Sukar untuk menafikan kehadirannya, malah aura yang dibawa Myvi ini sukar untuk ditangkis. Apa tidaknya? Gabungan warna hijau dan kuning pada badannya membuatkan ia sangat jelas kelihatan dan mencuri setiap sudut pandang. Jika ia dihantar ke petak pertandingan Autoshow, pasti ia menjadi tumpuan orang ramai khususnya para pengunjung yang tertarik dengan sesuatu yang agak unik.
Namun begitu, Myvi yang seringkali menyertai pertandingan autoshow ini bukan sahaja dikenali semata-mata kerana penampilannya tetapi juga merupakan salah satu kereta yang dibina dengan memikul sebuah sistem audio yang agak ringkas tetapi unik. Ringkas dan unik? Kedengaran agak janggal, bukan? Tentu anda juga tidak sabar untuk mengetahui tentang keunikan yang dimaksudkan. Tunggu. Perkara ini akan dikupas satu demi satu.
Sebagaimana uniknya gabungan warna yang dilayangkan ke atasnya, Myvi ini agak unik dari segi pembinaan sistem audionya. Ditala oleh Ultra Zon yang terletak di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Myvi ini dibina dengan cukup teliti dari sudut penampilan. Sama ada eksterior mahu pun interior. Kedua-duanya mempunyai kekuatan. Kalau di luar dimeriahkan dengan warna terang hijau dan kuning (mungkin sekali sempena warna bendera negeri Kedah), bahagian interiornya pula gabungan warna putih, kuning dan sedikit warna merah dari mid bass, Black General.
Kenapa saya mengatakan ia dibina dengan sistem audio yang ringkas padahal secara zahirnya, penampilan Myvi ini sudah cukup menggemparkan? Pemiliknya lebih suka dengan keringkasan. Apa pun juga alasannya, itu adalah kehendak dan keinginan si pemilik kerana yang memakai sistem ini dan mendengarnya adalah beliau, bukan? Dan kedua-dua perkara inilah yang paling penting dalam membangunkan sesebuah sistem. Tahu kehendak dan keinginan sendiri, bukan semata-mata membinanya untuk pertandingan. Mungkin bersandarkan itulah, terhasilnya sistem audio ringkas pada Myvi ini.
Sebenarnya, sistem audio yang dibina pada Myvi ini tidak jauh bezanya dengan sistem audio dengan talaan SPL yang terdahulu. Cuma, ada sesuatu yang telah dikurangkan. Dimulakan oleh pemain utama yang dipilih dari jenama JVC, pemain 2 din JW-AVX810 berkemampuan membaca pelbagai format media. Biarpun bukan dari Pioneer, pemain ini tetap mampu bertindak dengan cemerlang. Kesinambungan kecemerlangan dari pemain ini diteruskan lagi dengan pre-amp 7 band dari Black General, B-799; melicinkan lagi isyarat yang telah diproses oleh pemain utama tadi.
Dari pre-amp ini pula, dua laluan baru telah dibentuk dan kedua-duanya diketuai oleh seunit amplifier. Laluan pertama diketuai seunit amplifier 4 channel Black General B-2480 di mana ia memacu 6 unit mid bass Black General B-1650. Manakala pembahagian dan posisi kesemua mid bass ini adalah seperti berikut. Dua unit mid bass telah dipasangkan di setiap panel pintu di bahagian kokpit hadapan. Selebihnya, iaitu setiap seunit mid bass Black General yang tertinggal dipasangkan pula pada panel pintu di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
Paduan keenam-enam mid bass ini membangkitkan bunyi seluruh di dalam kereta yang mana ia masih belum cukup lengkap sepenuhnya. Laluan kedua yang disebut awal tadi berfungsi sebagai pelengkap. Diharapkan dapat melengkapi sistem audio ini. Kenapa saya berkata demikian? Tunggu hingga akhir, kerana anda juga pasti beranggapan yang sama.
Laluan kedua pula dimulakan dengan amplifier monoblock Black General, B-1800.1. Amplifier ini digunakan untuk memacu 2 unit woofer 12” yang juga dari Black General. Woofer 12” Black General B-330 yang dipasangkan pada perumah khas di bahagian ruang tempat belakang ini adalah woofer koil tunggal dwi magnet. Pemasangan woofer ini seperti yang diketahui umum, secara asasnya adalah untuk memberikan kebulatan bass dan sangat bertepatan dengan spesifikasi untuk sebuah kereta dengan sistem talaan SPL. Jadi, dimanakah keunikan yang dikatakan di awal-awal tadi?
Sepanjang pembacaan pasti anda tertanya-tanya, di manakah tweeter untuk sistem SPL ini? Atau, dari manakah sumber frekuensi tinggi pada Myvi ini untuk mencapai keseimbangan talaan sebuah kereta SPL? Seperti anda, saya juga mempersoalkan perkara yang sama. Adakah ianya tersembunyi seperti beberapa aksesori audio lain? Hmm. Jika ianya dipasangkan secara tersembunyi, ternyata ia satu pemasangan yang cukup unik.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 58