumar sama seperti anak muda moden yang gemarkan aktiviti sosial. Namun berbeza dengan rakan-rakannya yang lebih ke arah gadget freak berteknologi tinggi, Ram banyak menghabiskan masanya membelek kereta sejak dari kecil lagi. Sebaik menamatkan pekerjaan, beliau telah membeli kereta Proton Satria terpakai dan merupakan kereta pertamanya yang masih kekal hingga ke hari ini.

Sewaktu peringkat awal memiliki kereta ini, tidak banyak idea dan modifikasi yang dilakukan. Beliau kerap bertukar-tukar konsep, dari JDM kepada stance dan akhirnya mula menampilkan keretanya di pameran dan pertandingan autoshow. Bertitik tolak dari situ, beliau mula mendapat kenalan yang lebih arif dalam selok belok pengubahsuaian audio. Ibarat cinta pandang pertama, beliau nekad untuk ‘melahirkan’ semula Satrianya untuk menjadi sebuah jentera serba baru dengan konsep yang ekstrem.

Sebaik mendapat dana yang diperlukan, kereta ini dihantar ke bengkel untuk menghadapi penambahbaikan kerja-kerja di badan. Konsep bebas rekaan beliau lahir dari beberapa idea yang berbeza. Badan yang bersegi, sayap belakang mencucuk langit dan kit badan yang dilabuhkan sehingga menjejak jalan. Kunjungan ke Toms Sticker menamatkan kerunsingan beliau bagaimana untuk mendapatkan tema pelekat yang sesuai dengan warna latar biru bayside yang dilayangkan pada badan kereta.

Setelah semuanya lengkap, kereta dibawa pulang dan kini menjalani proses transformasi kedua. Audio. Kedai aksesori Soundscape Automart di Shah Alam dipilih kerana reputasinya dalam membina kereta audio yang cemerlang. Bila tiba giliran pemilihan produk pula, Ram memilih Audio Quart.

Sistem kereta ini bermula dengan pemain cakera padat Pioneer DEH-5450SD. Ia adalah pemain tunggal yang dipasangkan pada kotak glove bahagian penumpang. Perumah serta kemasan papan dash ini dilatarkan dengan pvc biru dan putih, cukup untuk menggambarkan betapa serius pemiliknya untuk menjadikan kereta ini konsep audio-show yang sebenar.

3 unit pre-amp equalizer keluar dari laluan pemain utama Pioneer ini. ketiga-tiganya adalah dari Audio Quart di mana 2 darinya berfungsi melaras 7 band dan satu lagi memiliki keupayaan 9 band. Pembahagian pre-amp sebegini adalah cara yang paling mudah dan murah untuk membahagikan frekuensi mengikut keperluan.

Saluran pertama menampilkan empat unit woofer yang dipasang dalam but belakang. Empat unit woofer 12” Audio Quart siri Red Storm ini mendapat bekalan kuasa mutlak dari 2 unit amplifier monoblok AQ Black Diamond. Amplifier ini bukan sahaja membekalkan kuasa malah kedudukan sebagai kosmetik hiasan dalaman kereta berjaya meningkatkan nilai estetik. Susunan dibuat di bahagian kerusi belakang yang telah dibuang dan digantikan dengan perumah khusus untuk menempatkan pelbagai alatan tambahan lagi.

Saluran kedua pula ialah bahagian mid 8 unit mid bass yang mana tumpuan masih lagi dibuat di bahagian but belakang. Dipasang mengelilingi ruang hud tadi, sentuhan perumah yang diperbuat dari gentian kaca dengan latar belakang putih berjaya menonjolkan kedudukan pembesar suara 6.5” tersebut. Set mid ini mendapat bekalan kuasa daripada 2 unit amplifier 4 channel AQ siri Hurricane yang ditempatkan di kerusi belakang bersama-sama amplifier monoblok tadi.

Saluran ketiga pula adalah bagi sistem yang melengkapkan set bahagian kokpitnya. Ia terdiri dari seunit saluran siri Hurricane yang memperkasakan keluaran bunyi dari set komponen mid dan tweeter di bahagian depan. Selain daripada senarai speaker dan amplifier yang disebutkan, Satria ini turut dilengkapi dengan set visual yang terdiri dari 24 unit monitor TFT 4.3 ini yang disebarkan kedudukannya pada panel pintu dan sisi belakang.

Penampilannya diserikan lagi dengan penggunaan lampu LED yang meluas, dari badan kereta kepada bahagian bawah, speaker dan juga celahan yang berhasil menaikkan sejumlah cahaya amber. Senang kata, kereta ini memang direka untuk menonjol di petak pameran sama ada dari segi sistem bunyi ataupun pandangan visual.




























