Jika berminat untuk menyertai pertandingan audio, tak semestinya kereta anda perlukan berpuluh-puluh woofer untuk menjadi juara. Dalam pertandingan audio pun, terdapat banyak kategori yang boleh anda cuba nasib. Dan lazimnya, juara ditentukan dari kualiti bunyi yang dihasilkan dan bukannya bunyi kuat semata-mata.
Installer yang berpengalaman sudah tentu dapat mengadunkan komponen yang paling sesuai dan menala bunyi dengan betul bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Honda Civic FD berwarna oren dengan rim Vossen ini percaya atau tidak, hanya menggunakan sebuah woofer saja bagi menjadi juara kategori Master 6 Channel di dalam pertandingan audio anjuran EMMA Malaysia.
Bagi mengetahui apa rahsianya, mari kita tengok dengan lebih mendalam lagi sistem audio yang dibina untuk kereta ini. Sebagai permulaan, unit utama standard Civic ini telah ditanggalkan dan diganti dengan unit utama din berkembar dari Sony XAV-712BT yang mempunyai fungsi main semula video dan audio format digital. Unit utama baru ni perlu dipadankan bersama-sama perumah audio aftermarket yang menutup lubang yang ditinggalkan oleh sistem audio binadalam asal Civic ini.
Dari situ, isyarat bunyi kemudiannya diproses oleh seunit pemproses bunyi digital dari Helix yang bertindak sebagai alat talaan bagi bunyi-bunyi isyarat rendah, sederhana dan tinggi yang terdapat di dalam kod digital muzik yang dimainkan. Alat DSP buatan Jerman ini mempunyai lapan saluran digital untuk pemprosesan isyarat dengan cip pemproses 54-bit yang cukup berkuasa tinggi.
Kemudiannya, perjalanan isyarat bunyi yang melalui sistem DSP tadi disalurkan pula kepada 2 unit amplifier yang sedia menunggu. Amplifier pertama yang digunakan ialah dari jenama Dominations Audio ES 4100 yang memecah isyarat bunyi kepada 2 saluran. Amplifier dari siri Elite ini digunakan bagi memberi kuasa kepada 2 unit horn tweeter Dominations Audio ES 62MkII yang dipasang di dalam perumah khas pada tiang-A kereta ini. Posisinya yang tinggi dilaraskan bagi memberi kedudukan yang optima untuk mendapatkan staging bunyi yang terbaik kepada mereka yang ada di dalam kereta.
Seterusnya, installer untuk Civic ini memasang 2 unit speaker mid bass pada panel pintu Civic ini. Mid bass dari jenama Dominations Audio ES 62 MkII ini ialah sebahagian daripada set komponen yang datang dengan tweeter yang disebut awal tadi. Saiz mid bass berdiameter 6.5”, jadi installer terpaksa mengubahsuai perumah speaker pintu Civic ini yang asalnya menempatkan speaker dengan saiz yang lebih kecil. Dua unit perumah custom telah dibina dan dibalut semula dengan karpet berwarna hitam bagi dipadankan warnanya dengan karpet asal Civic ini.
Speaker mid bass tadi dikuasakan oleh seunit amplifier 4 saluran Dominations Audio ES 4100. Jika amplifier pertama tadi hanya menggunakan 2 daripada 4 saluran yang ada, amplifier ini pula dioptimakan penggunaannya. 2 saluran stereo daripada amplifier ini digunakan bagi memberi kuasa kepada mid bass tadi manakala 2 saluran lagi telah dilakukan bridge untuk menjadi satu saluran mono.
Jika disebut mono, dah tentu saluran ini digunakan bagi woofer yang bakal digunakan. Installer telah memilih woofer dari Dominations Audio ES 124 yang berdiameter 12” bagi mereproduksi semula bunyi frekuensi rendah yang dihasilkan oleh muzik. Woofer berkenaan dipasang di dalam ruang but Civic ini di dalam perumah custom.
Perumah ini bukan saja menempatkan woofer itu, tapi jugak digunakan bagi menempatkan dua unit amplifier tadi dan jugak sebagai rumah untuk DSP sistem audio kereta ini. Perumah yang dibina dari kayu ini dibalut dengan PVC berwarna putih dan oren bagi memberikan impak visual yang menyejukkan setiap mata yang memandang.
Mudah bukan sistem audio Civic ini? Hanya empat unit speaker dan seunit woofer digunakan tapi hasil akhirnya amat mengagumkan. Itulah keajaiban sistem talaan SQ!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 58