Ada bermacam cara yang boleh dibuat untuk membina tema sebuah kereta. Ini satu daripadanya. Saya pun sebenarnya baru tahu apa itu Angry Bird sejak membeli Ipad bulan lepas. Aplikasi permainan yang dicipta syarikat Rovio Mobile ini sangat popular di kalangan pengguna produk Apple. Fenomena ini menjadi kegilaan sejagat bila aksesori permainan yang berkaitan mula dihasilkan dengan meluas.
Tidak terhenti pada pakaian mahupun alat permainan, Angry Bird mencetus idea pada pemilik Nissan Sentra ini untuk membina sebuah replika bertema untuknya. Sekali pandang, kita dapat menjangka bahawa kereta begini dibina hanya untuk satu tujuan; pertunjukan. Anda tidak akan memandu kereta begini untuk ke pejabat kerana mungkin sama ada dipecat, ataupun pengawal akan menyuruh anda parkir di luar bangunan.
Tapi bila di tapak pameran audio dan autoshow sudah pasti kereta begini dialu-alukan. Bukan setakat tema sahaja, apa yang cuba dibuat pada kereta ini agak menyeluruh dengan konsep burung marah tadi. Saya maksudkan, bahagian butnya juga dilengkapi dengan pepatung yang direka bagai arked mainan. Tinggal bangunannya diperbuat dari kayu dan perlu diruntuhkan. Itu sahaja yang belum dibina oleh Seng Yin Auto Accesories dari Puchong ini.
Tingkat taraf sistem audio kereta ini dimulakan dengan pemain utama Nakamichi CD-45. Terus terang saya katakan, ini adalah pemain yang agak lama di pasaran. Saya kira ia diperkenalkan pada awal tahun 2000 dulu yang mana zaman orang sibuk dengan penukar CD (CD Changer) disambungkan pada pemain kaset atau pemain CD tunggal. Pemain MP3/WMA dan media seperti iPod dan bluetooth masih terlalu janggal dalam industri. Namun Nakamichi terkenal kerana pemproses CD berhalaju tinggi mereka yang menghasilkan bunyi lunak dan jelas.
Pemain ini sahaja sudah tentu tidak mampu mengesktrak semua salurannya dengan jumlah keluaran pre-out yang terhad. Justeru Seng Yin Auto Accesories telah menambah dua unit pre-amp Audio Quart AQP-9.1HC untuk melaras keseluruhan bunyi. Seperti sistem audio demo yang lazimnya dipamerkan, bahagian but adalah fokus utama untuk mempersembahkan hasil kerja dan juga justifikasi bunyi terhadap keseluruhan sistem yang dibina.

Di dalam but kereta ini dipasangkan dengan 2 unit woofer 15” Audio Quart. Melihatkan saiz getah konnya sahaja sudah pasti kita boleh duga jenis amplifier yang bagaimana diperlukannya. Woofer 15” Audio Quart AQ-1597R ini dikuasakan oleh 2 unit amplifier monoblock kelas D Audio Quart AQ-HC30D yang mana setiap satunya disambungkan pada 2 unit kapasitor digital 3.0 farad AQ-330X. Kombinasi, saluran, kuasa dan bekalan yang dibuat menjamin woofer ini akan terus ‘meletup’ dalam apa juga keadaan sekalipun.
Terdapat 2 unit lagi amplifier; amplifier 4 channel Audio Quart AQ-HC100.4 digunakan untuk memandu speaker di bahagian but ini. 6 unit mid dan 4 bullet tweeter yang nyaring itu kini mendapat keseimbangan yang cukup untuk memacu set bunyi yang ditala pada penutup boot. Pemasangan speaker ini dibuat pada asas gentian kaca yang kemas sekali buatannya. Bila dipadankan dengan sebuah monitor 9” dan kemasan air brush yang rapi, kelihatan set speaker AQP-788M dan tweeter AQ-25HT tersebut begitu serasi di sana.
Tapi bagi sebuah sistem audio yang sempurna, cantik sahaja tidak akan bermakna bila bunyi yang dihasilkan tidak sehebat mana. Justeru, pihak Seng Yin Auto Accesories telah menala keseluruhan sistem ini dengan sangat berhati-hati agar semua komponen yang dipasangkan dapat berfungsi dengan harmoni.
Penalaan pada keseluruhan sistem turut melibatkan ‘staging’ di bahagian depan kokpit. Di bahagian panel pintu Sentra ini ialah dua unit mid bass jenis komponen Audio Quart AQ-C65HQ yang hadir bersama 2 unit tweeter dome kecil berkuasa 150 watt. Tidak cukup besar tetapi memadai untuk menyokong alunan frekuensi tinggi ketika pemandunya bosan dalam kesesakan jalanraya. Bagi speaker di bahagian kokpit ini, seunit lagi amplifier 4 channel Audio Quart AQ-HC100.4 digunakan.
Orang sering bertanya kepada saya peri praktikalnya kereta begini. Baiklah. Ini adalah kereta demo. Demo bermaksud kereta untuk tujuan perniagaan. Anda perlu ada sesuatu untuk ditonjolkan dan penghasilan sesuatu yang luarbiasa lazimnya dipilih untuk menarik ramai audiens mendekati dan memerhati sistem yang diperdengarkan. Bunyi yang dihasil perlulah setanding dengan apa yang dipamerkan. Maksudnya, jika ia woofer 15”, ia perlulah mengeluarkan output sebagaimana sebuah 15” patut beraksi. Produk adalah satu perkara, pemasangan adalah faktor yang paling penting. Sebab itu jangan percaya pada jenama semata-mata, harapan tinggi perlu anda letakkan pada installer!




























