Filem animasi bukan sahaja mempengaruhi golongan kanak-kanak, malah sejak ia dilakonkan pelakon jelita Megan Fox, golongan dewasa juga tidak ketinggalan menonton filem dengan genre ini. Kalau bicara tentang Megan Fox, pasti semua tahu filem apa yang saya maksudkan. Ya, tentu sekali filem Transformer. Antara watak kenderaan yang ditranformasi menjadi pejuang robot dalam filem ini termasuklah, Bumble Bee.
Hah, pasti ramai yang anggap fokus utama telah terpesong jauh. Apa kena mengena pula Transformer atau Megan Fox dalam majalah audio, betul tak? Hakikatnya memanglah tidak ada kaitan, tetapi arah tujunya masih sama. Lihat sahaja pada kereta Iswara yang dilayangkan warna hitam dan kuning ini, sekaligus mengingatkan saya kepada Bumble Bee.
Sepertimana ia ditranformasi menjadi sebuah robot pejuang, Iswara ini juga tidak jauh bezanya. Ditransformasi serta dimodifikasi luar dan dalam. Terima kasih kepada Advan’s Motor Accessories, installer yang berjaya mengubah kondisi kereta ini. Jika anda fikir sudut luaran saja yang mampu membuatkan perhatian tertarik, fikir sekali lagi kerana sistem ICE dipikul ‘Bumble Bee’ ini cukup memukul kewarasan deria dengar!
Sebenarnya, kereta Iswara yang tampil ‘smart’ ini datangnya dari jauh. Sudah agak lama juga pihak Kar HiFi ‘merisik’, cuma baru sekarang berpeluang merakamkan gambarnya sekaligus berkongsi dengan para pembaca sekalian. Datang dari negeri di bawah bayu, Iswara ini adalah antara banyak lagi contoh terbaik sistem ICE yang terdapat di Sabah. Berbekalkan penyatuan kuasa 4 unit woofer dari jenama Kicker, bersiap sedialah untuk menerima tendangan bass yang berbisa. Alamak, ayat klise!
Kedengaran klise tapi tetap unik. Tidak seperti sistem talaan SPL yang pernah dilihat sebelum ini, Advan’s Motor Accessories menggunakan pemain head unit dari Pioneer yang agak biasa, Pioneer DEH-2750B. Bak pepatah Inggeris ‘lesser is better’. Dengan keupayaan membaca data fail media pelbagai format, isyarat yang dihasilkan dipancar kepada seksyen bantuan, 2 unit pre-amp 5 band dari Pegasus. Jadi, di sini setiap isyarat yang dihasilkan head unit akan menjalani proses penambah-baikan mutu untuk dipancarkan.
Secara tidak langsung, isyarat terbahagi kepada dua laluan. Laluan pertama, isyarat yang melalui pre-amp pertama dan kemudiannya dibahagikan pula kepada 3 aliran mengikut bilangan amplifier yang digunakan untuk memacu sejumlah besar barisan penguat suara atau dalam bahasa mudah, speaker. Sebanyak 3 unit amplifier dari jenama Saga digunakan. 2 darinya adalah amplifier 4 Channel Saga 100.4.
Baiklah, untuk menerangkan bahagian ini agak rumit. Sebagai tukang sampai maklumat, saya harus memberi informasi dalam ayat mudah dan jelas agar senang difahami para pembaca. Bermula dengan 1 unit amplifier 4 channel Saga 100.4 yang memacukan sejumlah 6 unit speaker komponen 6.5” dari MIX. Kesemua bilangan speaker ini ditemani dengan tweeter. Bagi menempatkan 6 unit speaker dan 6 unit tweeter, Advan’s Motor telah membina perumah khas di bahagian bonet, di bahagian atas.
Unit amplifer 4 channel kedua dari jenama dan model sama, digunakan pula untuk memacu 4 unit speaker komponen 6.5” Kicker yang diletakan di bahagian pintu bonet. Sepertimana dengan set speaker di bahagian bonet tadi, kesemua tweeter yang didatangkan dengan speaker komponen Kicker ini turut digunakan dan ditanam berhampiran dengan speaker tadi.
Bagi memberikan keseimbangan terhadap sistem ICE Iswara ini, Advan’s Motor turut memberikan penumpuan kepada bunyi yang dihasilkan di bahagian dalam. Adakalanya, ada pecinta ICE yang tidak mahukan ruang dalam kereta dicederakan. Malah, ada yang membiarkan stok kilang bertakhta di bahagian ini. Berbeza dengan kereta Iswara ini yang dipasangkan dengan 4 unit speaker 6.5” Kicker, 2 unit speaker komponen MIX 6.5” dan 6 unit tweeter. Barisan ini dikuasakan pula oleh amplifier 2 channel Saga 100.2.
Manakala laluan kedua pula dibahagi kepada 2 aliran; iaitu 2 unit amplifier monoblock Prokick LS2500 untuk memacu barisan woofer. Ya, memang benar. tidak sah satu-satu sistem ICE (terutamanya talaan SPL) jika tidak dianggotai barisan woofer. Memberikan bunyi bass yang bulat dan mantap. Memandangkan barisan speakernya pun sudah mencecah 16 unit, Advan’s Motor telah menyumbat 4 unit woofer 10” dan 12”.
Aliran pertama terdiri daripada 2 unit woofer 10” Kicker ES yang ditempatkan di bahagian tempat duduk belakang yang telah diubahsuai, atau dalam bahasa mudahnya, dibuang untuk memberi laluan kepada perumah khas yang menempatkan. 2 unit speaker komponen 6.5” MIX dan 2 unit tweeter turut menemankan woofer ini di bahagian kiri dan kanan.
Aliran kedua pula terdiri daripada 2 unit woofer 12” Kicker CompVR. Ditempatkan juga dalam perumah khas yang diletakan di bahagian bonet. Selain itu, beberapa aksesori tambahan turut diisi di bahagian bonet ini termasuklah LCD. Apa motif LCD diletak dibahagian belakang? Tentu sekali untuk menarik perhatian umum yang berkunjung di tapak pertandingan. Tapi, kalau untuk pemanduan biasa? Pastinya LCD ini tidak dipasang.
Memandangkan isinya sahaja sudah cukup padat, amatlah mustahil untuk Bumble Bee ini mengharapkan kuasa tenaga yang dibekalkan semata-mata dari bateri kereta. Disebabkan itu, bagi menampung keperluan kuasa sistem ICE yang padat ini, 2 capasitor 3.0 Farad dari Kicker telah digunakan. Bijaklah begitu. Kalau tidak ada kuasa tambahan, sah-sah sebaik sempat hidupkan enjin dah berlaku litar pintas.