Sebagai sebuah kereta yang paling laris jualannya di Malaysia tak hairanlah kenapa Perodua Myvi sering dijadikan bahan untuk diubahsuai oleh rakyat kita. Tak kiralah ubahsuai macam mana, nak jadikan dia kereta lumba, ubahsuai gaya JDM, ubahsuai bodykit ekstrem ataupun untuk dijadikan ‘Juke Box’ bergerak. Saiznya yang sederhana, tak terlalu kecil atau terlalu besar membuatkan kereta ini cukup popular untuk rakyat Malaysia tanpa mengira status.
Mengubahsuai sistem audio untuk sebuah kereta bersaiz sederhana macam ini memberi cabaran yang besar kepada installer oleh kerana ruang dalamannya yang agak terhad. Lazimnya, agak sukar menempatkan speaker dan aksesori audio yang banyak memandangkan ruang yang ada adalah terhad. Di sini sebenarnya yang membezakan installer yang bagus dengan installer yang cemerlang – kreativiti menggunakan ruang.
Perodua Myvi berwarna hitam ini ialah contoh pemasangan sistem audio yang tidak konvensional, di mana installernya berfikir di luar kotak dengan menggunakan konsep tidak simetri ketika memikirkan bagaimana untuk menyusun speaker dan aksesori audio untuk kereta ini.
Untuk unit utama sistem audio yang bakal dibina, installer memilih pemain Dvd 2-din Pioneer AVH-X5550BT yang memberi output video dan juga audio digital. Installer sistem audio ini kemudiannya beralih kepada pemilihan amplifier yang sesuai bagi menghasilkan bunyi yang terang dan jelas daripada isyarat frekuensi audio yang terhasil daripada unit utama tadi.
Bagi menjanakan bunyi stereo, installer memilih seunit amplifier Lightning Audio LA-8004 dari jenis 4 saluran. Dari sini, amplifier tadi menyalurkan kuasa dengan 2 saluran dipecahkan kepada 4 unit speaker jenis 2 hala dari Lightning Audio 1654 yang masing-masing mampu menampung kuasa sebanyak 125 watt PMPO. Keempat-empat speaker tadi dipasang di dalam ruang speaker asal Myvi dan staging bunyi dilaras untuk pendengaran terbaik para penumpang di dalam kereta.
Selepas itu, 2 saluran dari amplifier 4 saluran tadi dihantar kepada 2 unit lagi speaker 2 hala dari Lightning Audio 1654 yang dipasang di dalam perumah custom yang dibina untuk ruang but belakang Myvi ini. Saluran kuasa dari amplifier tadi juga digunakan bagi memberi kuasa kepada dua unit tweeter dari buatan Lightning Audio yang turut dipasang di perumah custom tadi.
Selesai dengan pemasangan speaker jenis mid range bersama-sama dengan tweeter, installer ini kemudiannya beralih kepada kuasa yang bakal memberikan dentuman bunyi bass pulak. Untuk itu, installer memilih sebuah amplifier jenis monoblock Lightning Audio 1600MD yang disokong oleh sebuah kapasitor 1 farad. Kuasa dari amplifier ini digunakan bagi memacu dua unit woofer Lightning Audio One yang masing-masing berdiameter 12”.
Ingat tak yang saya sebut installer ini menggunakan cara tidak konvensional bagi memasang speaker and aksesori audio kereta ni? Ya, anda boleh lihat sendiri di dalam gambar di mana perumah custom yang dibina untuk ruang but belakang menempatkan speaker dengan gaya tidak simetri. Dengan speaker mid range disusun sebegitu rupa, installer berjaya juga memasang 5 unit monitor TFT dan menyimpan pemampat udara untuk sistem gantungan jenis air ride untuk Myvi ini – semuanya di dalam ruang but kecil Myvi ini!
Untuk hiasan ruang dalamannya pula, installer memilih aksesori gaya VIP Jepun di mana aksesori-aksesori kristal dan barangan D.A.D menghiasi hampir ke semua ruang yang ada di dalam kereta. Tempat duduk belakang asal Myvi ini tidak dikorbankan untuk menempatkan sistem audio, tetapi installer secara kreatif membina pembahagi di tengah-tengah tempat duduk belakang dari bahan gentian kaca dan plexiglass yang dihiasi dengan lampu LED. Di dalamnya, terletak kapasitor 1 farad yang bukan saja berfungsi menstabilkan voltan elektrik, malah menjadi salah satu bahan yang boleh dipertontonkan sebagai hiasan. Di setiap pintu kereta ini, skrin-skrin monitor TFT telah dipasang pada perumah custom bagi mengelilingi penumpang di dalam dengan aura visual yang memukau.
Dari segi rupa, gaya VIP yang digunakan untuk menghias ruang dalaman kereta ini dibawa keluar dan diterjemahkan juga untuk pemilihan bodykit Myvi ini. Pemilik memilih bodykit custom yang mengikut trend VIP yang merangkumi bahagian bumper depan, skirting sisi dan spoiler belakang. Rim-rim BBS jenis offset kecil digunakan yang memenuhi ruang roda bila kereta direndahkan sepenuhnya.
Secara keseluruhan, projek audio Myvi ini boleh dipuji dari segi kreativiti pemasangan dan paling penting, bunyi yang dihasilkan adalah cukup baik dan memenuhi citarasa pemiliknya.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 62